KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR NAIK TARAF SEBAGAI UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR NAIK TARAF SEBAGAI UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR

1

SHAH ALAM,14 Oktober 2022 – Yang Amat Dihormati Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang telah di naik taraf sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) bermula hari ini.

Dengan naik taraf ini membuktikan UIS adalah sebuah institusi yang setanding dengan Institusi Pengajian Tinggi di luar sana dan MAIS berharap UIS akan sentiasa mengekalkan momentum kecemerlangan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dan memaksimumkan penghasilan pelajar yang cemerlang malahan berkualiti dalam bidang profesional dan hebat di sisi agama.

UIS perlu sentiasa mengorak langkah komprehensif serta mengambil peluang agar dapat membuktikan pengalaman 27 tahun mengelola pengajian tinggi ini akan merealisasikan kejayaan demi kejayaan apabila menjadi sebuah universiti.

MAIS juga menyeru kepada ibu bapa dan pelajar di luar sana,  agar memilih UIS sebagai salah satu institusi keutamaan untuk melanjutkan pengajian yang berteraskan syariah Islamiah di negeri Selangor ini.

Sebelum itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berkenan terima menghadap Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Yang Berbahagia Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar bagi mempersembahkan watikah rasmi naik taraf KUIS sebagai UIS pada 13 Oktober 2022 di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Turut hadir Yang Berhormat Dato’ Haji Haris Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; Yang Amat Dihormati Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS, Yang Amat Dihormati Dato’ Setia Salehuddin Saidin, Anggota MAIS; Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, Rektor KUIS dan Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.

UIS merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang ditubuhkan di bawah akta IPTS 1996. Penubuhannya secara rasmi pada 15 Februari 1995 membuktikan komitmen kerajaan negeri Selangor dalam membangunkan agenda pendidikan dan kecemerlangan ilmu.

Sebagai sebuah legasi pendidikan DYMM Sultan Selangor yang sentiasa dipelihara dan disantuni menjadi peneraju tradisi ilmu dan penyatuan umat Islam di negeri Selangor. Pelbagai program pengajian yang ditawarkan di peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah yang telah memenuhi perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) merentasi pelbagai disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, pendidikan, komunikasi, dan teknologi maklumat yang berdaya saing dan kompetitif.

Kenyataan oleh : Yang Amat Dihormati Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor