MAIS SANTUNI 1199 ORANG ASAL, AGIH BANTUAN KOTAK MAKANAN KERING BERNILAI RM218,880.00

MAIS SANTUNI 1199 ORANG ASAL, AGIH BANTUAN KOTAK MAKANAN KERING BERNILAI RM218,880.00

322065456 13490

Gombak, 27 Disember – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menyantuni 1199 keluarga masyarakat orang asal dengan mengagihkan bantuan kotak makanan kering melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM218,880.00.

Mereka yang menerima sumbangan terdiri dari masyarakat orang asal Islam dan masyarakat orang asal bukan Islam di sekitar Negeri Selangor.

Daripada jumlah keseluruhan RM218,880.00, sebanyak RM150,000.00 diagihkan kepada 625 keluarga masyarakat orang asal Islam dengan menggunakan sumber peruntukan wang fidyah MAIS manakala sebanyak RM68,880.00 diagihkan kepada 574 keluarga masyarakat orang asal bukan Islam dengan menggunakan sumber peruntukan baitulmal MAIS.

Majlis simbolik penyerahan replika cek disampaikan oleh Puan Nurhani Salwa Jamaluddin, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS kepada Ustaz Abdul Hadi Abdullah, Penolong Pengarah Kanan Unit Ukhuwah, Bahagian Dakwah JAIS. Turut hadir ialah Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.

Sumbangan ini bertujuan sebagai usaha dakwah MAIS dalam menyantuni masyarakat orang asal yang beragama Islam dan bukan beragama Islam yang berpendapatan di bawah kategori B40 di beberapa kawasan daerah Negeri Selangor bagi membantu meringankan beban mereka.

Setiap keluarga orang asal menerima bantuan kotak makanan kering seperti beras,susu,gula, tepung dan minyak masak bernilai RM120.

Sumbangan yang dilaksanakan dengan kerjasama RSFM yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), masjid dan surau di daerah terlibat.

Setakat ini, MAIS telah mengagihkan wang fidyah sebanyak RM3.3 juta dengan jumlah penerima sumbangan seramai 20,931 keluarga yang layak.

MAIS berharap sumbangan yang diterima sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban yang perlu ditanggung oleh setiap keluarga orang asal dalam meringankan kos perbelanjaan seharian.

Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http://fpxv2.mais.gov.my/

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor