MAIS LANCAR BUKU HALA TUJU KELESTARIAN HAL EHWAL ISLAM SELANGOR (HATIS) 2025 – 2030
MAIS LANCAR BUKU HALA TUJU KELESTARIAN HAL EHWAL ISLAM SELANGOR (HATIS) 2025 – 2030
SHAH ALAM, 14 Januari-Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini melancarkan Buku Hala Tuju Kelestarian Hal Ehwal Islam Selangor (HATIS) 2025-2030 sebagai usaha strategik bagi memperkasa institusi Islam dan memperkukuhkan pengurusan hal ehwal Islam di negeri Selangor.
Pelancaran disempurnakan oleh YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin, Pengerusi MAIS dalam Majlis Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2026 yang diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri di sini hari ini.
HATIS 2025–2030 merupakan sebuah pelan induk strategik yang dirangka oleh MAIS bersama organisasi di bawah Pentadbiran Islam Selangor bagi menetapkan hala tuju pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di Selangor sehingga 2030.
Pelan hala tuju ini menggariskan enam teras strategik yang merangkumi keseluruhan fungsi MAIS serta tindakan yang melibatkan jabatan-jabatan hal ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat iaitu Akidah, Pendidikan, Dakwah & Keluarga; Masjid, Surau & Pembangunan Ummah; Kebajikan & Ekonomi Ummah; Pengukuhan Kutipan Zakat, Wakaf, Mal & Sumber Am; Perundangan & Kehakiman Syariah dan Tadbir Urus & Kecemerlangan Organisasi.
Pelaksanaan HATIS 2025-2030 bertujuan memastikan setiap perancangan dan tindakan MAIS, Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, Agensi dan Anak Syarikat dijalankan secara teratur, bersepadu dan berkesan, selaras dengan aspirasi kelestarian dan kepentingan masyarakat Islam terutama di negeri Selangor.
MAIS berharap agar pelaksanaan HATIS 2025-2030 dapat memperkukuhkan tadbir urus institusi Islam dan memberi manfaat berterusan kepada masyarakat Islam di negeri Selangor amnya. Ringkasan HATIS 2025-2030 boleh dimuat turun melalui laman web www.mais.gov.my.
Sementara itu, Pengerusi MAIS dalam ucapan Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2026, beliau menyeru kepada MAIS, Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, Agensi dan Anak Syarikat agar meningkatkan produktiviti kerja ke arah lebih baik terutama dari segi aspek tadbir urus, kompetensi, disiplin, menepati masa dan kesegeraan dalam tindakan.
Tambahnya lagi, beliau berharap agar MAIS bersama Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, Agensi dan Anak Syarikat MAIS dapat meneruskan momentum kecemerlangan yang natijahnya akan menghasilkan satu kejayaan yang bermakna untuk umat Islam di negeri Selangor.
Dalam majlis ini, turut diadakan Majlis Penyampaian Sumbangan MAIS menggunakan sumber Baitulmal kepada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) berjumlah RM900,000.00; Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) RM800,000.00; Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) RM100,000.00 dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) RM100,000.00.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian Sumbangan Wakaf Fisabilillah Institusi Pendidikan Islam / Masjid / Surau berjumlah RM2.8 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Sumbangan Tabung Wakaf Tunai berjumlah RM346,000.00 kepada Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah.
MAIS juga turut melancarkan tanda pagar (#) bagi tahun 2026 iaitu #MAISsantunianda yang akan digunakan secara meluas di media sosial sebagai usaha meluaskan peranan MAIS menyantuni ummah.
Turut hadir ialah barisan anggota MAIS; Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Anak Syarikat MAIS; barisan Pengurusan Tertinggi MAIS dan pegawai-pegawai MAIS.














