PAUTAN
PANTAS

AGENSI KERAJAAN & NEGERI

MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI

POPULAR

PAUTAN POPULAR

MEDIA SOSIAL
Waktu Solat
Kajian Kepuasan Pelanggan MAIS

Harta Pusaka

MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)

_

Harta Pusaka

Halaman 4 dari 7
Cara mewarisi harta pusaka sama ada seseorang waris itu berhak atau tidak berhak adalah tertakluk kepada golongan-golongan waris seperti berikut:

1. Ashab al-Furud
Waris ashabul-furud  menerima harta pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh Hukum Syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6, 1/8 atau 1/3 baki. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

2. Asabah
Asabah adalah waris yang tidak mendapat bahagian secara fardu yang ditetapkan. Terdapat 3 jenis asabah iaitu:

(a)  Asabah Bi al-Nafsi
(b)  Asabah Bi al-Ghairi
(c)  Asabah Ma’a al-Ghairi.

(a) Asabah Bi al-Nafsi
Asabah dengan diri sendiri iaitu seseorang menjadi asabah tanpa memerlukan kepada orang lain untuk mengasabahkannya. Kadar  bahagian mereka tidak menentu. Adakalanya mereka mewarisi kesemua harta atau mengambil baki setelah diberi bahagian waris fardu dan adakalanya tidak mendapat bahagian langsung kerana telah dihabiskan oleh waris fardu. Mereka yang mewarisi secara asabah bi al-nafsi ialah semua waris lelaki kecuali suami dan saudara seibu. Namun, jika terdapat ramai waris yang boleh mewarisi harta pusaka secara asabah bi al-nafsi ini, maka yang diutamakan adalah waris yang paling hampir dengan si mati. Waris yang lebih jauh akan terdinding atau gugur.

 (b) Asabah Bi al-Ghairi
Asabah bersama dengan orang lain iaitu seseorang mewarisi harta pusaka apabila si mati meninggalkan waris lelaki dan waris perempuan yang sama darjat di mana bahagian mereka telah ditetapkan iaitu bahagian waris lelaki adalah dua kali lebih daripada bahagian perempuan. Mereka terdiri daripada 4 golongan, iaitu: anak lelaki dan perempuan, cucu lelaki dan cucu perempuan, saudara seibu sebapa lelaki dan saudara seibu sebapa perempuan dan saudara sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan.

(c) Asabah Ma’a al-Ghairi
Asabah berserta dengan orang lain bermaksud waris perempuan iaitu saudara seibu sebapa perempuan atau saudara sebapa perempuan menjadi asabah apabila si mati meninggalkan bersertanya anak perempuan atau cucu perempuan dengan syarat tidak ada saudara seibu sebapa lelaki atau saudara sebapa lelaki yang mengasabahkan saudara-saudara perempuan tersebut menjadi asabah bi al-ghairi.

3. Dhawi al-Arham
Dhawi al-arham ialah waris yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati selain daripada waris fardu dan waris asabah. Ulama’ telah berselisih pendapat tentang kedudukan mereka, sama ada mereka boleh mewarisi harta pusaka atau tidak. Golongan pertama berpendapat mereka berhak mewarisi sekiranya si mati tidak meninggalkan waris asabah yang dapat menghabisi harta pusaka, atau tidak ada waris fardu boleh diradkan baki harta kepada mereka. Golongan kedua pula berpendapat mereka tidak berhak mewarisi. Oleh itu, sekiranya si mati tidak meninggalkan waris asabah atau meninggalkan waris fardu yang tidak dapat menghabiskan harta pusaka, baki harta pusaka si mati hendaklah diserahkan ke Baitulmal walaupun si mati meninggalkan ramai waris dhawi al-arham.