IFTAR KASIH DAN NUZUL AL-QURAN: SENTUHAN RAMADHAN MAIS BERSAMA PELATIH PUSAT PERLINDUNGAN WANITA BAITUL EHSAN DAN RUMAH PEMULIHAN RIQAB
IFTAR KASIH DAN NUZUL AL-QURAN: SENTUHAN RAMADHAN MAIS BERSAMA PELATIH PUSAT PERLINDUNGAN WANITA BAITUL EHSAN DAN RUMAH PEMULIHAN RIQAB
SABAK BERNAM, 17 Mac 2026 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan telah menganjurkan Program Sentuhan Ramadhan bertemakan Iftar Kasih & Nuzul Al-Quran, bagi meraikan para pelatih bersama keluarga dalam suasana penuh keberkatan.
Program ini bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan, mewujudkan suasana kebersamaan, serta memberi sokongan moral dan emosi kepada pelatih yang berlangsung pada 6 Mac lepas.
Satu sesi tazkirah sempena Nuzul Al-Quran telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Farid bin Dawam, Ketua Jabatan Pengajian Am, Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam. Tazkirah menekankan kepentingan Al-Quran sebagai panduan hidup dan sumber penyembuh jiwa bagi setiap Muslim. Sesi ini diharap dapat memberi kesedaran serta inspirasi kepada para pelatih dan keluarga dalam kehidupan seharian.
Dalam program ini, pihak MAIS turut menyediakan set kelengkapan baju raya baru termasuk tudung, set baju kurung dan kasut untuk pelatih serta anak-anak mereka. Selain itu, memandangkan para pelatih menyambut Eidul Fitri di pusat, pihak MAIS juga menyumbangkan kuih raya sebagai tanda keprihatinan. Perasmian program dan penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial, MAIS.
Seramai 166 tetamu termasuk ahli keluarga pelatih, wakil agensi kerajaan dan bukan kerajaan, serta pelatih dari RPR iaitu Rumah Penawar Desa Manzil dan Rumah Kebajikan Darul Islah, turut hadir memeriahkan majlis berbuka puasa. Seorang wakil agensi menyatakan bahawa program sebegini penting bagi menunjukkan keprihatinan MAIS terhadap pelatih dan keluarga, khususnya mereka yang tidak dapat pulang menyambut Ramadhan dan Hari Raya di rumah masing-masing.
Semoga kehadiran keluarga dan sumbangan yang diterima memberi keceriaan serta semangat baharu kepada pelatih, sambil terus memperkukuh nilai kekeluargaan dan sokongan moral.













