86 PEGUAM SYARIE NEGERI SELANGOR TERIMA SIJIL PENTAULIAHAN

86 PEGUAM SYARIE NEGERI SELANGOR TERIMA SIJIL PENTAULIAHAN

329242159 451120167145103 46066050859821659 1

SHAH ALAM– Seramai 86 orang peguam syarie yang baharu dilantik bagi menerima sijil pentauliahan dalam Majlis Perisytiharan Dan Pentauliahan Peguam Syarie yang diadakan di Dewan Muktamar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) pada 9 Feb.

Majlis disempurnakan perasmiannya oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Dalam ucapan beliau, Tan Sri Dato’ Seri telah menyampaikan amanat kepada peguam syarie baru Negeri Selangor ini antaranya menjaga intergriti, menjaga kerahsiaan anak guam, menjaga aib anak guam, meningkatkan pengetahuan hukum syarak, menghormati mahkamah, tidak memudaratkan anak guam dan beberapa amanat yang lain.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada para peguam baru yang telah ditauliahkan dan berjaya menangani pelbagai dugaan, cabaran sehingga menjadikan mereka seorang peguam syarie yang berkaliber.

Sementara itu, YAA Dato’ Mohammad Adib Bin Husain Ketua Hakim Syarie Selangor dalam ucapan aluan beliau berharap agar semua peguam syarie dapat menjaga etika dan disiplin termasuklah sesama rakan peguam, mahkamah syariah dan anak guam.

Beliau turut memberi peringatan bahawa Mahkamah Syariah Negeri Selangor merupakan mahkamah dengan pendaftaran kes tertinggi di Malaysia sekaligus menyeru agar peguam sentiasa bersedia mengendali dan menyelesaikan kes dengan bijak dan segera tanpa mengenepikan prosedur yang telah dikanunkan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datin Paduka Saudah Binti Sulaiman, Anggota MAIS; Tuan Haji Zainor Rashid Bin Hassin, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor; Tuan Salehan Bin Yatim, Ketua Pendaftar JAKESS; Tuan Che Saupi Bin Che Husin. Penolong Penasihat Undang-Undang Syariah Negeri Selangor; Tuan Musa Bin Awang Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia; Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, anggota MAIS, pengurusan tertinggi MAIS serta peguam-peguam syarie.

Semoga segala usaha mendapat keberkatan dan ucapan tahniah buat kesemua 86 peguam syarie negeri Selangor yang terlibat dalam majlis.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor