IMARAHKAN MASJID DAN SURAU SEBAGAI PUSAT IBADAH PENYATUAN UMMAH
IMARAHKAN MASJID DAN SURAU SEBAGAI PUSAT IBADAH PENYATUAN UMMAH
SHAH ALAM, 20 Februari – Pengerusi MAIS, YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin mengajak umat Islam di Selangor mengambil peluang di bulan Ramadan ini agar mengimarahkan masjid-masjid dan surau-surau sebagai pusat ibadah serta penyatuan ummah.
“Masjid dan surau yang aktif menunjukkan perpaduan yang kukuh dan elakkan perpecahan serta isu-isu yang boleh menggugat keharmonian sejagat. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa (Ihya’ Ramadhan) Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Bersama Rakyat Dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H di sini hari ini.
“Marilah sama-sama kita mengimarahkan bulan Ramadhan dalam membina ketakwaan kepada Allah SWT. Penuhilah masjid-masjid dan surau-surau dengan membawa ahli keluarga kita untuk sama-sama melaksanakan dan memperhebatkan amal ibadah di sepanjang bulan Ramadhan tahun ini,” katanya.
Pengerusi MAIS turut mengiringi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang telah berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 200 orang asnaf fakir, 241 orang asnaf miskin serta 60 orang asnaf muallaf membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak 501 orang penerima.
Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500.00 setiap seorang dengan jumlah zakat keseluruhan RM250,500.00.
Baginda diiringi oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Pada majlis yang sama, baginda juga turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah RM11.4 juta.
Enam syarikat berkenaan adalah Kumpulan Worldwide Holdings Berhad; Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan); Kumpulan Perangsang Selangor Berhad; Central Spectrum (M) Sdn Bhd; Rafulin Sdn Bhd dan Bank Islam Malaysia Berhad.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Menteri Besar Selangor, Dato’ Amirudin Shari; Mufti Selangor, YAD Dato’ Setia Prof. Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dan Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS.













