MAIS DEKATI MASYARAKAT MELALUI AKTIVITI LARIAN
MAIS DEKATI MASYARAKAT MELALUI AKTIVITI LARIAN
SHAH ALAM, 10 Ogos-Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus komited mendekati masyarakat melalui penganjuran Program Larian Merdeka MAIS, yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah turut memupuk semangat perpaduan sempena sambutan bulan kemerdekaan. Program ini juga menjadi medium strategik untuk menyebarluaskan maklumat serta peranan MAIS kepada masyarakat secara lebih dekat dan berkesan.
MAIS turut mengedarkan sebanyak 1,000 helai bendera mini Jalur Gemilang kepada peserta Larian Merdeka MAIS sekali gus diharapkan akan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan peserta.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Yang Amat Dihormati Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin, menyeru seluruh rakyat agar terus menyemarakkan semangat patriotisme, khususnya sepanjang bulan kemerdekaan yang penuh makna ini.
Menurut beliau, erti kemerdekaan perlu dihayati secara mendalam oleh setiap lapisan masyarakat, dan dizahirkan dengan rasa syukur atas nikmat keamanan, perpaduan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini. Jelasnya lagi, semangat cintakan negara wajar dipupuk oleh setiap lapisan masyarakat terutamanya di kalangan generasi muda bagi memastikan semangat kemerdekaan terus subur sepanjang zaman.
Lebih bermakna, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, berkenan mencemar duli hadir dan menyempurnakan sesi pelepasan dan turut bersama menyertai acara larian.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena sambutan Hari Shah Alam Tanpa Kenderaan, bertujuan meraikan bulan kemerdekaan menerusi aktiviti riadah sihat, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara MAIS, jabatan-jabatan hal ehwal Islam Selangor, agensi serta anak syarikat MAIS serta rakan strategik dan komuniti setempat.
Program larian kali ini berjaya menarik penyertaan sekitar 8,000 peserta hadir menyatakan sokongan terhadap nilai patriotisme dan gaya hidup sihat dalam menghayati semangat kemerdekaan dan memperkukuh silaturrahim.
MAIS juga membuka kaunter penerangan sepanjang aktiviti berlangsung antaranya ialah Kaunter Penerangan Pemulihan Ar-Riqab, Baitulmal, Sewaan Premis dan Hartanah dan Guaman Syarie. Turut membuka kaunter penerangan ialah Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS serta agensi-agensi lain.
Selain itu, Program Larian Merdeka MAIS juga merupakan salah satu program sempena Kempen Bulan Pembebasan Riqab MAIS 2025. Antara aktiviti menarik disediakan kepada para pengunjung adalah Tazkirah Bulan Pembebasan Asnaf Riqab, acara Kuiz dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.














