MAIS BERKERJASAMA DENGAN 100 RAKAN STRATEGIK AGIH FIDYAH DI NEGERI SELANGOR

MAIS BERKERJASAMA DENGAN 100 RAKAN STRATEGIK AGIH FIDYAH DI NEGERI SELANGOR

335017567 165856682541104 7129845234947638654

SHAH ALAM, 9 Mac  – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bekerjasama dengan 100 Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) bagi membantu menyampaikan sumbangan fidyah MAIS terus kepada mereka yang memerlukan dengan menggunakan peruntukan fidyah secara efisyen dan menepati golongan penerima.

Pelantikan RSAFM turut diberikan kepada Unit Hal Ehwal Agama Islam, UiTM Cawangan Selangor sebagai Rakan Strategik MAIS yang baru dalam meyebarluaskan agihan sumbangan fidyah terutama di Negeri Selangor menerusi Forum Fidyah: ‘Kewajipan Yang Dilupakan’ sempena Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor 2023 hari ini.

Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi UitM Cawangan Selangor, Profesor Ts Dr Asmah Awal berkata, hubungan kerjasama UitM Cawangan Selangor sebagai Rakan Strategik MAIS dapat diterjemah melalui forum yang dianjurkan hari ini, agar manfaat fidyah ini dapat disebar luaskan kepada penerima manfaat yang lain.

“Saya yakin kerjasama dan silaturrahim yang terjalin ini, bukan sahaja akan memberi kebaikan kepada pihak MAIS, malahan dapat memberi kesan yang sangat positif kepada masyarakat Islam di Negeri Selangor,” katanya selepas berucap ketika merasmikan Forum Fidyah hari ini.

Selain UiTM Cawangan Selangor, RSFAM terdiri dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), masjid dan surau di daerah yang terlibat.

Forum Fidyah yang dianjurkan hari ini turut mendapat kerjasama oleh Unit Hal Ehwal Agama Islam, UiTM Cawangan Selangor bertujuan untuk memberi pencerahan kepada masyarakat Islam untuk melunaskan hutang fidyah di samping menggalakkan mereka yang tertentu untuk menggantikan puasa lebih awal sebelum bertemunya bulan Ramadhan.

Pada tahun 2022, MAIS telah berjaya mengagihkan barangan kering dan tunai menggunakan peruntukan fidyah dengan jumlah keseluruhan agihan berjumah RM6.85 juta.

Forum Fidyah hari ini menampilkan ahli panel iaitu Prof. Madya Dr. Haji Miszairi Haji Sitiris, Sahibus Samahah Timbalan Mufti Selangor; Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid, Pengarah Baitulmal MAIS dan Dai’ Aiman, pendakwah selebriti sebagai moderator.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor