MAIS HASILKAN 20 KAJIAN PENYELIDIKAN BERKAITAN ISU HAL EHWAL ISLAM SELANGOR

MAIS HASILKAN 20 KAJIAN PENYELIDIKAN BERKAITAN ISU HAL EHWAL ISLAM SELANGOR

301366888 5705862899448292 874

SHAH ALAM, 26 Ogos 2022 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menghasilkan 20 kajian penyelidikan berkaitan isu hal ehwal Islam di negeri Selangor bermula tahun 2019 sehingga tahun 2022.

Antara penyelidikan yang dijalankan adalah Kajian Pelaksanaan Ta’widh dan Gharamah dalam Konteks MAIS; Kajian Pembangunan Model Insan Rabbani Menurut Al-Quran: Ke Arah Penyediaan Instrumen Pelan Strategik MAIS dan Kajian Kebolehlaksana Baitulmal MAIS Sebagai Badan Akreditasi.

Kajian penyelidikan ini juga meliputi beberapa bidang dan tumpuan utama kemaslahatan ummah yang melibatkan sosial dan ekonomi di negeri Selangor. Antara tumpuan skop pengajian ialah perkara-perkara yang melibatkan akidah, syariah, dakwah, perundangan keluarga, tadbir urus dan muamalat.

Melalui kajian yang dijalankan, MAIS adalah sebagai Pusat Sehenti (One Stop Centre) bagi melaksana dan menyelia setiap penyelidikan yang ingin dijalankan oleh Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS.

Kajian penyelidikan yang dilaksanakan dengan kerjasama daripada penyelidik luar di kalangan pihak Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Sementara itu, dalam Majlis Penyerahan Perjanjian kepada Penyelidik bagi Penyelidikan Tahun 2022 dan Penyerahan Laporan Hasil Penyelidikan Tahun 2021 telah disempurnakan hari ini oleh Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS.

Sesi serahan perjanjian kepada penyelidik lantikan tahun 2022 disampaikan kepada Prof. Dr. Ahmad Munawar Ismail, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Prof. Madya Dr. Nurhidayah Muhammad Hashim, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Kemanusian Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalam majlis ini juga turut diadakan sesi serahan laporan hasil penyelidikan bagi tahun 2021. Laporan hasil penyelidikan yang telah tamat dijalankan ini adalah daripada Dr. Mohd Musa Sarip, Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS); Dr.Latifa Bibi Musafar Hameed, Pengarah Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF), KUIS; Dr. Muhamad Alihanafiah Norasid, Jabatan Al-Quran dan Hadis Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) dan Prof. Dr. Norsaleha Mohd Salleh, Pensyarah Kanan, Institut Kajian Hadis dan Akidah, KUIS.

Diharapkan, hasil kajian yang dijalankan, dapat membantu MAIS dalam mengenalpasti isu-isu berkaitan hal ehwal Islam Selangor selain dijadikan sebagai panduan dalam pengurusan penyelidikan di MAIS.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor