MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)
Harta Luqatah
Halaman 1 dari 2
DEFINISI HARTA LUQATAH
Harta yang ditemui di suatu kawasan yang tidak dimiliki, tidak dijaga, dan penemu tidak mengenali pemiliknya.
DALIL PENSYARIATAN HARTA LUQATAH
Al-Hadis
Hadis daripada Zaid bin Khalid r.a. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا، ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً، فإنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا، وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ، فإنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فأدِّهَا إلَيْهِ
Yang bermaksud: “Kenalilah ikatan atau bungkusannya, kemudian umumkan selama setahun, jika kamu tidak kenali pemiliknya, gunalah ia dan jadikan nilainya sebagai simpanan kamu. Jika pemiliknya datang menuntutnya pada bila-bila masa, hendaklah kamu serahkan kepadanya.” (Riwayat Muslim)
Hadis daripada Mujahid bin Jabr r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
ولا تَحِلُّ لُقَطَتُها إلَّا لِمُنْشِدٍ
Yang bermaksud: “Tidak halal luqatahnya kecuali bagi orang yang akan mengumumkannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
JENIS-JENIS HARTA LUQATAH
Terdapat tiga (3) jenis harta luqatah iaitu:
1. Luqatah Barangan
a. Harta yang cepat rosak seperti makanan. Dari segi hukum harta begini boleh diberi pilih kepada penemunya sama ada untuk memakan atau menggunakannya dan diganti, atau dia menjualnya dan menyimpan harganya;
b. Harta yang cepat rosak tetapi boleh dijaga supaya tidak rosak. Bagi harta jenis ini wajib bagi penemunya mengambil tindakan yang sewajarnya bagi kepentingan pemilik asal iaitu menjual dan menyimpan harganya, dan melakukan sesuatu yang boleh mengelakkan harta tersebut dari rosak dengan belanja sendiri, atau dia menjual sebahagian harta tersebut bagi tujuan perbelanjaan penjagaan harta yang selebihnya;
c. Harta yang tidak rosak. Bagi harta ini digalakkan penemu menyerahkan kepada Baitulmal bagi tujuan hebahan dan amanah.
2. Luqatah Wang Tunai
Harus bagi penemu menyerahkan wang yang ditemui kepada Baitulmal bagi tujuan hebahan dan amanah.
3. Luqatah Haiwan
Harus bagi penemu memelihara haiwan yang ditemuinya dan dikembalikan kepada tuannya apabila dituntut. Beliau boleh meminta dari tuan asalnya jumlah perbelanjaan yang digunakannya. Harus juga bagi beliau menjual dan menyimpan wang hasil jualan.