MAIS PRIHATIN MANGSA BANJIR DI NEGERI KELANTAN DAN TERENGGANU -Sumbang RM200,000, Tanda Solidariti Antara Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN)

MAIS PRIHATIN MANGSA BANJIR DI NEGERI KELANTAN DAN TERENGGANU -Sumbang RM200,000, Tanda Solidariti Antara Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN)

323920126 563129225686619 2564369778751060401 n

Kelantan, 8 Januari – Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang terjejas di negeri Kelantan dan Terengganu dalam insiden 21 Disember 2022 yang lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tampil menyumbangkan RM200,000.00 bagi menyantuni mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir.

Sumbangan RM200,000.00 itu meliputi peruntukan daripada Baitulmal MAIS, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Universiti Islam Selangor (UIS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Bakti Suci Holdings Sdn Bhd (BSHSB) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS).

Daripada jumlah tersebut, MAIS menyumbang wang tunai sebanyak RM125,000.00. Manakala agensi dan anak syarikat MAIS iaitu PWS, UIS, YIDE, BSHSB dan TERAS menyumbang sumbangan terkumpul sebanyak RM75,000.00 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM200,000.00.

Sumbangan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM100,000.00.

Daripada jumlah sumbangan RM100,000.00 tersebut, masing-masing menerima sumbangan tunai sebanyak RM50,000.00 dan 500 pek makanan asas dengan nilai RM50,000.00.

Hari ini, Yang Amat Dihormati Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dan Yang Berbahagia Dr. Haji Ahmad Shahir bin Makhtar, Setiausaha MAIS turun untuk memberi pelepasan konvoi kumpulan MAIS bersama agensi dan anak syarikat MAIS ke negeri Kelantan dan Terengganu bagi sumbangan yang diberikan.

Sumbangan MAIS ini adalah bertujuan sebagai tanda solidariti di antara Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) bagi menyantuni mangsa yang terkesan akibat banjir di samping memenuhi maslahah ummah terutama dalam membantu berkaitan keperluan mangsa bagi meringankan bebanan mereka.

MAIS amat prihatin dengan keperluan maslahah ummah khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu dan apabila berlaku ujian seperti ini, MAIS, agensi dan anak syarikat akan segera memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Terdahulu, MAIS, agensi dan anak syarikat MAIS menyumbang sebanyak RM300,000.00 bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu dalam kejadian 18 Mac 2022.

Turut terlibat sama agensi dan anak syarikat MAIS dalam konvoi hari ini ialah Puan Nurhani Salwa Jamaluddin, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS, Encik Mohd Hasnul Redza bin Abdul Rahim, Pengurus Besar Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) dan wakil Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor