PAUTAN
PANTAS

AGENSI KERAJAAN & NEGERI

MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI

POPULAR

PAUTAN POPULAR

MEDIA SOSIAL
Waktu Solat
Kajian Kepuasan Pelanggan MAIS

Wang Orang Berhutang

MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)

_

Wang Orang Berhutang

Halaman 4 dari 6
TANGGUNGJAWAB WARIS MELUNAS HUTANG SI MATI

Seseorang yang mempunyai hutang kemudian meninggal dunia, hutangnya hendaklah dilangsaikan oleh waris-warisnya atau wasi atau pentadbir yang dilantik melalui harta pusakanya. Ia sebagaimana firman Allah SWT:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.” (Surah al-Nisa’: 11)

Dari segi pelaksanaan, Rasulullah SAW mendahulukan pembayaran hutang daripada pelaksanaan wasiat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a. yang bermaksud: “Apabila kamu memerhatikan susunan ayat itu, maka Baginda SAW menetapkan pembayaran hutang si mati didahulukan dari wasiat.” (Riwayat al-Tirmiz)

Menurut Dr. Mohd Zamro Muda dan Almarhum Prof. Madya Mohd Ridzuan Awang dalam Undang-Undang Pusaka Islam,  hikmah didahulukan pembayaran hutang daripada pelaksanaan wasiat ialah hutang tetap menjadi beban kepada orang berhutang sama ada ketika hidup atau sesudah mati. Orang berhutang masih dituntut penghutang dan apabila dia meninggal dunia, menjadi tanggungjawab waris menjelaskan hutang. Manakala wasiat adalah amal kebajikan semata-mata dan tiada kaitan dengan pihak ketiga.

Menurut jumhur ulama, hutang terhadap Allah tidak gugur walaupun seseorang itu meninggal dunia. Ia perlu dijelaskan menggunakan harta pusaka si mati walaupun tidak diwasiatkan supaya dijelaskan. Ia termasuklah zakat, fidyah, kafarah dan haji fardu. Mazhab Shafie berpendapat bahawa hutang terhadap Allah perlu didahulukan pembayarannya sebelum hutang sesama manusia.

Jika ada hutang arwah yang bayarannya perlu dijelaskan setiap bulan atau ada hutang yang rumit diselesaikan, waris bertanggungjawab melantik seorang pentadbir yang akan menguruskan hutang sehingga selesai.
Namun, sekiranya si mati tidak meninggalkan sebarang harta atau harta yang dimilikinya tidak mencukupi untuk membayar hutang yang ditinggalkan, maka waris tidak harus untuk membayar hutang-hutang si mati tersebut. Hal ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).” (Surah al-An’am: 164)

Walaubagaimanapun, sekiranya waris menolong membayar hutang yang ditinggalkan itu, maka ia termasuk sebagai perbuatan ihsan kepada si mati dan semestinya diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Sudah pasti perkara tersebut adalah baik kepada si mati dan terlebih baik kepada ahli waris tersebut.

TANGGUNGJAWAB PENGHUTANG MELUNAS HUTANG WALAUPUN PEMIUTANG TELAH MENINGGAL DUNIA

Harta yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya akan menjadi milik waris yang ditinggalkan. Ini jelas sepertimana yang dinyatakan di dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ مَاتَ وَتَرَكَ مَالاً فَمَالُهُ لِمَوَالِي الْعَصَبَةِ

Yang bermaksud: “Sesiapa yang mati dan meninggalkan harta, maka hartanya itu adalah untuk wali asabah.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam pembahagian harta pusaka orang Islam, hutang penghutang terhadap si mati adalah termasuk dalam definisi harta pusaka. Ulama mendefinisikan harta pusaka sebagai semua yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta, hak dan manfaat. Hutang adalah harta si mati yang dipinjam dan wajib dikembalikan semula kepada ahli waris sebagai harta pusaka kerana pemilikan si mati sudah beralih kepada para waris.