MAIS NASIHATKAN MASYARAKAT ISLAM PATUHI UNDANG-UNDANG BERKAITAN POLIGAMI

MAIS NASIHATKAN MASYARAKAT ISLAM PATUHI UNDANG-UNDANG BERKAITAN POLIGAMI

334779819 917396069455294 4435130005509957352 n

SHAH ALAM, 7 Mac – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengadakan Forum Kekeluargaan Undang-Undang dan Pencerahan Undang-Undang dengan tajuk “Poligami: Mengikut Sunnah atau Mencari Rebah” dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita MAIS.

Program ini dianjurkan bertujuan untuk memberi pencerahan kepada orang ramai berhubung dengan hukum sebenar poligami menurut Islam dan perundangan yang berkaitan dengan poligami yang terpakai, khususnya di Negeri Selangor.

Berdasarkan statistik yang diterima daripada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dari tahun 2019 sehingga tahun 2022, bilangan pemohon yang memohon kebenaran untuk poligami hanyalah berjumlah 859 kes berbanding pemohon yang memohon untuk mengesahkan dan mendaftarkan poligami yang berjumlah 1617 kes. Statistik ini menunjukkan pasangan yang telah bernikah poligami tanpa kebenaran iaitu yang bercanggah dengan perundangan adalah sekali ganda lebih banyak daripada mereka yang memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Mahkamah Syariah.

Masyarakat Islam yang berhasrat untuk berpoligami diingatkan agar mematuhi undang-undang berkaitan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sedia ada mewajibkan suami untuk berlaku jujur dan berterus terang dengan pasangan sedia ada berhubung hasrat mereka untuk berpoligami. Sikap jujur dan terus terang ini dalam rumahtangga amat penting dalam memastikan keharmonian sesebuah keluarga yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat Islam yang sejahtera.

MAIS juga menasihatkan masyarakat Islam di Negeri Selangor agar tidak menggunakan jalan singkat untuk berpoligami melalui “Nikah Sindiket”, “Nikah Sempadan” dan seumpamanya. Perbuatan ini bukan sahaja akan memudaratkan perkahwinan sedia ada dan menjejaskan kesejahteraan sesebuah keluarga, bahkan pasangan yang berpoligami melalui cara ini juga berhadapan dengan risiko pernikahan mereka tidak sah mengikut hukum syarak.

Tindakan bernikah poligami tanpa kebenaran ini juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Mana-mana orang yang didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Malah, mereka yang bersubahat terhadap kesalahan poligami tanpa kebenaran juga boleh dikenakan hukuman yang sama.

Sementara itu, dalam Forum Kekeluargaan Undang-Undang dan Pencerahan Undang-Undang selama setengah hari itu, membariskan beberapa ahli panel iaitu YAD Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir, Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor; Tuan Mohamad Zakian Dio, Pengarah Kanan (Kehakiman), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JAKESS); Puan Norlaili Mohamad, Pemangku Penasihat Undang-Undang MAIS dan Puan Nor Salima Habibi, Selebriti.

Perasmian penutup disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS. Hadir sama ialah Dr. Haji Ahmad Shahir bin Makhtar, Setiausaha MAIS dan YB Tuan Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal merangkap Anggota MAIS.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor