MAIS PERUNTUKAN RM547,020.00 BANTU ANAK-ANAK YATIM DI SELANGOR

MAIS PERUNTUKAN RM547,020.00 BANTU ANAK-ANAK YATIM DI SELANGOR

337832769 779303220283445 852283531

KLANG, 25 Mac – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan dana sebanyak RM547,020.00 bertujuan bagi membantu dan menyantuni anak-anak yatim di Negeri Selangor.

Dana sumbangan disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS kepada Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Raja Muda Selangor dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Anak Yatim Daerah Klang baru-baru ini.

Bantuan diberikan melalui peruntukan sumbangan Baitulmal MAIS dan Tabung Amanah MAIS kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), anak syarikat MAIS selaku penyelaras anak-anak yatim dan rumah pertubuhan anak yatim di Negeri Selangor.

MAIS berharap agar sumbangan yang diberikan dapat membantu kebajikan anak-anak yatim seperti bantuan hari raya dan sebahagiannya juga dimanfaatkan untuk pengurusan rumah-rumah anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE.

Dalam pada itu, seramai 9,081 anak-anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE menerima sumbangan hari raya berjumlah RM150 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan membabitkan peruntukan RM1,362,150.00.

Penyampaian sumbangan hari raya YIDE bermula di Daerah Klang dan berakhir di Daerah Petaling pada 14 April 2023.

Sebelum ini, pada tahun 2022, MAIS menyumbang RM500,000.00 bagi tujuan kebajikan anak-anak yatim melalui YIDE.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor