AKHIR ZAMAN: MANA YANG BENAR?
Fenomena penyebaran tanda-tanda besar kiamat seperti pembunuhan berleluasa, kemunculan al-Mahdi, Dajjal serta Yakjuj dan Makjuj semakin menjadi bahan tular dalam media arus perdana, namun maklumat tersebut sering kali disampaikan tanpa sandaran ilmu yang sahih. Penyebaran ini mencetuskan cerita sensasi yang mengelirukan masyarakat tentang ramalan waktu berlakunya akhir zaman. Persoalannya, sejauh manakah kebenaran dan kesahihan kisah-kisah ini dan apakah tuntutan yang seharusnya seorang muslim yakini dan amalkan?
Rasulullah SAW menggambarkan suasana akhir zaman secara jelas:
Sesungguhnya saat hampirnya hari kiamat akan ada beberapa hari, yang padanya kejahilan akan turun (berlaku), ilmu diangkat dan banyak berlakunya kekacauan. Kekacauan itu ialah pembunuhan.
[HR : Bukhari]
Ibn Hajar al-‘Asqalānī menjelaskan bahawa fitnah pada zaman tersebut bersifat sangat menggoda, menakutkan dan membingungkan, sehingga seseorang akan berfikir untuk mencari tempat yang bebas daripadanya, namun tidak akan menemuinya, disebabkan dahsyatnya fitnah pada masa itu.
Ramalan kiamat
Ramalan tarikh kiamat adalah satu bentuk penyimpangan kerana ilmu tentang waktu berlakunya hari akhirat hanya diketahui oleh Allah SWT. Firman Allah Taala yang bermaksud:
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
(al-A’raf :187)
Ayat ini menegaskan kelemahan manusia dalam hal ghaib dan menyeru supaya beriman kepada kekuasaan serta ilmu Allah SWT yang Maha Mengetahui segala perkara, sebaliknya Baginda SAW hanya mengetahui tanda-tandanya melalui petunjuk yang disampaikan oleh Allah SWT tanpa menetapkan tempoh secara khusus dalam bentuk tahun atau hari.
Tanda-tanda dan peristiwa akhir zaman banyak disebut di dalam hadis berbanding al-Quran. Hadis-hadis yang membahaskan tentang peristiwa akhir zaman disebut sebagai Hadis Fitan (ujian) ataupun Hadis Asyratu Saah (tanda kiamat). Manakala Ilmu berkenaan akhir zaman disebut sebagai ilmu fitan. Di dalam dunia akademik, ilmu kajian tentang ramalan akhir zaman dikenali sebagai eskatologi.
Secara umumnya, merujuk kepada hadis untuk memahami peristiwa semasa adalah satu amalan yang baik. Namun, tanpa berhati-hati, ia boleh membawa kepada salah faham dan tuduhan terhadap pihak tertentu tanpa bukti yang jelas. Keadaan ini juga boleh menyebabkan umat Islam menjadi pasif dalam memperjuangkan agama, sama ada kerana rasa takut atau memilih untuk menunggu berlakunya perkara yang disebut dalam hadis tanpa berusaha melakukan perubahan.
Kepercayaan terhadap hari kiamat termasuk dalam rukun iman yang kelima. Seorang Muslim wajib mempercayai bahawa dunia ini akan berakhir dan semua manusia akan dibangkitkan untuk diadili di hadapan Allah SWT. Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Sesungguhnya hari kiamat itu pasti datang, tidak ada keraguan padanya, tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.”
(Ghafir : 59)
Ayat ini menjelaskan bahawa kepastian kiamat adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan, namun masa berlakunya hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Tanda-tanda Akhir Zaman
Para ulama membahagikan tanda-tanda akhir zaman kepada dua kategori iaitu tanda kecil dan tanda besar.
Tanda-tanda kecil merangkumi fenomena sosial dan akhlak seperti hilangnya amanah, berleluasanya zina, arak diminum secara terbuka, banyak pembunuhan, munculnya nabi palsu, dan fitnah yang merata. Banyak tanda kecil ini telah berlaku dalam masyarakat kini.
Tanda-tanda besar pula melibatkan peristiwa besar alam semesta seperti munculnya Dajjal, turunnya Nabi Isa a.s., keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, terbitnya matahari dari barat, keluarnya binatang besar (dabbah), serta runtuhnya Kaabah. Terjadinya peristiwa besar ini hanya boleh diketahui melalui hadis-hadis Baginda Nabi SAW sahaja.
Antara Kebenaran dan Kepalsuan
Perkara yang benar tentang akhir zaman adalah yang disebut dalam al-Quran dan hadis sahih. Sebaliknya, penentuan tarikh kiamat, ramalan ghaib tanpa dalil, atau cerita yang tersebar melalui media sosial tanpa sandaran agama adalah tidak benar. Sabda Rasulullah SAW:
Kiamat tidak akan terjadi sehingga (berlaku tanda-tanda tertentu)…”
[HR : Bukhari & Muslim]
Hadis ini menunjukkan bahawa tanda-tanda tersebut adalah panduan sebenar, bukan spekulasi atau ramalan manusia.
Sebagai kesimpulan, golongan ilmuwan, pendakwah dan institusi agama perlu memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat ke arah kefahaman yang tepat lagi shahih, jauh daripada maklumat yang mengelirukan dan naratif beremosi yang batil. Masyarakat Islam pula, harus diasuh untuk memahami isu-isu akhir zaman melalui rujukan kitab-kitab yang muktabar dan pandangan ulama yang berautoriti, memberi keutamaan kepada amalan soleh serta persiapan rohani dan membentuk pemikiran yang seimbang berpandukan bimbingan wahyu.









