HARTA LUQATAH

DEFINISI HARTA LUQATAH

Harta yang ditemui di suatu kawasan yang tidak dimiliki, tidak dijaga, dan penemu tidak mengenali pemiliknya.

DALIL PENSYARIATAN HARTA LUQATAH

Al-Hadis

Hadis daripada Zaid bin Khalid r.a. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا، ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً، فإنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا، وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ، فإنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فأدِّهَا إلَيْهِ

Yang bermaksud: “Kenalilah ikatan atau bungkusannya, kemudian umumkan selama setahun, jika kamu tidak kenali pemiliknya, gunalah ia dan jadikan nilainya sebagai simpanan kamu. Jika pemiliknya datang menuntutnya pada bila-bila masa, hendaklah kamu serahkan kepadanya.” (Riwayat Muslim)

Hadis daripada Mujahid bin Jabr r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

 ولا تَحِلُّ لُقَطَتُها إلَّا لِمُنْشِدٍ

Yang bermaksud: “Tidak halal luqatahnya kecuali bagi orang yang akan mengumumkannya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Jenis-Jenis Harta Luqatah

Luqatah Barangan

a. Harta yang cepat rosak seperti makanan. Dari segi hukum harta begini boleh diberi pilih kepada penemunya sama ada untuk memakan atau menggunakannya dan diganti, atau dia menjualnya dan menyimpan harganya;

b. Harta yang cepat rosak tetapi boleh dijaga supaya tidak rosak. Bagi harta jenis ini wajib bagi penemunya mengambil tindakan yang sewajarnya bagi kepentingan pemilik asal iaitu menjual dan menyimpan harganya, dan melakukan sesuatu yang boleh mengelakkan harta tersebut dari rosak dengan belanja sendiri, atau dia menjual sebahagian harta tersebut bagi tujuan perbelanjaan penjagaan harta yang selebihnya;

c. Harta yang tidak rosak. Bagi harta ini digalakkan penemu menyerahkan kepada Baitulmal bagi tujuan hebahan dan amanah.

Luqatah Wang Tunai

Harus bagi penemu menyerahkan wang yang ditemui kepada Baitulmal bagi tujuan hebahan dan amanah.

Luqatah Haiwan

Harus bagi penemu memelihara haiwan yang ditemuinya dan dikembalikan kepada tuannya apabila dituntut. Beliau boleh meminta dari tuan asalnya jumlah perbelanjaan yang digunakannya. Harus juga bagi beliau menjual dan menyimpan wang hasil jualan.

Pengurusan Harta Atau Wang Luqatah

Mana-mana orang Islam yang menemui harta atau wang luqatah boleh menyerahkan harta yang dijumpai ke Ibu Pejabat MAIS atau Baitulmal Daerah di Pejabat Agama Islam Daerah yang terdekat. Antara harta-harta luqatah yang diterima adalah wang tunai, barang kemas, peralatan komunikasi, perhiasan diri dan lain-lain barang yang bernilai.

Hukum Pelaksanaan Pengurusan Dan Pelupusan Harta Luqatah Yang Disimpan Oleh Majlis Agama Islam Selangor

Perlaksanaan pengurusan dan pelupusan Harta Luqatah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:

i. Setiap Harta Luqatah yang diterima hendaklah dilaksanakan proses hebahan selama satu tahun. Sekiranya telah tamat tempoh selama satu tahun, maka bolehlah melupuskan Harta Luqatah tersebut secara lelongan dan hasil dari lelongan itu dimasukkan ke dalam Baitulmal;

ii. Harta Luqatah yang tidak mendatangkan manfaat hendaklah disimpan di tempat yang selamat;

iii. Sekiranya Harta Luqatah tersebut sama ada masih kekal atau telah dilelong atau telah dicairkan, pemiliknya berhak menuntut walau pun telah tamat tempoh hebahannya. Pihak Majlis Agama Islam Selangor hendaklah memulangkan semula sekiranya harta tersebut masih ada atau nilai barang (mengikut nilai semasa) jika telah dilelong atau dicairkan;

iv. Pemungut atau pemegang amanah Harta Luqatah harus mengenakan caj perkhidmatan yang munasabah kepada pemilik Harta Luqatah tersebut sekiranya pemilik hadir untuk memungut harta;

v. Harta Luqatah tersebut harus diserahkan kepada Baitulmal sebagai pemegang amanah. Adalah menjadi kewajipan menyerah kepada Baitulmal apabila tiada individu atau agensi yang sanggup menjadi pemegang amanah; dan

hakam3

vi. Harta Luqatah tersebut menjadi milik sepenuhnya kepada pemegang amanah atau pemungut untuk manfaatkan kepada perkara yang tidak bercanggah dengan syarak dan ada kemaslahatan kepada umat Islam.

*Fatwa ini telah diwartakan pada 31 Mac 2011

Serahan Harta Atau Wang Luqatah

SERAHAN HARTA

Atau

WANG LUQATAH

Atau

1. Penemu perlu mengisi borang serahan harta luqatah dan menyerahkan barang tersebut kepada pegawai bertanggungjawab beserta harta luqatah yang dibawa;

2. Satu surat akaun terimaan harta luqatah akan diberikan kepada penemu sebagai bukti penerimaan;

3. Jika harta luqatah dalam bentuk wang tunai, penemu boleh menyerah wang tunai yang dijumpai secara atas talian berserta maklumat yang diperlukan melalui e-MAIS.

4. Pihak Baitulmal MAIS akan mengeluarkan notis hebahan harta luqatah di premis awam berhampiran harta luqatah berkenaan ditemui atau kawasan awam yang berhampiran seperti masjid, surau, pusat membeli-belah dan lain-lain. Sebagai tambahan, hebahan boleh dibuat melalui laman web MAIS, akhbar, atau cara-cara lain yang difikirkan sesuai.

SEBARANG PERTANYAAN, HUBUNGI KAMI

Sektor Baitulmal
Majlis Agama Islam Selangor
Tingkat 10 Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Tel: 03-5514 3773 atau 3772    Faks: 03-5512 4042
Email: pro@mais.gov.my

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor