PROGRAM TURUN PADANG PENGERUSI MAIS KE PEJABAT AGAMA ISLAM DAERAH KUALA LANGAT – Kenalpasti Isu Hal Ehwal Agama Islam di Peringkat Daerah

PROGRAM TURUN PADANG PENGERUSI MAIS KE PEJABAT AGAMA ISLAM DAERAH KUALA LANGAT – Kenalpasti Isu Hal Ehwal Agama Islam di Peringkat Daerah

310968469 4927697761015

KUALA LANGAT, 19 Oktober – Program Turun Padang Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof diteruskan ke sekitar daerah Kuala Langat bagi mengenalpasti isu berkaitan Hal Ehwal Agama Islam di daerah hari ini.

Program dimulakan di Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat, disambut mesra oleh Ustaz Hairul Anuar bin Samingan, Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Langat. Beliau telah menyampaikan informasi pentadbiran semasa Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat.

Antara lain dalam lawatan ialah perkongsian taklimat dan pendapat daripada pihak Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat.

Sementara itu, Pengerusi MAIS dalam ucapannya juga berkata, beliau menekankan kepentingan pengurusan hal ehwal agama Islam di daerah terutama perkara yang melibatkan dakwah dan pendidikan, imej dan nama baik Institusi Islam, kesegeraan dalam setiap tindakan dan hebahan maklumat hal ehwal agama Islam di daerah ini.

“Semoga hubungan baik antara MAIS dan JAIS di peringkat daerah, terus terjalin dengan baik demi maslahah ummah,” katanya.

Turut disampaikan sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi daerah tersebut. Antara penerima peruntukan asnaf Fisabilillah bagi tujuan pembinaan dan baik pulih bagi daerah Kuala Langat pada hari ini adalah Masjid An Nur Kanchong Tengah, Masjid Bandar Saujana Putra, Surau Sekolah Kebangsaan Sri Lanang dan Sekolah Agama Menengah Unwanus Saadah.

Jumlah keseluruhan sumbangan LZS bagi daerah Kuala Langat pada hari ini adalah berjumlah RM358,000.00.

Di akhir program, Pengerusi MAIS turut melawati Kompleks Islam Kuala Langat yang baharu dan lawatan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat.

Hadir sama ialah YAD Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat, Tengku Dato’ Mohamed Alhaj bin Tengku Harun; Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS; Tuan Zainor Rashid Hassin, Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS); Ustazah Salwana Ahmad Dahlan, Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); Ustaz Anuar Hamzah Toha, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan Md Yusmizan Yusuf, Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor