Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan majoriti umat Islam di seluruh dunia, khususnya di rantau Asia Tenggara termasuk negara kita Malaysia. Bahkan, ia telah ditetapkan sebagai pegangan rasmi umat Islam di negara ini berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, pandangan para mufti serta ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa seluruh negeri.

pexels pirsumeyra 10206732
Sumber imej: https://www.pexels.com/

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah memutuskan dengan jelas bahawa: “Umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.” 

Istilah “Ahli Sunnah Wal Jamaah” ini sebenarnya berasal daripada perkataan ahlus sunnah yang bermaksud golongan yang berpegang kepada sunnah Nabi SAW, dan al-jama‘ah yang merujuk kepada golongan sahabat dan para pengikut mereka yang istiqamah di atas jalan Baginda SAW. Maka Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah mereka yang berpegang teguh dengan ajaran Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang difahami dan diamalkan oleh para sahabat Baginda, tabi’ tabi’in sehinggalah kepada kita hari ini. Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah golongan yang mengutamakan perpaduan dan kesatuan dalam agama dan dalam masa yang sama mereka menjauhi permusuhan dan perpecahan.

 
pexels tkirkgoz 19415701
Sumber imej: https://www.pexels.com/

Allah SWT berfirman dalam surah Ali-‘Imran ayat 106 yang bermaksud: “Pada hari (kiamat), ada orang yang berwajah putih berseri dan ada pula yang berwajah hitam legam. Adapun orang yang berwajah hitam legam itu (akan ditempelak), “Patutkah kamu menjadi kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu, rasakanlah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”. Menurut Imam al-Suyuthi berkenaan ayat di atas, golongan yang wajahnya berseri pada hari kiamat ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kerajaan Negeri Selangor dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah mewartakan Fatwa Berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah pada 17 Jun 2025. Fatwa tersebut dengan jelas menyatakan bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah dan tauhid, mengikut manhaj Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari, Imam Abu Mansur al-Maturidi, ulama al-Asha’irah dan al-Maturidiah. 

Dari sudut syariah dan fiqah, sesuatu hukum ditentukan berdasarkan pegangan mazhab Imam al-Shafi‘i, atau dalam keadaan tertentu, boleh juga merujuk kepada pandangan Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali, atau ijtihad hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa.

pic2
Sumber imej: https://www.mssaas.gov.my/

Manakala dari sudut akhlak dan tasawuf, aliran ini mengikut manhaj Imam Junaid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali atau ulama sufi yang muktabar. 

Tafsiran ini berasaskan pegangan dan pandangan yang kukuh , sebagaimana yang telah diterima oleh majoriti ulama dan umat Islam sejak zaman berzaman. Ia merupakan fahaman serta amalan agama yang diwarisi daripada Rasulullah SAW dan para sahabat Radiallahuanhum, seterusnya disampaikan oleh para ulama muktabar dari kalangan generasi salaf (iaitu generasi awal Islam termasuk para sahabat, tabi‘in dan tabi‘ tabi‘in) dan khalaf (iaitu generasi selepas salaf yang meneruskan tradisi keilmuan Islam) hingga ke hari ini. Ia juga disifatkan sebagai kesepakatan yang menyelamatkan ummah sejak zaman berzaman. Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radiallahuanhu, beliau mendengar Rasulullahi SAW bersabda: 

“Sesungguhnya umatku tidak akan bersepakat di atas kesesatan. Maka apabila kamu melihat perselisihan, maka hendaklah kamu bersama golongan yang majoriti (as-sawād al-a‘ẓam). (Riwayat Ibnu Majah).

masjidbukitjelutong hakimmislan
Sumber imej: www.flickr.com/photos/akem3g

Selain itu, Imam Murtadha al-Zabidi juga ketika mensyarahkan kitab Ihya’ Ulumuddin ada menyebutkan: “Apabila disebut Ahli Sunnah Wal Jamaah secara mutlak, maka yang dimaksudkan dengan golongan ini adalah al-Asha’irah dan al-Maturidiah.” 

Para ulama dan umara Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan tafsiran ini telah memainkan peranan penting dalam pembangunan institusi pendidikan, pentadbiran Islam, institusi kehakiman, pelaksanaan jihad yang sahih, amar makruf nahi mungkar dan pengembangan ilmu Islam seperti akidah, fiqah, tasawuf, qiraat, hadis dan lain-lain.

Sejak kedatangan Islam di Tanah Melayu, para sultan, ulama, qadi dan rakyat jelata telah berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pada hari ini, hampir semua negeri di Malaysia memiliki tafsiran yang sama dengan sedikit perbezaan pada sudut bahasa sahaja. Bahkan di negeri Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan ulama telah berpegang, mengamalkan dan menyebarkan pegangan dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menjadikannya sebagai syiar agama.

pic5
Sumber imej: facebook.com/ILHAMBooks

Duli Yang Maha Mulia Sultan ‘Alaeddin Sulaiman Shah Alhaj, Sultan Selangor yang kelima telah mengarang kitab Pohon Agama yang merupakan kitab akidah Sifat 20 yang berteraskan kepada manhaj Abu al-Hasan al-Ash’ari iaitu tokoh akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 59: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad) serta Ulil Amri (orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu.

 Justeru, mentaati Ulil Amri adalah suatu kemestian selagi mana tidak disuruh melakukan maksiat dan kemungkaran. Semua perkara baik yang mempunyai maslahat yang disuruh mahupun yang ditetapkan hendaklah diikut dan dituruti. 

Manhaj al-Asha’irah dan al-Maturidiah merupakan pegangan yang sederhana , dan bukanlah manhaj yang sempit dan ekstrem sehingga mudah mengkafirkan golongan selainnya. Manhaj al-Asha’irah dan al-Maturidiah adalah manhaj yang sangat luas merangkumi ulama dan umat Islam daripada pelbagai mazhab dan aliran fiqah serta tasawuf. Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari sendiri dengan tegas melarang sikap kafir mengkafir sesama ahli kiblat. 

Bahkan tokoh besar Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam akidah, fiqah dan tasawuf ;  iaitu Hujjatul Islam Muhammad bin Muhammad al-Ghazali berkata: “Tersalah menganggap Islam 1000 orang kafir adalah lebih ringan daripada tersalah mengkafirkan 1 batang tubuh orang Islam”. 

Kata-kata ini seharusnya menjadi peringatan dan pedoman buat kita semua. Ia menggambarkan betapa para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sangat berhati-hati dalam isu takfir, jauh sekali daripada pendekatan yang ekstrem. Para ulama al-Asha’irah dan al-Maturidiah dengan manhaj yang sederhana ini tidak bermudah-mudahan membid’ahkan perkara khilafiyah apatah lagi mengkafirkan sesama Islam. 

Tafsiran ini juga tidak menafikan keharusan dan keabsahan untuk solat di belakang imam yang berbeza mazhab. Hal ini kerana dalam mazhab al-Shafi’i, solat di belakang imam yang berlainan mazhab dengan syarat masih seorang muslim adalah sah. 

Sekiranya istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak ditakrifkan secara jelas dan menyeluruh, dibimbangi istilah ini akan disalahguna oleh golongan yang membawa ajaran menyimpang seperti Syiah, Arqam, Hizbut Tahrir, liberalisme, pluralisme agama dan seumpamanya. Mereka mungkin mendakwa termasuk dalam kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah, sedangkan hakikatnya mereka menolak prinsip-prinsip utama yang dipersetujui oleh jumhur ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sepanjang zaman.

 

pic6
Sumber imej: https://selangorjournal.my/

Di samping itu, tafsiran ini sebenarnya tidaklah mengeluarkan mana-mana kumpulan atau aliran lain yang sama manhaj dan kefahaman dengan al-Asha’irah dan al-Maturidiah daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selagi mana sesuatu aliran itu mengikuti manhaj yang sama walaupun berlainan nama dan nisbah, selagi itu aliran tersebut adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

(Disunting dari Khutbah Jumaat terbitan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, JAIS pada 4 Julai 2025)

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search