Dalam khazanah pemikiran Islam, Saidatina Aisyah binti Abu Bakar RA merupakan tokoh wanita agung yang memainkan peranan besar dalam sejarah perkembangan Islam. Kedudukannya sebagai isteri kepada Nabi Muhammad SAW serta individu yang paling dekat dengan Baginda SAW menjadikan beliau sumber rujukan penting dalam memahami ajaran Islam. Dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA), kemuliaan Saidatina ‘Aisyah RA bukan sahaja diiktiraf dari sudut hubungan kekeluargaan, bahkan turut diperkukuhkan dengan dalil Al-Quran, Hadis serta pengiktirafan ulama muktabar. Sumber imej: janaan Ai Sebagai Ummul Mukminin, Saidatina ‘Aisyah RA menikmati kedudukan istimewa dan para isteri Nabi SAW yang lain sebagai ibu kepada orang-orang yang beriman sebagaimana firman Allah Ta’ala ; ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَٰجُهُۥٓ أُمَّهَـٰتُهُمْ ۗ Maksudnya : “Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka”. (al-Ahzab : 6) Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, gelaran ini menuntut umat Islam memuliakan mereka serta menjaga kehormatan mereka. Justeru, mencintai Saidatina ‘Aisyah RA merupakan sebahagian daripada tuntutan akidah dalam ASWAJA. Menurut kitab al-Hujjah Fi Bayan Mahajjah antara keistimewaan Saidatina ‘Aisyah RA adalah satu-satunya isteri Nabi Muhammad SAW yang dinikahi tatkala gadis, berbeza dengan isteri-isteri Rasulullah SAW yang lain kerana mereka dinikahi tatkala janda. Saidatina ‘Aisyah RA sendiri pernah mengatakan, “Aku telah diberi sembilan perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun setelah Maryam. Jibril telah menunjukkan gambarku tatkala Rasulullah SAW diperintah untuk menikahiku, Baginda menikahiku tatkala aku masih gadis dan tidaklah baginda menikahi seorang gadis kecuali diriku, baginda meninggal dunia sedang kepalanya berada dalam dakapanku serta baginda dikuburkan di rumahku, para malaikat menaungi rumahku”. Keistimewaan Saidatina ‘Aisyah RA turut terserlah melalui kecintaan mendalam Rasulullah SAW terhadapnya. Dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, Baginda SAW menyebut Saidatina ‘Aisyah RA sebagai individu yang paling dicintainya. Hubungan ini bukan sekadar hubungan suami isteri, tetapi juga hubungan intelektual dan spiritual yang mendalam. Saidatina ‘Aisyah RA menjadi tempat rujukan Nabi Muhammad SAW dalam urusan rumah tangga, bahkan turut menyaksikan secara langsung proses penurunan wahyu. Beliau juga merawat Baginda SAW ketika sakit sehingga kewafatan Rasulullah SAW di pangkuannya, suatu penghormatan besar yang menunjukkan kedudukan istimewa beliau di sisi Nabi Muhammad SAW. Sumber imej: janaan Ai Dari sudut keilmuan, ‘Aisyah RA merupakan antara sahabat paling alim. Beliau meriwayatkan sekitar 2210 hadis dan tergolong dalam kelompok al-Mukaththirin (perawi hadith terbanyak). Menurut Imam al-Dhahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’, beliau adalah seorang faqihah, alimah dan tokoh rujukan utama umat. Pandangan ini turut disokong oleh Imam al-Zuhri yang menyatakan bahawa ilmu ‘Aisyah RA mengatasi kebanyakan sahabat lain. Malah, sahabat besar seperti Abdullah ibn Abbas sering merujuk kepada beliau dalam pelbagai persoalan agama. Kemuliaan ‘Aisyah RA juga ditegaskan melalui pembelaan Allah SWT dalam peristiwa Hadis al-Ifk. Dalam Surah an-Nur (24:11–26), Allah SWT membersihkan beliau daripada tuduhan fitnah yang dilemparkan oleh golongan munafik. Imam al-Qurtubi dalam al-Jami‘ li Ahkam al-Quran menegaskan bahawa pembelaan ini merupakan dalil qat‘i tentang kesucian ‘Aisyah RA. Dalam perspektif ASWAJA, menuduh beliau selepas turunnya ayat tersebut dianggap bercanggah dengan nas Al-Quran. Sumber imej: janaan Ai Selain keilmuan, ‘Aisyah RA juga dikenali sebagai tokoh wanita yang berwibawa dalam kepimpinan. Penglibatannya dalam peristiwa Perang Jamal menunjukkan keupayaannya memimpin dan memobilisasi masyarakat. Walaupun peristiwa tersebut menjadi polemik dalam sejarah, ulama ASWAJA menegaskan bahawa ia berlaku hasil ijtihad dan tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai sahabat yang mulia. Hal ini selari dengan prinsip yang dinyatakan oleh Imam al-Tahawi dalam al-‘Aqidah al-Tahawiyyah bahawa umat Islam wajib menjaga lisan daripada mencela para sahabat. Keperibadian ‘Aisyah RA turut mencerminkan akhlak mulia seperti kesederhanaan dan kedermawanan. Diriwayatkan bahawa beliau pernah menginfakkan 100,000 dirham kepada fakir miskin tanpa menyimpan sedikit pun untuk dirinya. Kehidupan beliau yang sederhana walaupun berada dalam kedudukan terhormat membuktikan keikhlasan dan kezuhudan yang tinggi. Dalam hal ini, Imam al-Shafi‘i menegaskan bahawa sebahagian besar ilmu dan akhlak Islam dapat dipelajari melalui riwayat ‘Aisyah RA. Selain itu, keperibadian beliau sebagai isteri Nabi Muhammad SAW mencerminkan model rumah tangga ideal. Hubungan mesra antara beliau dan Rasulullah SAW menggambarkan konsep keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah sebagaimana dianjurkan dalam Islam. Sifatnya yang ceria, bijaksana dan matang menjadikan beliau bukan sahaja sebagai pasangan hidup Nabi Muhammad SAW, tetapi juga sebagai pendamping yang menguatkan perjuangan Baginda SAW dalam dakwah dan pentadbiran negara Madinah. Sumber imej: https://lagazettedescomores.com/ Kesimpulannya, kemuliaan Saidatina ‘Aisyah RA dalam perspektif Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berasaskan dalil yang kukuh daripada Al-Quran, Hadis serta pandangan ulama muktabar. Kedudukannya sebagai Ummul Mukminin, keilmuan yang luas, pembelaan wahyu serta sumbangannya dalam masyarakat menjadikan beliau tokoh wanita unggul sepanjang zaman. Oleh itu, menghormati dan mencintai ‘Aisyah RA bukan sekadar tuntutan akhlak, bahkan merupakan sebahagian daripada asas akidah dalam pegangan ASWAJA. Akhir sekali, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam boleh melaporkan kepada Hotline JAIS di talian 1800-88-2424 bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil dan dinasihatkan umat Islam agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan ajaran Islam.