HAKAM: FUNGSI DAN PERANAN DALAM MENYELESAIKAN KONFLIK RUMAHTANGGA

PENDAHULUAN 

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini telah diperjelaskan di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T: 

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ 

 (Surah al-Rum: 21)

 Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri- isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”. 

 

Perkahwinan dalam Islam dibina atas dasar kasih sayang, tanggungjawab, dan amanah. Matlamatnya adalah bagi mewujudkan keluarga yang bahagia, sakinah, mawaddah dan rahmah. Namun, konflik antara suami dan isteri adakalanya tidak dapat dielakkan. Perbezaan cara berfikir, tekanan hidup, masalah ekonomi dan kelemahan dalam berkomunikasi antara faktor yang boleh mencetuskan shiqaq, iaitu perselisihan yang berterusan dan serius antara suami dan isteri sehingga menjejaskan keharmonian rumah tangga serta sukar dipulihkan melalui cara biasa. 

img12
Sumber imej: https://www.hmetro.com.my

Bagi menangani syiqaq tersebut, perundangan Islam telah menetapkan mekanisme pembubaran perkahwinan yang adil bagi kedua-dua pihak. Selain kuasa talak yang terletak di tangan suami, isteri turut diberikan hak untuk memohon pembubaran perkahwinan melalui proses khuluk, fasakh, dan taklik. Malah, sistem perundangan Islam juga turut memperuntukkan penglibatan Hakam sebagai antara kaedah penyelesaian dalam usaha untuk menamatkan perkahwinan yang tidak lagi dapat dipulihkan. 

FUNGSI DAN PELANTIKAN HAKAM

Hakam atau Muhakkam merupakan individu yang dilantik oleh pihak-pihak yang bertikai bagi membantu menyelesaikan pertikaian. Beliau berfungsi sebagai penimbang tara yang diberi kuasa  oleh  pihak-pihak  atau  oleh  pihak mahkamah  untuk menyelesaikan shiqaq. 

 

HAKAM02 2
Sumber imej: Dijana melalui ai

Penyelesaian shiqaq dalam perkahwinan dilaksanakan melalui satu pertemuan yang dinamakan sebagai Majlis Tahkim. Melalui Majlis Tahkim, Hakam yang dilantik masing-masing oleh suami dan isteri akan cuba mencari jalan penyelesaian terhadap syiqaq yang berlaku, sama ada penyelesaian tersebut melalui usaha perdamaian (islah) atau berakhir dengan perceraian antara suami dan isteri tersebut. Peranan Majlis Tahkim bukan untuk memihak kepada mana-mana pihak bertikai, tetapi bertujuan untuk memberi nasihat, menilai masalah dan mencari jalan perdamaian yang adil bagi suami dan isteri. 

Hakam boleh dilantik dalam kalangan Hakam Qarabah iaitu saudara karib suami dan isteri yang terdiri daripada lelaki atau perempuan, yang memenuhi kelayakan seorang Hakam serta mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan hukum Syarak untuk menyelesaikan perselisihan (shiqaq) antara suami dan isteri. Saudara karib dalam konteks ini merujuk kepada individu yang mempunyai pertalian nasab, pertalian kekeluargaan yang terjalin melalui perkahwinan iaitu persemendaan atau susuan yang mengetahui keadaan rumah tangga pihak- pihak yang terlibat. 

Selain Hakam Qarabah, terdapat juga Panel Hakam yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atas cadangan Jawatankuasa Hakam. Panel Hakam ini berperanan sebagai penimbang tara yang diberi kuasa penuh oleh mahkamah untuk menyelesaikan shiqaq antara suami dan isteri. Peranan Hakam ini telah dinyatakan di dalam al-Quran: 

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَٱبْعَثُوا۟ حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِۦ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصْلَٰحًا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيْنَهُمَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

(Surah al-Nisa’, ayat 35) 
 Maksudnya: “Dan jika kamu bimbang akan berlaku perpecahan antara keduanya, maka lantiklah seorang Hakam daripada keluarga lelaki dan seorang Hakam daripada keluarga perempuan.”. Surah An-Nisa, ayat 35 ini menekankan penyelesaian konflik rumahtangga melalui pelantikan Hakam dalam kalangan keluarga kedua-dua pihak apabila berlaku syiqaq antara suami dan isteri. 

 

Matlamat utama pelantikan Hakam adalah untuk mengusahakan perdamaian, dan Allah SWT menegaskan kepentingan usaha islah (memulihkan hubungan) demi kebaikan serta keharmonian pasangan suami dan isteri. 

 PELAKSANAAN HAKAM DI NEGERI SELANGOR 

Pelaksanaan Hakam merupakan satu elemen penting di Negeri Selangor dalam menangani kes- kes yang melibatkan syiqaq yang serius antara suami dan isteri, bagi mencapai penyelesaian terbaik selaras dengan prinsip hukum Syarak. Pelaksanaan Hakam di mahkamah Syariah Negeri Selangor adalah berdasarkan kepada peruntukan yang dinyatakan dalam seksyen 48, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [EUUKIS 2003], seperti yang berikut: 

 Timbangtara oleh Hakam 

 48.(1)Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.”. 

Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 telah berjaya diwartakan pada 8 Mei 2014 bagi memperjelaskan peruntukan seksyen 48 EUUKIS 2003 tersebut. Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 ini memperuntukkan mengenai prosedur prosiding Hakam secara lebih terperinci dan telah berjaya menyeragamkan pengendalian prosiding Hakam di Negeri Selangor. Selain itu, pewujudan Kaedah-Kaedah ini, antara lain adalah bagi memperkemaskan lagi fungsi dan peranan Hakam, dalam usaha untuk mendamaikan pasangan suami isteri yang terlibat dalam pertikaian atau syiqaq yang berpanjangan. Sekiranya usaha perdamaian tersebut gagal, penceraian oleh Hakam hanya akan dilaksanakan sebagai langkah terakhir, namun melalui kaedah yang lebih harmoni kerana pihak-pihak tidak perlu melalui proses perbicaraan yang panjang di mahkamah terbuka. 

mahkahmahsyariah
Sumber imej: https://rekodsyariah.blogspot.com/

Sebelum Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 ini ditubuhkan, pelaksanaan Hakam di mahkamah Syariah adalah berdasarkan kepada Arahan Amalan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), No. 1 Tahun 2006. Arahan Amalan ini telah diguna pakai di Negeri Selangor dan negeri-negeri lain di seluruh Malaysia. Kewujudan Arahan Amalan tersebut telah mendorong Mahkamah Syariah Selangor untuk melaksanakan prosiding Hakam secara lebih aktif dalam kes-kes penceraian dengan melantik Pegawai-Pegawai Sulh Selangor sebagai Panel Hakam pada ketika itu. 

Keistimewaan pelaksanaan Majlis Tahkim adalah apabila keutamaan akan diberikan kepada saudara-mara terdekat dari pihak suami dan isteri yang terlibat, yang mengetahui secara langsung latar belakang dan keadaan sebenar rumah tangga pihak-pihak, untuk dilantik sebagai Hakam. Pendekatan ini dilihat berupaya menyelesaikan syiqaq atau perselisihan antara suami isteri dengan lebih berkesan, di samping memastikan aib dan kehormatan rumah tangga pihak- pihak terus terpelihara. 
Walau bagaimanapun, sekiranya Hakam yang dilantik tersebut gagal mencapai persetujuan atau mahkamah tidak berpuas hati dengan cara suatu Majlis Tahkim dijalankan, mahkamah mempunyai kuasa untuk memecat Hakam berkenaan dan melantik Panel Hakam yang dilantik oleh pihak MAIS sebagai pengganti. Dalam keadaan sedemikian, mahkamah hendaklah memberikan kuasa penuh kepada Hakam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perenggan 11(2)(b), tertakluk kepada Subkaedah 11(3) Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014. Peruntukan-peruntukan tersebut menyatakan bahawa kuasa penuh yang boleh diberikan oleh prinsipal kepada Hakam masing-masing, adalah seperti yang berikut:  

  1. bagi pihak suami, beliau boleh memberi kuasa kepada Hakamnya untuk melafazkan satu talak atau melaksanakan khuluk di hadapan Mahkamah; dan 
  2. bagi pihak isteri, beliau boleh memberi kuasa kepada Hakamnya untuk menerima lafaz khuluk di hadapan Mahkamah. 

 

PERANAN HAKAM DALAM MEMBANTU MENYELESAIKAN KONFLIK RUMAHTANGGA 

a) Hakam Sebagai Pendamai 

Hakam berperanan sebagai pendamai kepada pasangan suami isteri yang bertikai sebelum sesuatu keputusan perceraian dibuat. Pelantikan Hakam, khususnya daripada kalangan ahli keluarga pihak-pihak yang terlibat, bertujuan untuk mewujudkan suasana perbincangan yang lebih harmoni dan terbuka berlandaskan kefahaman terhadap konflik rumah tangga yang berlaku antara kedua belah pihak. 

Sekiranya suami dan isteri berjaya mencapai perdamaian melalui Majlis Tahkim, kedua-dua Hakam yang dilantik hendaklah melaporkan keputusan tersebut kepada pihak mahkamah. Seterusnya, mahkamah akan mengeluarkan Perintah agar suami dan isteri tersebut berdamai dan meneruskan kehidupan rumah tangga mereka. Peranan ini secara langsung dapat membantu mengurangkan konflik, memberi ruang dan peluang yang lebih luas kepada proses islah seterusnya dapat menjaga kebajikan pasangan dan anak-anak yang terlibat. 

Screenshot 2026 02 23 at 12.18.04
Sumber imej: Dijana melalui ai

(b) Penyelesaian Kepada Kes “Isteri Yang Digantung Tidak Bertali 

Istilah gantung tidak bertali merujuk kepada perbuatan suami yang meninggalkan isteri dan anak-anak tanpa sebab yang munasabah, tanpa memberi nafkah dan tanpa memaklumkan keberadaannya. Perbuatan tersebut adalah dilarang menurut hukum Syarak kerana ia mendatangkan kemudharatan kepada isteri sama ada dari aspek fizikal mahupun mental, di samping membuka ruang kepada kezaliman dan kemaksiatan. 

Melalui pelaksanaan Majlis Tahkim, sekiranya keberadaan suami masih diketahui, namun suami tersebut enggan hadir ke mahkamah untuk mengikuti prosiding yang ditetapkan, maka mahkamah boleh memberi kuasa kepada Hakam untuk bertindak bagi pihak suami. Dalam hal ini, Hakam yang telah diberikan kuasa tersebut boleh melafazkan talak bagi pihak suami di hadapan mahkamah, sekaligus menamatkan penderitaan isteri yang berada dalam keadaan digantung tidak bertali. 

 

 (c) Mempercepatkan Prosiding Perceraian 

Sebahagian besar kes perceraian di mahkamah Syariah tertangguh berpunca daripada kegagalan pihak-pihak yang terlibat untuk memberikan kerjasama semasa prosiding sedang dijalankan, seperti ketidakhadiran salah satu pihak ke mahkamah. Pelaksanaan kaedah Hakam ini dilihat berkesan dalam mempercepatkan penyelesaian kes-kes perceraian, khususnya bagi melindungi kepentingan isteri yang teraniaya. 

Melalui pelaksanaan prosiding Hakam ini juga, pertikaian suatu rumah tangga dapat diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat dan membolehkan pihak-pihak yang terlibat khususnya isteri, untuk memulakan kehidupan baharu tanpa dibelenggu oleh ketidakpastian dalam status konflik perkahwinan yang berpanjangan. 

HAKAM05
Sumber imej: dijana menggunakan ai

KESIMPULAN 

Pelaksanaan Hakam mencerminkan sifat rahmah dalam Islam. Tujuannya bukan untuk mencari kesalahan tetapi untuk memulihkan hubungan, memperbetulkan ketidakseimbangan dan mengembalikan keharmonian keluarga. Hakam berfungsi sebagai agen rahmat yang menzahirkan keadilan dan kasih sayang dalam penyelesaian konflik rumah tangga dengan menekankan konsep perdamaian (islah). 

Keberkesanan suatu Majlis Tahkim bergantung kepada panel Hakam yang peka terhadap isu semasa, pemahaman mendalam terhadap hukum Syarak, latihan berterusan kepada panel Hakam, serta sokongan penuh daripada pihak mahkamah. Melalui mekanisme Hakam juga, suatu konflik rumah tangga dapat diselesaikan secara adil, berhikmah, dan selaras dengan prinsip Islam, sekaligus memelihara kesejahteraan individu dan keluarga. 

  

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search