PAUTAN
PANTAS

AGENSI KERAJAAN & NEGERI

MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI

POPULAR

PAUTAN POPULAR

MEDIA SOSIAL

MAIS MEDIA SOSIAL

Waktu Solat
Kajian Kepuasan Pelanggan MAIS

HAQQ VS HAK

MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)

_

HAQQ VS HAK

Susunan oleh: Bahagian Komunikasi Korporat MAIS

Dalam Islam, hak merupakan istilah yang berasal dari kalimah Arab iaitu haqq, yang bermaksud, kebenaran. Al-Haqq pula merupakan salah satu dari 99 nama Allah dalam al-Quran yang bermaksud Yang Maha Benar, Yang Sempurna. Kalimah al-haqqini berlawanan dengan kalimah al-bathil, iaitu dusta atau pembohongan. Dalam pengertian yang mudah, kalimah haqq atau al-haqq ini menafikan segala bentuk pendustaan, pembohongan, kepura-puraan, keraguan dan kebatilan. Kalimah ini juga membawa erti bahawa segala yang datang dari Al-Haqq iaitu Allah adalah benar, agamaNya adalah benar, utusanNya adalah benar, kata-kataNya adalah benar, kitabNya adalah benar, penciptaan makhlukNya adalah benar, janji-janjiNya adalah benar, nikmatNya adalah benar, pembalasanNya adalah benar, dan Syurga dan NerakaNya adalah benar.

Dalam Kamus Persuratan Melayu Dewan Bahasa Pustaka, perkataan ‘hak’ dalam tulisan jawi dieja dengan huruf ha dan qofsepertimana kalimah asalnya dalam tulisan Arab. Tafsiran utama bagi perkataan ‘hak’ dalam Kamus tersebut adalah satu kata adjektif yang memberi maksud benar, kebenaran, ajaran-ajaran yang benar, dan ilmu mengenai sifat Tuhan. Sinonim bagi perkataan benar ini adalah betul, sah, sahih. Tafsiran hak selanjutnya adalah berkenaan kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat sesuatu (menurut undang-undang, agama, adat istiadat), dan sinonim bagi kuasa adalah kelayakan, keistimewaan, kebebasan, prerogatif, kedaulatan, dan lain-lain.

Jika diteliti, walaupun tafsiran Kamus Bahasa Melayu ini tidak menggunapakai maksud sebenar haqq atau Al-Haqq menurut acuan Al-Quran, namun ia tetap mengutamakan tafsiran hak sebagai ‘benar’ atau ‘kebenaran’.

Bagaimanapun, apabila perkataan ‘hak’ ini ditafsirkan dalam Kamus Bahasa Inggeris, ianya bermaksud ‘rights’. Rights ditafsirkan dalam Oxford Dictionary sebagai kata adjektif yang bermaksud morally good, justifed or acceptable. Oxford Dictionary juga mentafsirkan ‘rights’ sebagai kata nama yang bermaksud morally correct, just or honourable, a moral or legal entitlement to have or to do something. Tafsiran Oxford Dictionary ini jelas menunjukkan bahawa ‘hak’ atau ‘rights’ menurut pandangan Barat adalah sesuatu perkara yang dari sudut moralnya adalah baik, adil dan boleh diterima. Hak menurut pandangan Barat tidak diterjemahkan sebagai satu kata nama yang bererti ‘Yang Maha Benar’ atau ‘kebenaran’, atau dikaitkan dengan kewujudan atau sifat Allah (God existence), sebaliknya ia diinterpretasikan sebagai suatu hak apabila ia boleh diterima oleh masyarakat, walaupun hak tersebut bertentangan dengan agama atau norma-norma keinsanan.

Tafsiran hak menurut acuan Barat inilah yang mendominasi pemikiran umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Tidak hairanlah kebelakangan ini, ramai umat Islam yang semakin berani memperjuangkan dan melaungkan hak untuk kebebasan bersuara, kebebasan memilih agama, kebebasan berpakaian dan kebebasan menentukan hala tuju hidup masing-masing walaupun hak yang dituntut itu jelas bertentangan dengan budaya dan kehendak Islam.

Sebagai contoh, budaya LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) adalah suatu hak yang diktiraf di beberapa buah negara Barat kerana mereka menganggap perkara ini boleh diterima dari sudut moralnya, walaupun tiada mana-mana agama dalam dunia ini yang membenarkan penganutnya mengamalkan cara hidup songsang.

Dalam Islam, Allah SWT melarang keras hamba-Nya untuk terjebak dengan hubungan sejenis. Al-Quran telah menceritakan azab atau siksa yang menimpa kaum Luth kerana mereka mengamalkan hubungan sejenis dan akhirnya Allah SWT menghantar mereka dengan azab yang sangat pedih.

Firman Allah SWT: “Maka tatkala datang perintah (azab) Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang terbalik (kami terbalikkan) dan kami hujani mereka dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpa mereka bertalu-talu.”(Al-Hud: 82)

Terkini, terdapat usul supaya kerajaan Malaysia menandatangani dan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Diskriminasi Kaum (ICERD). ICERD adalah konvensyen antarabangsa yang mewarisi asas penting berkaitan hak asasi manusia dari Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 yang dibentuk berdasarkan acuan Barat. ICERD digubal bertujuan untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi kaum atau gender, agama, keturunan, dan ini termasuklah diskriminasi terhadap golongan LGBT. Malaysia masih belum menandatangani konvensyen ini, kerana terdapat peruntukan dalam konvensyen tersebut yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai Syariah dan tidak selari dengan adat budaya dan tradisi masyarakat Islam di Negara ini.

Contohnya dalam Artikel 5(d)(iv) ICERD memperuntukkan tentang hak memilih pasangan untuk perkahwinan, dan hak ini termasuklah perkahwinan dengan jantina yang sama, kerana bantahan terhadap golongan LGBT ini juga dikira sebagai satu bentuk diskriminasi. Juga Artikel 5(d)(vii) yang memperuntukkan mengenai kebebasan berfikir dan kebebasan beragama, perlu diteliti dan tidak boleh diratifikasi secara total bagi mengekang pemikiran-pemikiran yang sesat seperti pemikiran liberalisme danpluralisme agama serta ajaran yang menyeleweng dari ajaran Islam termasuk Syiah dan Qadiani.

Perlu diingat, hak-hak yang dibentuk dalam ICERD adalah berdasarkan kepada nilai standard moral antarabangsa yang diterima dan diamalkan oleh rakyat di negara-negara Barat serta tidak perlu patuh kepada nilai-nilai Syariah, sebagaimana tafsiran oleh Oxford Dictionary.

Walaupun Malaysia belum menandatangani dan meratifikasikan ICERD, namun peruntukan-peruntukan yang berkaitan hak asasi manusia telah diperuntukkan dalam Bahagian II, Perlembagaan Persekutuan merujuk Perkara 5 hingga Perkara 13 seperti berikut:-

  • Perkara 5 – Kebebasan diri;
  • Perkara 6 – Keabdian dan kerja paksa dilarang;
  • Perkara 7 – Perlindungan daripada dibicarakan lebih daripada sekali;
  • Perkara 8 – Hak kesamarataan;
  • Perkara 9 – Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak;
  • Perkara 10 – Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan;
  • Perkara 11 – Kebebasan beragama;
  • Perkara 12 – Hak berkenaan pendidikan; dan
  • Perkara 13 – Hak terhadap harta.

Kerajaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dalam Perlembagaannya hendaklah bertanggungjawab menghormati kedudukan Islam ini dengan memberi kesan kepada makna sebenar ‘hak’ terlebih dahulu, iaitu mendahulukan Al-Haqq (Yang Maha Benar) dan haqq (kebenaran), dan bukannya mengutamakan hak yang bertentangan dengan Islam tetapi boleh diterima dari sudut moral sebagaimana yang ditakrifkan menurut istilah Barat. Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia juga bertanggungjawab memastikan hak asasi manusia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dilindungi dan dipelihara, namun ianya hendaklah selaras dengan haqq menurut Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kalam Allah (Al-Quran) yang benar, dan disampaikan melalui utusan Allah yang benar terlebih dahulu, dan bukannya mendahulukan hak-hak asasi sebagaimana menurut acuan Barat. Wallahu a’lam.