MAIS LANCAR KALKULATOR FIDYAH PUASA, MUDAHKAN MASYARAKAT ISLAM MEMBUAT PENGIRAAN BAYARAN FIDYAH – Sempena Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor 2023

MAIS LANCAR KALKULATOR FIDYAH PUASA, MUDAHKAN MASYARAKAT ISLAM MEMBUAT PENGIRAAN BAYARAN FIDYAH – Sempena Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor 2023

332091547 618697036756181 1381289320071419098 n 1

SHAH ALAM, 21 Februari – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini telah membuat pelaksanaan platform baru dengan melancarkan Kalkulator Fidyah Puasa bagi memudahkan masyarakat Islam membuat pengiraan bayaran ganti puasa.

Pelancaran Kalkulator Fidyah Puasa disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Majlis Hi-Tea Bersama Rakan Media dan Pelancaran Kalkulator Fidyah Puasa di sini hari ini sempena Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor 2023.

Kalkulator Fidyah Puasa ialah sebuah platform digital kalkulator yang telah dibangunkan oleh MAIS bagi memudahkan masyarakat Islam untuk membuat pengiraan kadar fidyah sebelum membuat bayaran. Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

Menariknya, Kalkulator Fidyah Puasa ini mempunyai 3 kadar bayaran iaitu RM2.00, RM4.00 dan RM6.00 dan mempunyai kaedah bayaran berganda dan tidak berganda. Masyarakat Islam yang ingin menggunakan Kalkulator Fidyah Puasa boleh melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my. Dengan adanya platform kiraan fidyah ini, MAIS mensasarkan RM20 juta kutipan fidyah di Negeri Selangor pada tahun ini. Sasaran ini ditetapkan agar lebih ramai masyarakat Islam menerima manfaat dan bantuan dalam mereka menjalani kehidupan seharian. Bagi tahun 2022, MAIS telah berjaya mengagihkan kutipan fidyah berjumlah RM6.85 juta melalui bantuan makanan kering dan wang tunai kepada mereka yang memerlukan.

MAIS berharap agar Kalkulator Fidyah Puasa ini dapat memberi kemudahan baharu kepada masyarakat Islam dalam membuat pengiraan dengan pantas dan tepat bagi bayaran fidyah yang dikenakan atas sebab-sebab faktor yang tertentu.

Melalui Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor yang diadakan bermula 22 Februari sehingga 22 Mac 2023, pelbagai aktiviti menarik telah disusun antaranya ialah Program Hari Bersama Baitulmal; Bual Bicara di Radio Selangor FM; Taklimat, Tazkirah Jumaat dan Kuliah Maghrib Khas di Institusi, Masjid dan Surau Terpilih; Kaunter Pemasaran Baitulmal dan Forum Fidyah.

Tujuan kempen diadakan adalah memberikan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat Islam untuk melunaskan hutang fidyah di samping menggalakkan masyarakat Islam menggantikan puasa lebih awal sebelum bertemunya bulan Ramadhan yang akan datang. Info lanjut, boleh didapati di laman web rasmi MAIS di www.mais.gov.my dan media sosial rasmi MAIS.

Sementara itu di majlis ini, MAIS turut meraikan rakan media dan rakan strategik sebagai satu penghargaan dan meraikan para pengamal media sepanjang tahun 2022 yang telah memberi kerjasama yang cemerlang dalam membuat liputan berita MAIS meliputi kejayaan, peristiwa dan aktiviti semasa MAIS.

Antara penerima penghargaan ini adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Radio Television Malaysia (RTM), Media Prima Berhad, Astro Awani, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),Media Selangor, TV Alhijrah, Sinar Harian, Berita Harian, Utusan,Bernama, Kosmo, Radio IKIM, Radio Selangor, Radio Klasik, Karangkraf, Siakap Keli dan Kelab Blogger Ben Ashaari.

MAIS berharap komitmen dan hubungan baik di antara MAIS dengan rakan media dan rakan strategik terus dapat ditingkatkan dan dikekalkan.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor