MAIS SUMBANG RM11.3 JUTA BANTU OPERASI RUMAH PEMULIHAN RIQAB (RPR)

MAIS SUMBANG RM11.3 JUTA BANTU OPERASI RUMAH PEMULIHAN RIQAB (RPR)

340463780 597546995644680 5725070240386156472 n

SHAH ALAM, 9 April – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menyerahkan sumbangan RM11.3 juta kepada 26 buah Rumah Pemulihan Riqab (RPR) menerusi Geran Bantuan Pemulihan Riqab bagi membantu kebajikan asnaf riqab khususnya di Negeri Selangor.

Sumbangan RM11,348,640.00 itu melibatkan kos program, pengurusan dan penjagaan Asnaf Riqab di Rumah Pemulihan Riqab yang berada di bawah seliaan MAIS bagi tahun 2023.

Antara RPR yang menerima bantuan ialah Rumah Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-Anak Islam Tersisih Selangor (PAKATs), Rumah Pertubuhan Insan Permata Disayangi (PINTAS), Rumah Teduhan Kasih, Rumah Penawar dan Rumah Sahabat.

MAIS juga turut menyumbang sebanyak RM306,000.00 kepada 1,207 orang asnaf riqab di negeri ini bagi membantu asnaf-asnaf tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi.

Bantuan yang diagihkan adalah menggunakan peruntukan zakat asnaf riqab.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Hashim Meon, Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS pada Majlis Perasmian Iftar dan Tadarus Perdana Riqab MAIS 2023 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Dato’ Setia Prof. Madya Dr. Anhar Haji Opir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor; Puan Nurhani Salwa Jamaluddin, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS dan Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.

Sumbangan bertujuan untuk membantu asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan bagi menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan.

MAIS berharap bantuan yang diberikan dapat digunakan sebaiknya terutama kepada pengusaha RPR bagi membantu rumah terbabit menjalankan tanggungjawab sosial untuk memastikan asnaf riqab tersebut diberi perlindungan, pemulihan dan bimbingan yang sewajarnya.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor