AKU TERIMA NIKAHNYA

“Aku terima nikahnya” adalah lafaz kemuncak yang dinanti oleh pasangan lelaki dan wanita untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.
Akad pernikahan bukan sahaja menghalalkan pergaulan di antara lelaki dengan wanita dalam melayari kehidupan dalam bahtera rumahtangga malah ikatan yang terpateri ini merupakan permulaan penyerahan dan penerimaan tanggungjawab antara kedua-dua mereka untuk sentiasa patuh menurut batas-batas hak dan tanggungjawab yang ditetapkan syarak.
Seseorang yang mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga harus sedar dan mengetahui kewajipan dan tanggungjawab masing-masing yang perlu dilaksanakan kelak untuk membina sebuah keluarga.
Sekiranya akad nikah yang sahih berlaku, terdapat pelbagai hak dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan oleh suami isteri. Akad pernikahan itu sendiri mewujudkan tiga jenis hak iaitu hak suami, hak isteri dan hak bersama (musytarikat) antara suami isteri.
Hak bersama ialah hak yang terhimpun bagi kedua suami isteri dan menjadi kewajipan bagi keduanya atas pihak yang satu lagi.

Mahar atau mas kahwin ialah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada wanita yang bakal menjadi isterinya berdasarkan surah an-Nisa, ayat 4 yang bermaksud
“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai satu pemberian (yang wajib).
Jumlah mahar yang wajib dibayar akan ditentukan oleh walinya jika perempuan itu masih kecil manakala jika sudah baligh atau janda boleh ditentukan oleh wanita itu sendiri.
Mahar boleh dibayar dengan pelbagai cara yang mempunyai nilai atau faedah tertentu berdasarkan persetujuan bersama malah ia boleh dibayar secara tunai, bertangguh atau berhutang.
Jika mahar berhutang, suami wajib membayarnya setelah melakukan persetubuhan atau persetubuhan secara syubhah (persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam) atau salah seorang mati.
Jika suaminya mati, waris suami wajib membayarnya kepada ahli waris isterinya. Kewajipan suami memberikan mas kahwin kepada isteri turut diperuntukkan dalam seksyen 21 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [EUUKIS].
Suami isteri setelah akad yang sah berhak mendapatkan hak untuk beristimta’ iaitu berseronok dan bersetubuh dalam bentuk yang diharuskan syarie sesuai dengan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud
“Isteri-isteri kamu adalah seumpama kebun tanaman kamu. Oleh sebab itu, datangilah kebun tanaman kamu sebagaimana yang kamu sukai.”

Tanggungjawab yang digalas sebagai suami mahupun isteri bukanlah satu tugas yang mudah.
Isteri wajib mentaati dan melayani suaminya dengan cara yang terbaik dengan menyiapkan segala keperluan, menjaga rahsia dan amanah serta memelihara maruah suami sebagaimana sabda Nabi iaitu hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya di atas hamparan kamu (memasuki rumah kamu).
Manakala tanggungjawab suami pula memberi nafkah kepada isteri sebagaimana yang telah dirakamkan oleh Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:
“Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”
Hak nafkah yang wajib diberikan kepada isteri dibahagikan kepada dua iaitu nafkah zahir dan batin. Termasuk dalam pengertian nafkah zahir ialah memberi makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan perubatan.
Kewajipan suami menafkahi isteri telah termaktub dalam seksyen 60 EUUKIS 2003 dan kadar nafkah itu adalah sesuai dengan kemampuan suami.
Manakala nafkah batin bukan sahaja hanya tertumpu kepada hubungan kelamin malah meliputi tanggungjawab suami menjaga fizikal, emosi dan spritual isteri seperti sentiasa berkomunikasi dengan baik, menjaga hati dan saling menghormati.

Pembahagian yang sama rata bagi semua isteri adalah diwajibkan oleh syariat sekiranya melibatkan perkahwinan poligami.
Suami yang berpoligami tidak boleh melebih-lebih isteri yang disukai dan mengenepikan hak isteri yang kurang disukai. Aisyah r.ha. berkata: Nabi s.a.w. telah melakukan pembahagian kepada semua isterinya secara adil. Baginda berkata: Ya Allah, inilah pembahagianku pada apa yang aku miliki (tempat tinggal dan nafkah). Janganlah Engkau mencelaku pada apa yang Engkau miliki tetapi aku tidak rnemilikinya (rasa cinta dan kasih sayang).
Anak yang lahir hasil perkahwinan yang sah perlu dinasabkan kepada suami/bapanya. Nabi bersabda iaitu anak yang lahir daripada hubungan suami isteri yang sah dinasabkan kepada bapanya.
Selain itu, nasab juga merupakan hak anak yang akan mengikat ibu bapa kepada tanggungjawab nafkah, hadhanah, pusaka, perwalian dan sebagainya.

Suami isteri berhak untuk saling mewarisi harta pusaka sekiranya berlaku kematian antara keduanya.
Suami akan mewarisi harta isteri dan begitulah sebaliknya selagi tidak terdapat tegahan daripada mewarisi harta seperti pertukaran agama atau pembunuhan dan masih suami isteri ketika kematian pasangannya.
Hak dan tanggungjawab yang lahir daripada akad perkahwinan telah dijadikan peruntukkan perundangan bagi memastikan semua pihak perlu menghormati dan menyempurnakan hak kepada pasangan serta melaksanakan tanggung jawab masing-masing.
Mengabaikan hak dan mencuaikan tanggungjawab merupakan pelanggaran terhadap perintah syarak dan ketetapan undang-undang yang boleh menjejaskan kerukunan rumahtangga dan mengakibatkan tindakan undang-undang dikenakan ke atas pihak yang culas.