MAIS PERUNTUK DANA RM500,000 SETAHUN, SANTUNI ANAK YATIM – Gotong-Royong Agih 600 bubur lambuk kepada anak-anak yatim sempena Ramadhan

MAIS PERUNTUK DANA RM500,000 SETAHUN, SANTUNI ANAK YATIM – Gotong-Royong Agih 600 bubur lambuk kepada anak-anak yatim sempena Ramadhan

340952075 981217119487364 787892038067304506 n

KLANG – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan dana sumbangan RM500,000.00 setiap tahun bagi menyantuni kebajikan 9,081 anak-anak yatim di Negeri Selangor.

Dana sumbangan diberikan menerusi peruntukkan Baitulmal MAIS kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) selaku anak syarikat MAIS yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak-anak yatim sekitar Selangor.

Sebagai sebuah agensi Islam yang bertanggungjawab dalam menyantuni anak yatim, MAIS berharap bantuan yang disumbangkan dapat dimanfaatkan untuk pengurusan rumah anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE di samping dapat memelihara kebajikan dan hal ehwal pengurusan anak yatim di Negeri Selangor.

Bersempena Ramadhan, MAIS mengadakan program gotong royong memasak dan mengagihkan sumbangan sebanyak 600 bekas bubur lambuk kepada empat rumah anak yatim di sekitar Selangor yang disampaikan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Program Agihan Bubur Lambuk MAIS bersama Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, Agensi dan Anak Syarikat MAIS di sini hari ini.

Sumbangan bubur lambuk diagihkan kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah, Klang; Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan Malaysia, Banting; Rumah Amal Raudhatul Jannah, Banting dan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat (Rumah Penyayang Bestari, Banting).

Menariknya lagi, edaran bubur lambuk turut diagihkan kepada masyarakat setempat yang berdekatan.

MAIS juga turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 125 orang anak-anak yatim melalui peruntukan Baitulmal MAIS berjumlah RM1,250.00 bagi meringankan beban di samping menambahkan lagi keceriaan anak-anak yatim dalam menjalani ibadah puasa.

Program bertujuan sebagai inisiatif MAIS untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dan mengeratkan hubungan silaturrahim di samping berkongsi rezeki dengan komuniti setempat terutama kepada penghuni rumah anak yatim.

Program yang diadakan ini dengan kerjasama Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor.

Selain itu, program ini juga mendapat kerjasama dari agensi dan anak syarikat MAIS iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd dan Bakti Suci Holding Sdn Bhd.

Turut hadir ialah Sahibus Samahah Dato’ Setia Prof. Madya Dr Haji Anhar Opir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor; YB Tuan Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal merangkap Anggota MAIS; YAA Dato’ Mohamad Adib Husain, Ketua Hakim Syarie; Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS dan Encik Nur Mohd RazalI Abdullah, Pengurus Besar YIDE.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor