MAIS ANJUR PROGRAM TAFAQQUH FIDDIN KEPADA PUSAT PENGURUSAN PENGISLAMAN MAIS

MAIS ANJUR PROGRAM TAFAQQUH FIDDIN KEPADA PUSAT PENGURUSAN PENGISLAMAN MAIS

336698363 597249855353203 86229

SHAH ALAM, 18 Mac – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Bahagian Pendaftaran Muallaf dan Pembangunan PIBK menganjurkan program Tafaqquh Fiddin sebanyak 10 siri kepada pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan pengislaman di Pusat Pengurusan Pengislaman di bawah MAIS.

Sebanyak 39 buah Pusat Pengurusan Pengislaman di bawah MAIS yang terdiri dari Baitulmal Daerah, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) dan masjid-masjid yang terlibat.

Program ini akan dilaksanakan pada setiap bulan dengan membincangkan beberapa tajuk berbeza yang memfokuskan kepada fiqh pengurusan Muallaf.

Antara objektif program ini adalah untuk mengupas dan membincangkan beberapa isu kontemporari berkaitan dengan muallaf. Selain itu, program ini memberi pendedahan dalam menyeragamkan penyampaian maklumat kepada muallaf mengenai asas kefahaman Islam semasa proses awal pengislaman.

Pengisian program tafaqquh fiddin disampaikan oleh Profesor Dr. Abdul Ghafar Don dan Ustaz Anuar Puteh yang merupakan pensyarah dari Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia dan mempunyai  bidang kepakaran berkaitan dakwah kepada saudara baru.

Program ini dirasmikan oleh Ustazah Hafizatulakmal Abdul Jalil, Ketua Bahagian Pendaftaran Muallaf dan Pembangunan PIBK, MAIS merangkap Ketua Pendaftar Muallaf Negeri Selangor.

Penyertaan serta komitmen Pusat Pengurusan Pengislaman MAIS dalam program ini amatlah penting untuk membantu pihak MAIS dalam menyantuni muallaf terutama semasa proses awal pengislaman mereka.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor