MAIS RAIKAN MAJLIS EIDUL FITRI PELATIH BAITUL EHSAN BERSAMA KELUARGA DALAM SUASANA MERIAH
MAIS RAIKAN MAJLIS EIDUL FITRI PELATIH BAITUL EHSAN BERSAMA KELUARGA DALAM SUASANA MERIAH
SABAK BERNAM, 3 April 2026 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan menganjurkan Program Mahabbah Eidul Fitri Pelatih Baitul Ehsan bersama keluarga bertujuan mewujudkan suasana sambutan Eidul Fitri yang meriah dan bermakna agar para pelatih turut dapat merasai kemeriahan sambutan dalam suasana penuh kasih sayang serta mengukuhkan ikatan kekeluargaan pada 2 April lepas.
Majlis yang diadakan pada 2 April itu, disertai hampir 200 orang jemputan yang terdiri daripada 16 buah keluarga pelatih dan rakan agensi, rakan sinergi Baitul Ehsan yang terdiri daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan di sekitar Sabak Bernam.
Turut diadakan sesi tazkirah kekeluargaan bertajuk “Al-Quran Pengikat Hubungan Keluarga Bahagia” yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Rif’at Basya bin Halik Bassah, Ketua Pusat Pemikiran dan Kajian Islam, Institut Pemberdayaan Ummah Selangor (INSPES), Sabak Bernam.
Sesi ini juga bertujuan membina kesedaran tentang peranan keluarga dalam melahirkan individu berakhlak mulia.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pelatih dan anak-anak mereka, YBhg. Tn. Hj. Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), turut menyempurnakan penyampaian sumbangan duit raya.
Pihak MAIS berharap agar program ini dapat menjadi medium pemulihan dan penyuntik semangat kepada pelatih untuk terus istiqamah dalam perubahan diri ke arah yang lebih baik dan dapat mewujudkan suasana kekeluargaan yang positif agar pelatih berasa dihargai, disayangi dan tidak terpinggir dalam kalangan mereka.











