PAUTAN
PANTAS

AGENSI KERAJAAN & NEGERI

MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI

POPULAR

PAUTAN POPULAR

MEDIA SOSIAL
Waktu Solat
Kajian Kepuasan Pelanggan MAIS

Perkhidmatan Wasiat

MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)

_

Wasiat

HUKUM WASIAT

Peringkat awal Islam, hukum wasiat kesemua harta kepada ibu bapa dan sanak saudara adalah wajib sebagaimana firman Allah SWT:

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

Yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia meninggalkan harta, hendaklah dia membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik, sebagai suatu kewajipan ke atas orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah: 180)

Walau bagaimanapun, kewajipan ini telah dimansuhkan dengan Surah al-Nisa’ ayat 11, 12 dan 176 dan hadis-hadis yang berkaitan dengan harta pusaka. Namun, amalan berwasiat masih digalakkan dengan had maksima satu pertiga dan ditujukan kepada selain waris.

Ia sebagaimana hadis daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللهَ قد أعطى كلَّ ذي حقٍّ حقَّهُ؛ فلا وصيَّةَ لوارثٍ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak akan hak masing-masing. Maka, tiada wasiat untuk waris.” (Riwayat Abu Daud)

KADAR WASIAT

Pewasiat digalakkan mewasiatkan harta tidak melebihi satu pertiga. Ia berdasarkan hadis daripada Saad bin Abi Waqqas r.a. ketika Rasulullah SAW melawat beliau yang sedang sakit:

يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ

Yang bermaksud: “Ya Rasulullah, bolehkah aku ingin berwasiat semua hartaku? Jawab baginda: “tidak”, Aku berkata: “setengah?” Jawab baginda: “tidak”, aku berkata lagi: “Satu pertiga” Jawab baginda: “Satu pertiga dan satu pertiga itu banyak”, “sesungguhnya engkau meninggalkan waris itu kaya lebih baik daripada dia meminta-minta daripada manusia dengan tangan mereka.” (Riwayat al-Bukhari)

Satu pertiga dikira daripada harta bersih setelah dijelaskan kos urusan pengebumian dan hutang pewasiat. Sekiranya pewasiat menanggung hutang yang banyak hingga kehabisan segala hartanya, maka wasiatnya tidak perlu dilaksanakan.

WASIAT KEPADA WARIS

Jumhur fuqaha berpendapat wasiat kepada waris adalah tidak diharuskan dan wasiat hanya sah dibuat kepada bukan waris yang menerima bahagian harta di bawah peraturan faraid. Berdasarkan kepada pandangan ini, asal hukum wasiat kepada waris adalah tidak sah melainkan jika waris lain bersetuju dengan wasiat yang dibuat ketika pewasiat meninggal dunia. Dengan demikian, pelaksanaan wasiat kepada waris adalah bergantung kepada persetujuan dan keizinan daripada waris yang lainnya .

Sandarannya adalah berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا وصيةَ لوارثٍ إلا أن يشاءَ الورثةُ

Yang bermaksud: “Tidak boleh berwasiat kepada waris melainkan jika diizinkan oleh warisnya yang lain.” (Riwayat Abu Daud)

Oleh itu, sesuatu wasiat yang dibuat kepada waris adalah tidak berkuatkuasa melainkan jika dipersetujui oleh waris-waris yang lain selepas kematian pewasiat.