NORMALISASI BUDAYA BARAT: TUGAS DAKWAH
Normalisasi budaya Barat merujuk kepada proses di mana nilai, gaya hidup dan cara berfikir yang berasal dari Barat diterima sebagai sesuatu yang biasa, normal dan tidak lagi dipersoalkan dalam kehidupan seharian masyarakat. Budaya yang jelas bercanggah dengan akhlak Islam dan nilai budaya Melayu sepatutnya tidak diterima sebagai norma dalam masyarakat Islam. Proses ini bukan sekadar mengubah tingkah laku, tetapi turut melemahkan autoriti agama sebagai sumber nilai dan rujukan moral dalam kehidupan seharian umat Islam. Keadaan ini semakin ketara dalam persekitaran media baharu pada hari ini, apabila perkara-perkara tersebut bukan sahaja tidak lagi dianggap janggal, malah dilakukan secara terbuka tanpa rasa malu atau bersalah. Proses normalisasi ini tidak berlaku secara paksaan, tetapi berlaku secara perlahan dan di bawah sedar.
Antara contoh amalan yang dianggap tidak bersalah masa kini ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan kononnya sekadar ‘kawan biasa’, hubungan intim di luar perkahwinan, serta percakapan lucah, sindiran seksual dan humor berunsur maksiat di platform digital. Selain itu, hubungan songsang LGBT dianggap sebagai hak asasi yang perlu ditoleransikan. Budaya minum arak dan parti hiburan juga dianggap sebagai cara bersosial dan melepaskan tekanan, khususnya dalam kalangan sesetengah golongan.
Lebih membimbangkan, kata-kata kesat, makian dan sindiran melampau dalam ruang komen media sosial dianggap kebiasaan. Bahkan, gambar dan aksi memeluk pasangan dimuat naik secara terbuka di media sosial tanpa rasa segan atau malu. Sebelum ini, perkara-perkara sebegini dianggap memalukan dan tidak tergamak untuk dipamerkan di hadapan orang ramai, namun pada masa kini ia mula diterima sebagai sesuatu yang biasa dan normal dalam masyarakat.
Terdapat tiga punca utama yang menyebabkan proses normalisasi budaya Barat berlaku dengan semakin ketara dalam masyarakat Islam pada hari ini.
Pertama, Pengagungan Nilai Individualisme Dan Wacana Hak Asasi Manusia.
Dalam masyarakat hari ini, kebebasan individu sering diletakkan sebagai nilai paling utama. Selain dipengaruhi oleh serangan pemikiran liberal dan media Barat, faham kebebasan ini menjadi semakin tajam akibat penggunaan media digital yang tidak terkawal. Setiap individu bebas mengakses pelbagai bentuk kandungan melalui telefon pintar, media sosial dan platform digital tanpa sebarang tapisan yang berkesan dan kawalan.
Dalam keadaan ini, seseorang bebas memilih apa sahaja yang ingin ditonton, dibaca dan diikuti tanpa sebarang halangan. Tiada siapa yang menegur, malah kandungan yang sama akan terus disediakan melalui algoritma dan cadangan platform digital. Apabila pendedahan ini berlaku secara berulang, perkara yang pada asalnya dianggap asing atau salah mula kelihatan biasa dan tidak lagi dipersoalkan. Inilah proses awal normalisasi, iaitu apabila sesuatu perlakuan yang salah atau bercanggah dengan akhlak Islam diterima sedikit demi sedikit, diperkukuhkan sebagai kebiasaan, dan akhirnya dibenarkan atas alasan hak individu serta kebebasan peribadi. Secara minda bawah sedar, suatu pemikiran terbentuk iaitu setiap individu berhak menentukan cara hidupnya sendiri tanpa boleh ditegur, lalu nilai kebebasan peribadi diterima sebagai norma sosial.
Â
Kedua, Pendedahan Berulang Melalui Media Digital Dan Platform Penstriman Global
Media sosial, drama, filem dan kandungan hiburan hari ini bukan sekadar memaparkan gaya hidup bebas, tetapi turut memberi ganjaran sosial kepada kandungan tersebut. Kandungan yang melawan akhlak Islam seperti pergaulan bebas, pendedahan aurat, humor lucah atau gaya hidup hedonistik sering menerima jumlah like, perkongsian dan tontonan yang tinggi. Algoritma platform digital kemudiannya mengangkat kandungan ini untuk mencapai audiens yang lebih luas, menjadikannya lebih kerap muncul dalam paparan pengguna.
Apabila sesuatu kandungan mendapat like yang tinggi dan reach yang meluas, ia secara tidak langsung menghantar mesej bahawa kandungan tersebut diterima, disukai dan dianggap normal oleh masyarakat. Proses ini berfungsi sebagai pendidikan sosial senyap, di mana masyarakat belajar bukan melalui nasihat atau hujah, tetapi melalui isyarat populariti dan penerimaan sosial. Lama-kelamaan, kandungan yang bercanggah dengan nilai agama tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang salah, sebaliknya dianggap trend, hiburan atau gaya hidup biasa.
Pengulangan kandungan yang sama, disertai dengan pengiktirafan sosial melalui like dan komen positif, akhirnya membentuk persepsi bahawa perlakuan tersebut adalah sebahagian daripada realiti kehidupan moden. Inilah mekanisme normalisasi melalui media digital, apabila sesuatu perlakuan diterima bukan kerana ia benar atau bermoral, tetapi kerana ia sering dilihat, diraikan dan diberi legitimasi sosial. Proses ini secara perlahan-lahan menghakis sensitiviti akhlak dan mempengaruhi cara masyarakat menilai baik dan buruk.
Ketiga, Menilai Kebenaran Berteraskan Emosi Dan Popular
Dalam era semasa, cara masyarakat menilai kebenaran telah berubah dengan ketara. Kebenaran tidak lagi dinilai berdasarkan ilmu, fakta yang sahih atau ajaran agama, sebaliknya semakin bergantung kepada emosi, perasaan dan persepsi peribadi. Sesuatu pandangan atau gaya hidup mudah diterima apabila ia menyentuh emosi, kelihatan menarik dan selari dengan kehendak diri, walaupun jelas bercanggah dengan nilai agama dan akhlak Islam.
Keadaan ini diperkukuhkan oleh persekitaran media digital yang menjadikan populariti sebagai ukuran kebenaran sosial. Sesuatu kandungan dianggap betul apabila ia mendapat jumlah like, tontonan dan sokongan yang tinggi. Dalam konteks ini, peranan pempengaruh media sosial (influencer) amat besar dalam membentuk persepsi masyarakat. Walaupun terdapat kandungan atau perlakuan yang jelas salah dari sudut agama, ia tetap digemari dan ditiru kerana disampaikan oleh individu yang popular, berimej menarik dan mempunyai pengikut yang ramai.
Apabila populariti mengatasi kebenaran, masyarakat mula menilai sesuatu berdasarkan siapa yang menyampaikannya, bukan berdasarkan nilai benar atau salah. Kesalahan diraikan, manakala kebenaran dipinggirkan kerana dianggap tidak menarik atau tidak popular. Inilah yang mempercepatkan proses normalisasi budaya Barat, apabila nilai dan gaya hidup yang
bercanggah dengan akhlak Islam diterima tanpa penilaian kritikal, lalu dianggap sebagai kebiasaan dalam masyarakat Islam.
Â
Inilah cabaran besar dakwah pada masa kini, apabila masyarakat tidak lagi menolak nilai yang bercanggah dengan agama secara terbuka, sebaliknya menerimanya secara senyap tanpa sedar. Keadaan ini melahirkan bentuk toleransi yang tersasar, iaitu bertolak ansur pada perkara yang tidak sepatutnya, serta keterbukaan atas nama rahmah yang tidak diletakkan pada tempatnya. Akibatnya, usaha dakwah yang meliputi teguran, nasihat, penyampaian pandangan dan pencegahan kemungkaran sering dianggap keterlaluan, malahan dipersepsikan sebagai mengganggu kebebasan peribadi atau mencampuri urusan orang lain.
Oleh itu, tugas dakwah pada hari ini bukan sekadar menyampaikan hukum, tetapi menuntut usaha membina kesedaran, kepekaan dan keberanian moral dalam kalangan masyarakat. Dakwah perlu membantu umat Islam membezakan antara nilai yang benar berasaskan wahyu dengan nilai yang sekadar dinormalisasikan oleh budaya dan persekitaran sosial. Hal ini menuntut pendekatan dakwah yang lebih strategik dan melibatkan semua pihak, termasuk pendakwah, institusi agama, pendidik dan ibu bapa.
Dakwah tidak lagi memadai dengan penyampaian hukum semata-mata, tetapi perlu disertai literasi media agar masyarakat mampu menilai kandungan digital secara kritikal,
kefahaman psikologi khalayak supaya mesej dakwah disampaikan mengikut tahap emosi dan pemikiran sasaran, serta penguasaan naratif alternatif berteraskan Islam bagi menyaingi pengaruh budaya Barat. Tanpa usaha ini, masyarakat akan terus menerima kebatilan sebagai kebiasaan, dan kebenaran akan semakin terpinggir dalam kehidupan seharian umat Islam.









