MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)
KEPENTINGAN MENDAULATKAN INSTITUSI RAJA
Susunan oleh : Bahagian Komunikasi Korporat MAIS
Pada hari ini tajuk kedaulatan Institusi Raja semakin popular. Ramai pembahas yang tampil untuk memperkatakan isu-isu yang menyentuh Institusi Raja sama ada berlatar belakang undang-undang, mahupun daripada disiplin ilmu lain. Tidak kurang juga yang mencuba-cuba untuk menghuraikan isu kedaulatan Institusi Raja. Lantaran itu, pelbagai sudut pandangan dilontarkan yang kadang-kala kelihatan begitu jauh daripada pengertian kedaulatan itu sendiri, sama ada dari sudut Islam mahupun barat. Akibat daripada kehilangan fokus, kepentingan sebenar kedaulatan Institusi Raja sukar digarap. Pada hakikatnya, kedaulatan Institusi Raja begitu juga Raja-Raja Melayu mempengaruhi prinsip kedaulatan undang-undang Negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan Negeri masing-masing.
Sesuai dengan judulnya, makalah ini akan menjelaskan kepentingan untuk mendaulatkan Institusi Raja. Kepentingan untuk mendaulatkan Institusi Raja lebih terserlah jika kedaulatan itu difahami dari sudut istilahnya. Secara harfiah, kedaulatan itu bermaksud kuasa agung. Dari sudut istilah, kedaulatan adalah penguasa agung yang memiliki hak mutlak untuk menetapkan undang-undang dan sistem politik. Namun begitu, penguasa agung boleh mendelegat kuasa penggubalan undang-undang kepada entiti lain tanpa memprejudiskan hak mutlaknya itu. Suatu undang-undang dianggap berdaulat sekiranya mematuhi ciri-ciri kedaulatannya. Undang-undang yang berdaulat boleh dikuat kuasakan secara sah oleh sesebuah kerajaan atau Negara; menghadkan kebebasan peribadi dengan kawalan sosial atau melindungi kebebasan peribadi terhadap kawalan sosial. Undang-undang boleh diadakan untuk menghalang dan menghukum salah laku, melindungi dan menguatkuasakan hak-hak, mengekalkan prinsip kedaulatannya, memelihara ketenteraman dan melaksanakan fungsi-fungsi lain.
Dalam dunia pada hari ini terdapat dua buah kerangka undang-undang yang mendasari prinsip kedaulatan. Kerangka itu adalah kontinuum dan dikotomi, iaitu dua ciri kedaulatan. Kerangka kontinuum bermaksud fahaman berbingkai pegangan pada ajaran Islam yang dibawa sejak Nabi Adam as sehinggalah Nabi Muhammad SAW; terasas pada ad-Din yang sama walaupun terdapat perbezaan antara syariat-syariat di sepanjang zaman seperti terkandung dalam wahyu-wahyu kepada para rasul dan nabi utusan Allah SWT. Kerangka itu dinamakan kontinuum kerana istilahnya diambil daripada perkataan ‘continuum’.
Kerangka dikotomi dibina daripada istilah ‘dichotomy’. Kerangka itu bermaksud dua perkara yang terpisah dan saling bertentangan sama ada secara sebahagian atau sepenuhnya. Pada sisi ajaran Islam, fahaman dikotomi bermula apabila kedaulatan milik mutlak Allah SWT seperti terkandung dalam ajaran Islam sejak Nabi Adam as, dipindahkan kepada manusia. Oleh demikian kerangka dikotomi adalah berlawanan dengan kontinuum.
Pemakaian mana satu kerangka di atas terletak pada ciri-ciri pemerintah tertinggi di dalam sesebuah kerajaan atau negara. Dalam konteks Malaysia, kedaulatan menurut Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan adalah terletak pada Raja-Raja Melayu. Di peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah wakil kepada Majlis Raja-Raja yang dipilih untuk mengetuai Kerajaan Persekutuan. Begitu juga halnya dalam Negeri-negeri beraja di Semenanjung Tanah Melayu; raja-raja adalah pemerintah tertinggi seperti termaktub dalam perlembagaan negeri masing-masing. Perkara 181(1) menetapkan bahawa prinsip kedaulatan, prerogatif (keistimewaan), kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dinikmati sehingga kini adalah tetap dan tidak terjejas. Prerogatif, kuasa dan bidang kuasa tersebut perlu dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Negeri masing-masing.
Perjanjian Negeri 1948 menjelaskan kedaulatan adalah prerogatif, kuasa dan bidang kuasa seperti baginda Raja Melayu miliki pada 1 Disember 1941. Kedaulatan Raja-Raja Melayu lebih jelas sekiranya dirujuk kepada Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 iaitu mengikut adat Melayu. Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946, Perjanjian Negeri 1948 dan Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan membuktikan bahawa kedaulatan yang diwarisi oleh Malaysia adalah terletak pada Institusi Raja, bukanlah kedaulatan rakyat seperti diwar-warkan oleh sebahagian sarjana di Negara kita.
Dokumen perundangan di atas menunjukkan bahawa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1957, kemudiannya Malaysia tidak bermula daripada kekosongan. Batu asasnya adalah Perjanjian Negeri 1948 bertarikh 21 Januari 1948; ditandatangani antara sembilan orang Raja-Raja yang berdaulat dengan Kerajaan British. Pemerhatian di atas menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 diinstitusikan oleh kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan kedaulatan itu kekal sehingga hari ini.
Satu perkara yang perlu difahami, adat Melayu adalah apa yang ditakrifkan sebagai adab budaya dan undang-undang pada hari ini selain daripada hukum hakam yang diwahyukan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah; merangkumi sistem, peraturan, etos (sikap) dan nilai yang tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam seperti diwarisi daripada amalan masyarakat dan Kerajaan Melayu pada masa silam. Justeru, kedaulatan Raja-Raja Melayu mengikut adat Melayu seperti terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 menuntut pemakaian kerangka kontinuum dalam pentafsiran prinsip kedaulatan Malaysia. Huraian lanjut tentang prinsip kedaulatan Negara bersumberkan ajaran Islam boleh dirujuk dalam buku Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Secara implikasinya, oleh kerana kedaulatan negara berkonsepkan Institusi Raja yang bersumberkan ajaran Islam, maka prinsip perlembagaan Negara merangkumi sistem politik dan prinsip perundangan hendaklah patuh syariah. Justeru, Perdana Menteri, menteri-menteri dan mereka yang melaksanakan fungsi kuasa eksekutif Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan perlu berpandu pada doktrin tadbir urus yang baik dan kaedah maqasid as-syar’iyyah. Selanjutnya, kedaulatan Institusi Raja tidak terhakis dengan semata-mata berlakunya pindaan untuk menguatkuasakan doktrin nasihat melalui Perkara 40 (1A) dan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan, iaitu pelaksanaan fungsi kuasa eksekutif dan penggubalan undang-undang di peringkat Persekutuan. Begitu juga dengan penghapusan imuniti Raja-Raja Melayu daripada prosiding undang-undang melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah kerana doktrin nasihat itu bersamaan dengan amalan syura manakala imuniti tiada dalam Islam. Sebaliknya, Institusi Raja masih mempunyai kuasa tersimpan sebagai ketua agama dan pemerintah tertinggi di peringkat Persekutuan dan Negeri.
Atas premis tersebut maka setiap umat Islam perlu mendaulatkan Institusi Raja untuk menjamin pemakaian sistem politik dan prinsip perundangan berlandaskan patuh syariah di peringkat Persekutuan dan Negeri. Sekiranya Institusi Raja digantikan dengan kedaulatan Parlimen seperti berlaku di England, maka lahirlah kedaulatan rakyat yang boleh mengenepikan pemakaian ajaran Islam.