DYMM SULTAN SELANGOR BERKENAN SERAH WATIKAH PELANTIKAN AHLI LEMBAGA PENGARAH PERBADANAN WAKAF SELANGOR SESI 2023-2025, ANGGOTA PANEL TETAP HAKIM MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH, HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DAN HAKIM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH

DYMM SULTAN SELANGOR BERKENAN SERAH WATIKAH PELANTIKAN AHLI LEMBAGA PENGARAH PERBADANAN WAKAF SELANGOR SESI 2023-2025, ANGGOTA PANEL TETAP HAKIM MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH, HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DAN HAKIM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH

336331662 5943251609124418 3116425348815718972 n 1

SHAH ALAM, 16 Mac – Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor berkenan menyerahkan watikah kepada Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) Sesi 2023-2025, Anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah dengan keseluruhan seramai 20 orang penerima watikah dalam satu istiadat di sini.

Bagi pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) Sesi 2023-2025, seramai sembilan orang penerima watikah pelantikan. Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) adalah kelulusan Majlis dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berdasarkan Perintah Penubuhan Perbadanan Wakaf Selangor 2011 (Pindaan 2012) seperti berikut:

  1. Sub – Perintah 5 (1): Perbadanan hendaklah terdiri daripada ahli yang berikut:
  2. a) seorang Pengerusi;
  3. b) seorang Timbalan Pengerusi;
  4. c) tidak kurang dari tiga (3) orang ahli yang pada pendapat Majlis mempunyai kepakaran tinggi dalam hukum syarak atau bidang lain yang berkaitan; dan
  5. d) ​Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan sebagai Setiausaha.
  6. Sub – Perintah 5 (2):

“Ke semua ahli Perbadanan hendaklah dilantik oleh Majlis dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan.”

Pada istiadat tersebut, Dato’ Haji Ibrahim Haji Md Yusof dilantik sebagai Pengerusi PWS manakala Dato’ Haji Mohd Misri Idris dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PWS. Turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PWS ialah YDM Tengku Seri Paduka Shah Bandar Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Alhaj Tengku Abdul Hamid Shah Alhaj, Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS); YAD Prof Madya Dato’ Setia Dr Haji Anhar Haji Opir, Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor;Dr Yusri Zakariah, Pengarah Tanah dan Galian Selangor; Encik Rosli Ismail, Ketua Pegawai Operasi Hartanah Worldwide Holdings Berhad; Dato’ Mohamad Daud Dolmoin, Mantan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia; Dato’ Haji Abdul Wahab Abu Bakar, Pengerusi Excel Mind Consultancy Sdn Bhd dan Puan Nurhani Salwa Jamaluddin, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS.

Selain itu, turut dilantik ialah Yang Arif Dato’ Mohamad Shakir Abdul Hamid sebagai Anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah manakala Tuan Mohamad Zakian Dio, Tuan Shukran Yusof dan Tuan Fairus Jaafar dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Pelantikan Anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor di bawah Subseksyen 57 (1) EPAINS menerangkan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, atas nasihat Majlis dan Ketua Hakim Syarie, boleh melantik tujuh (7) orang Islam untuk membentuk suatu panel tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah

Bagi pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah adalah di bawah Subseksyen 58 (1) EPAINS menerangkan Duli Yang Maha Mulia Sultan, selepas berunding dengan, atas nasihat Majlis, dan Ketua Hakim Syarie, boleh melantik Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

Pada istiadat tersebut juga, tujuh orang Hakim Mahkamah Rendah Syariah Negeri Selangor turut menerima watikah pelantikan iaitu Abdul Malik Soleh; Mohamed Hizwan Mohamed Noor; Umamuddin Yunus; Maizatul Aliza Chee Din; Salmizan Mohamed @Jamaludin; Wan Nurulddin Wan Hussain dan Mohd Tarmizi Jaafar.

Pelantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor adalah di bawah Subseksyen 59 (1) EPAINS 2003 iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, atas nasihat Ketua Hakim Syarie, boleh melantik, daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Negeri atau perkhidmatan bersama, Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor