SAYANGI ANAK YATIM

SAYANGI ANAK YATIM

Picture 4
Bersikap pemurah dan bersikap kebapaan kepada anak yatim
MUKADDIMAH

Islam adalah agama yang prihatin dan menyayangi anak yatim. Ini terpancar melalui qudwah hasanah (contoh teladan yang baik) oleh Baginda Rasulullah SAW apabila Baginda menyantuni anak-anak yatim dengan penuh kasih sayang dan ihsan.

 

Ini kerana, Baginda juga yang pernah membesar sebagai anak yatim amat memahami psikologi dan perasaan yang bermain dalam minda anak yatim. Dalam tradisi ilmuwan Islam, perbahasan berkaitan anak yatim merupakan antara perbahasan yang penting yang meliputi soal adab, akhlak, muamalah, fiqh dan lain-lain.

Tambahan pula, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Ju’fiy al-Bukhari atau lebih dikenali sebagai Imam Bukhari (256H) turut menamakan satu sub topik dalam karyanya ‘al-Adab al-Mufrad’ (Adab Semata-mata) dengan judul ‘كتاب الْكَرَمِ وَ يَتِيمٌ’ (Kitab al-Karami wa Yatimun) yang bermaksud ‘Kitab tentang sikap pemurah dan anak yatim.

Di dalam sub topik tersebut, Imam Bukhari telah membahagikan kepada 9 tajuk kecil yang menghimpunkan hadis-hadis bersikap pemurah dan bersikap kebapaan kepada anak yatim, menyayangi, memberi makan dan mendisiplinkan anak yatim serta pemberdayaan anak yatim.

 

DALIL AL-QURAN DAN HADIS BERKENAAN GALAKAN MENYANTUNI ANAK YATIM

Picture 3
Anak-anak yatim adalah merupakan suatu kebaikan

Al-Quran dengan jelas menyebutkan berkenaan hal ehwal anak yatim. Allah SWT berfirman yang bermaksud,

“Dan mereka bertanyakan kepada mu (wahai Muhammad) terhadap anak-anak yatim. Katakanlah bahawa berbuat islah (kebaikan) kepada mereka itu (anak-anak yatim) adalah merupakan suatu kebaikan.” (Surah Al-Baqarah ayat 220).

Allah SWT turut melarang berlaku kasar terhadap anak yatim. Ini dijelaskan dalam surah ad-Dhuha ayat 9, di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud.

“Oleh itu, adapun anak yatim, maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,”.

Allah SWT juga turut melaknat orang yang menguruskan harta anak yatim secara zalim dan memakannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud,

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” (Surah an-Nisaa’ ayat 10).

Allah SWT berfirman yang bermaksud,

Dan janganlah kalian mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang terbaik sehinggalah anak tersebut sampai kepada tempoh balighnya.”(Surah Al-An’aam ayat 152).

Dalam satu hadis, Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga, kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni.” (Riwayat al-Tirmidzi, no. 1917).

Melalui ayat-ayat al-Quran dan hadis di atas, dapatlah difahami, mafhum mukhalafah, Islam menggalakkan umatnya untuk menyayangi dan tidak berlaku zalim kepada anak yatim.

 

EKSPLOITASI ANAK YATIM

Picture 2

Islam melarang segala perbuatan yang menjatuhkan maruah atau mengeksploitasi anak yatim sama ada diri mahu pun harta mereka. Sebelum ini, terdapat laporan dalam media cetak dan media sosial berkaitan isu eksploitasi ke atas anak yatim.

Perkara ini amat menyedihkan lebih-lebih lagi apabila perbuatan ini dilakukan oleh insan yang bergelar Muslim. Pada tahun 2018, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengesahkan seramai 29 kanak-kanak di sebuah pusat jagaan pertubuhan kebajikan anak yatim di Temerloh di sini, dipercayai dicabul dan didera.

Pada tahun 2021, media melaporkan kes dera terhadap anak yatim berstatus OKU yang bernama Bella, juga kes dera yang dilakukan oleh keluarga angkat dan banyak lagi. Tajuk-tajuk yang dipaparkan di media ini amat menyayat hati para pembaca, apatah lagi jika ibubapa kepada anak yatim ini masih hidup dan melihat bagaimana anak-anak mereka diperlakukan, pastinya remuk dan berkecai hati mereka akibat menanggung kesedihan yang mendalam.

 

INISIATIF MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS) DALAM MENYANTUNI ANAK-ANAK YATIM

Picture 1
“Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua jari ini di syurga”

Pada tahun 2011, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Sultan bagi Negeri Selangor telah melawat mangsa kejadian tanah runtuh yang melibatkan Rumah Anak Yatim Al-Taqwa di daerah Hulu Langat, Selangor.

Lanjutan daripada peristiwa tersebut, pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengambil inisiatif menubuhkan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) untuk menguruskan semua urusan hal ehwal berkaitan anak-anak yatim dalam Negeri Selangor yang sebelum ini diuruskan oleh Sektor Baitulmal, MAIS.

Pada tahun 2019, YIDE telah menganjurkan beberapa program bagi meraikan anak-anak yatim dalam Negeri Selangor. Program-program yang dilaksanakan termasuklah program Khatan Perdana 2019 dengan Kerjasama MSU, Lembaga Zakat Selangor dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong), meraikan anak-anak yatim menonton Boboi Boy dan menonton pertandingan bola sepak Piala Sultan Selangor 2019, menyertai aktiviti korban bersama anak-anak yatim, memberi sumbangan persekolahan, mendapatkan tajaan anak yatim untuk membeli-belah barangan keperluan Hari Raya dan menyalurkan sumbangan anak yatim di seluruh Negeri Selangor.

Pada tahun 2020, YIDE telah menganjurkan sesi ramah mesra dan penyampaian sumbangan kepada wakil rumah-rumah anak yatim seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan, mengagihkan sumbangan anak yatim Fasa I di Majlis Sambutan Kemerdekaan ke-63, mendapatkan tajaan BERNAS bagi menyumbang 100 kampit beras buat rumah anak yatim seliaan YIDE, mendapatkan tajaan bagi sumbangan bantuan makanan asas sempena menyambut Ramadhan 1441H dan sumbangan bekalan makanan basah serta gula, mengedarkan cecair basmi kuman ke rumah anak yatim sekitar negeri Selangor dan mengedarkan makanan asas ke rumah anak-anak yatim sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada tahun 2021, YIDE telah mengagihkan sumbangan komputer riba dan sumbangan tunai kepada rumah anak yatim seliaan YIDE melalui sumbangan Baitumal MAIS, menyumbang barang kelengkapan persekolahan bagi sesi 2021, program penyerahan sumbangan peribadi oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor untuk pembinaan Kompleks Anak Yatim YIDE, program terimaan sumbangan korporat sebanyak RM 100,000.00 untuk Tabung Dana Infaq Anak Yatim oleh DYTM Raja Muda Selangor.

Semoga usaha murni yang dijalankan oleh YIDE dan MAIS serta semua para penyumbang yang prihatin untuk menyantuni anak yatim akan mendapat ganjaran sewajarnya di akhirat kelak seperti sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud,

Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua jari ini (Nabi SAW mengisyaratkan dengan dua jari Baginda SAW) di syurga”. (Riwayat Muslim no. 2983).

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor