TANGANI MASALAH SOSIAL, MAIS SANTUNI 2,529 ASNAF RIQAB – Anjur Kempen Bulan Pembebasan Ar-Riqab bermula 1 September hingga 30 September 2022

TANGANI MASALAH SOSIAL, MAIS SANTUNI 2,529 ASNAF RIQAB – Anjur Kempen Bulan Pembebasan Ar-Riqab bermula 1 September hingga 30 September 2022

302480999 5723654531002462 2220128193735934233 n

SHAH ALAM, 1 September – Dalam usaha menangani masalah sosial, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyantuni 2,529 golongan asnaf riqab di Negeri Selangor melalui bimbingan dan bantuan kebajikan bagi golongan terbabit.

MAIS memperuntukkan sebanyak RM 21.2 juta dari peruntukan zakat asnaf riqab untuk tahun ini bagi membantu dan membimbing golongan terbabit yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan selain pelbagai bantuan lain supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

Asnaf riqab merupakan seseorang yang terbelenggu dengan masalah sosial dan masalah aqidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram dan orang Islam yang terpesong agamanya.

Bagi memberi peluang umat Islam mendekati golongan asnaf riqab, MAIS mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Bulan Pembebasan Ar-Riqab bermula 1 September sehingga 30 September 2022.

Pelancaran Kempen Bulan Pembebasan Ar-Riqab hari ini disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Hashim Meon, Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS dalam Forum Riqab: “Merdekakan Diri” di sini hari ini.

Pelbagai program dan aktiviti yang dirangka antaranya ialah Forum Riqab, Ceramah Kesedaran Kesihatan, Program Bimbingan Asnaf Riqab dan pelbagai program secara fizikal dan secara online.

Sebagai pihak berkuasa utama dalam pengurusan hal ehwal Islam di Negeri Selangor, adalah menjadi  tanggungjawab MAIS dalam melaksanakan program-program kesedaran melibatkan masalah sosial, aqidah dan kesihatan mental.

MAIS berharap, penganjuran kempen ini dapat menyediakan ruang dan informasi kepada umat Islam agar dapat mengenali asnaf riqab dengan lebih dekat serta cakna dengan masalah kesihatan dan gejala sosial yang berlaku kini.

Umat Islam yang ingin mendapatkan informasi lanjut berhubung aktiviti kempen ini bolehlah mengikuti perkembangan di platform media sosial MAIS dan laman sesawang rasmi di www.mais.gov.my.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor