SHAH ALAM, 3 Februari – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerima kunjungan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Brunei Darussalam bersama Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Dato’ Seri Paduka Haji Mohammad Tashim Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).
Delegasi seramai 10 orang disambut mesra oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dan Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS.
Lawatan bertujuan untuk mendapatkan maklumat berhubung pengurusan Baitulmal, Wasiat, Zakat, Wakaf dan pengurusan Tauliah di Negeri Selangor bagi mengenalpasti amalan terbaik pentadbiran, struktur organisasi, kewangan dan perundangan.
Terima kasih kepada KHEU Brunei Darussalam dan BTHMUI yang telah membuat kunjungan mahabbah ke MAIS.
Semoga kerjasama erat yang lebih padu dan utuh dapat dilaksanakan di masa hadapan.
Turut hadir mewakili MAIS ialah Puan Nurhani Salwa Jamaluddin, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS, Puan Norzaihan Mohd Zain, Timbalan Setiausaha (Dasar&Pengurusan) MAIS dan Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid, Pengarah Baitulmal MAIS.
Hadir sama Puan Sabariah Salleh, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); Ustaz Anuar Hamzah Tohar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan Encik Zainudin Johari, Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerah Lembaga Zakat Selangor (LZS).