PROGRAM PEMULIHAN LELAKI BERTEMAKAN “ MUKMIN DIREDHAI”

PROGRAM PEMULIHAN LELAKI BERTEMAKAN “ MUKMIN DIREDHAI”

331307546 555811346612481 3973724392815510192 n

KUALA LUMPUR, 11 Februari – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Bahagian Pemulihan Al Riqab  dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) telah menganjurkan Program Pemulihan Remaja Lelaki Bertemakan “Mukmin Diredhai” di sini.

Program yang berlangsung bermula 9 – 11 Februari 2023 itu dilaksanakan bertujuan memantapkan jiwa para remaja bagi membawa mereka ke arah perubahan yang istiqamah.

Selain Itu, program ini juga memberi fokus kepada membangunkan emosi intelektual remaja secara bersepadu serta memperkasakan diri melalui peningkatan penghargaan kendiri serta tingkah laku.

Program selama 3 hari 2 malam ini dihadiri seramai 38 orang pelajar dari tiga buah sekolah yang terpilih di daerah Banting.

Perasmian penutup dan sesi penyerahan sijil serta hadiah disampaikan oleh Ustaz Mohd Ezzam Zaharin, Ketua Unit Prihatin Bahagian Pemulihan Ar Riqab MAIS.

Dalam ucapannya, beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada para peserta dan berharap agar remaja memperolehi sekurang-kurangnya dua daripada sepuluh ilmu baru yang dicurahkan daripada program ini.

Beliau juga turut berharap agar dengan ilmu yang dicurahkan sepanjang program ini dapat menyedarkan para remaja akan akibat buruk masalah sosial dan juga berharap agar para peserta dapat menginsafi perbuatan buruk yang pernah dilakukan.

Antara penceramah yang terlibat dalam kursus ini ialah Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, pendakwah selebriti, dan Prof. Dr. Ahmad Faisal Abdul Hamid, Pensyarah Universiti Malaya, Encik Zafian Jayos, Pegawai Kesihatan Daerah Petaling Ustaz, Nik Syariman Nik Mat , pendakwah bebas, Encik Saiful Chua Abdullah, Pembimbing Rakan Komuniti MAIS Tahun 2022 serta Encik Othman Markom, Guru Kanan Sekolah Henry Gurney.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor