PASCA ZIARAH, SOKONGAN BETERUSAN KEPADA BEKAS PELATIH
PASCA ZIARAH, SOKONGAN BETERUSAN KEPADA BEKAS PELATIH
TERENGGANU – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan telah menganjurkan Program Pasca Ziarah di negeri Terengganu yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Ogos 2025 lepas.
Â
Program ini telah berjaya mendekati dan memberi sokongan berterusan kepada bekas pelatih selepas mereka menamatkan tempoh pemulihan. Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan mereka terus mendapat bimbingan moral dan motivasi untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Program ini merupakan kesinambungan sokongan dan pemantauan terhadap bekas pelatih bagi membantu mereka mengekalkan pemulihan serta kembali mengamalkan ajaran Islam untuk menjadi insan rabbani yang cemerlang.
Â
Dalam program lawatan ini, seramai 10 orang bekas pelatih telah dipilih melibatkan kawasan daerah Kemaman, Dungun, Marang dan Besut, Terengganu. Pasca Ziarah ini diketuai oleh Puan Noor Huda binti Tajudin, Pegawai Psikologi Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan (MAIS) bersama empat orang pegawai lain. Beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada bekas pelatih sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan MAIS terhadap kebajikan mereka walaupun telah tamat pemulihan, di samping membantu meringankan beban kewangan bagi menampung keperluan harian.
Â
Selain itu, ia turut menjadi ruang untuk menjalin semula hubungan silaturahim antara Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan (MAIS) dengan bekas pelatih, di samping memantau perkembangan mereka dari aspek penyesuaian sosial, pekerjaan dan pemulihan kendiri sebagai tanda keprihatinan berterusan. Sokongan ini bukan hanya terletak pada tanggungjawab pihak MAIS semata-mata, malah sokongan keluarga juga amat penting dalam proses pemulihan mereka.
Â
Semoga dengan adanya usaha sebegini, bekas pelatih dapat terus mengekalkan akhlak serta jati diri yang positif hasil bimbingan sepanjang berada di pusat, sekali gus membina hubungan baik antara MAIS dan bekas pelatih meskipun mereka telah kembali ke masyarakat.
Â












