MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)
Fidyah
DEFINISI FIDYAH
Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.
DALIL PENSYARIATAN FIDYAH
Al-Quran
Firman Allah SWT:
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Yang bermaksud: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184)
Al-Hadis
Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
من مات وعليه صيامُ شهرٍ فليُطعمْ عنه مكانَ كلِّ يومٍ مسكينًا
Yang bermaksud: “Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.” (Riwayat al-Tirmizi)
HIKMAH PENSYARIATAN FIDYAH
a. Sebagai bentuk penebusan terhadap ketidaksempurnaan dalam melakukan sesuatu ibadah yang menyebabkan pelakunya berdosa;
b. Sebagai jalan keluar yang disediakan oleh Islam bagi mereka yang menghadapi masalah dalam melakukan ibadah; dan
c. Sebagai rukhsah (keringanan) bagi mereka yang tidak mampu melaksanakan ibadah secara badaniyyah dengan menggantikannya dalam bentuk maliyyah
HUKUM FIDYAH
Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum membayar fidyah adalah WAJIB. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.