MEMELIHARA KESUCIAN AL-QURAN

MEMELIHARA KESUCIAN AL-QURAN

muslim man reading holy quran islamic concept

Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang berperanan sebagai petunjuk ke jalan kebenaran kepada semua manusia. Al-Quran merupakan anugerah dan mukjizat terhebat yang telah dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. 

Bukti kemukjizatan al-Quran ada dinyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat kedua, di mana Allah SWT telah menegaskan bahawa Al-Quran adalah sebuah kitab yang tidak ada keraguan padanya. 

Rasulullah SAW telah berpesan kepada semua manusia akan peri pentingnya pegangan yang kukuh kepada kitab Allah ini sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW :

” Aku tinggalkan 2 perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Al Quran dan sunnahku.”

(HR Malik)

Kehebatan Al-Quran bukan semata-mata kerana diagungkan oleh manusia tanpa sebab namun Allah SWT sendiri yang telah memuliakannya sebagai kata-kataNya yang Maha Mulia. 

Bahkan Allah SWT mencabar sesiapa sahaja yang mampu menandingi kehebatan al-Quran untuk menghasilkan satu surah sahaja yang dapat mengatasi al-Quran. Jika ianya rekaan manusia, sudah tentu tidak mampu untuk mengatasi rekaan Tuhan manusia.

islamic boarding school students are reading koran courtyard mosque

Firman Allah SWT :“Dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah penolong-penolong kamu, selain Allah, sekiranya kamu orang yang benar.” (Surah al-Baqarah, 23)

Bukankah bila disebut sebagai panduan hidup merupakan sesuatu yang sangat penting dan harus kita jaga? Maka tidak hairan jika kita sebagai umat Islam tidak akan rela jika Al Quran kita dihina apatah lagi diperlakukan dengan tidak sepatutnya oleh orang lain.

Melihat begitu tinggi nilai al-Quran sebagai petunjuk dan perlembagaan umat Islam, maka setiap muslim wajib memuliakan dan mengimaninya. 

Bahkan, beriman pada Al Quran merupakan salah satu rukun iman umat Islam, dimana jika kita meninggalkannya maka tidak sempurna penghayatan iman kita.

islamic book koran with rosary grey

Imam an-Nawawi menyatakan dalam kitab ‘At Tibyan fi Adaabi Hamaalatil Qurán,’ “Para ulama telah bersepakat akan wajibnya menjaga Mushaf Al Quran dan memuliakannya.”

Al-Quran merupakan firman Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW sebagai rahmatan lil a’alamiin (rahmat bagi sekalian alam). Menghina Al Quran merupakan salah satu dari perbuatan dosa besar. Dalam surat At Taubah ayat 65 hingga 66, Allah berfiman:

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab, ‘Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja.’ Katakanlah, ‘Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya, dan Rasul-Nya kalian selalu berolok-olok?’ Tidak usah kalian minta maaf, kerana kalian kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan dari kalian (lantaran mereka bertaubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa.”

muslims praying together holy mosque

Dari ayat di atas, Imam Ibn Qudamah al Maqdisi telah mentafsirkan bahawa, “Sesiapa sahaja yang mencaci Allah SWT, sama ada dilakukan dengan berolok-olok atau serius, telah kafir. 

Begitu juga orang yang mengejek Allah, ayat-ayat-Nya, para Rasul-Nya atau kitab-kitab-Nya.”

Di dalam Al-Quran ada disebutkan bahawa orang-orang yang meragui kebenaran Al Quran termasuk dalam golongan orang yang rugi di dunia dan akhirat, sama ada dirinya beragama Islam atau tidak. 

Hal ini disebut dalam surah al Kahfi ayat 103-106, 

 “Katakanlah mahukah kami khabarkan tentang orang-orang yang paling rugi amalannya? Iaitu orang-orang yang sesat dalam kehidupan dunia tetapi mereka menyangka sedang berbuat kebaikan. Mereka itulah orang-orang yang kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan pertemuan dengan-Nya. Maka hapuslah amalan mereka dan kami tidak akan menimbang amalan mereka pada hari kiamat. Demikianlah balasan untuk mereka itu neraka Jahanam disebabkan kekafiran mereka dan sikap mereka yang menjadikan ayat-ayat kami dan Rasul kami sebagai olok-olok.”

Bagi sesiapa yang pernah mengingkari atau menghina Al Quran, maka segeralah bertaubat kepada Allah SWT kerana tindakan menghina Al-Quran termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. 

Allah telah berjanji akan mengampuni dosa sesiapa pun yang bertaubat dengan taubat nasuha, walaupun jika orang tersebut merupakan orang kafir sebelumnya. Hal ini disebut dalam Surat Al Anfal ayat 38, 

“Katakanlah kepada orang-orang kafir, jika mereka berhenti (dari kekafirannya) maka akan diampunkan dosa-dosa mereka yang telah lalu”.

Merujuk kepada Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, mana-mana orang yang, dengan kata-kata atau perbuatannya, mempersendakan, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat al-Quran atau Hadith adalah melakukan kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM 5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya. 

Peruntukan ini juga termaktub dalam undang-undang jenayah Islam di semua negeri di Malaysia. Sebagai seorang muslim, kita diwajibkan untuk menjaga kesucian Al Quran, memuliakannya dan menghormatinya. 

Jika kita melihat atau mendengar ada seseorang atau sekelompok orang yang mencerca atau menghina Al Quran dengan apa cara sekalipun seperti membakar, memijak atau meletakkan kedudukan al-Quran bukan pada tempat yang sepatutnya, sudah tentulah kita sebagai umat Islam akan merasa tercabar dan marah.

serious young asian muslim man showing stop gesture isolated white background

Namun, harus diingat untuk menjaga  adab-adab Islam ketika memberikan teguran, jangan sampai mendatangkan mudharat dengan tindak-tanduk yang melampaui batas sehingga mencemar nama baik Islam itu sendiri. Kita harus yakin bahawa Allah SWT pasti menjaga Al Quran, sepertimana dalam firman-Nya, 

“Sesungguhnya Kami-lah yang telah menurunkan Al Quran dan Kami-lah yang akan memeliharanya” (Al Hijr: 9).

Justeru, kita perlu sentiasa berusaha untuk memelihara dan menjaga kesucian al-Quran, kerana Al Quran merupakan rujukan hidup kita sebagai umat Islam yang perlu dipelihara dan dibela kehormatan serta kemuliaannya.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor