SPIRITUAL TANPA AGAMA? MENYINGKAP IDEOLOGI ASAS GERAKAN NEW AGE

Kebelakangan ini muncul satu gerakan yang berkempen untuk tidak mahu terikat dengan agama tetapi ingin memenuhi kekeringan fitrah kebertuhanan dalam diri melalui jalan spiritual rentas agama. Mereka lebih dikenali sebagai ‘Spiritual But Not Religious’ (SBNR) atau Spiritual Tanpa Agama.

Spiritual Tanpa Agama merupakan salah satu prinsip teras dalam Gerakan New Age, iaitu sebuah gerakan spiritual moden yang berkembang di Barat sejak sekitar tahun 1960-an hingga 1980-an. Gerakan ini menolak struktur agama tradisional dan menekankan pengalaman spiritual individu secara bebas. Tidak kira sama ada individu tersebut mencipta jalan spiritual sendiri atau mencampur aduk pelbagai amalan spiritual agama dan budaya yang ada di seluruh dunia secara sinkretis untuk diamalkan.

Newage2 copy
Sumber imej: janaan Ai

Prinsip ajaran ini ialah bahawa seseorang boleh menjadi spiritual tanpa terikat kepada mana-mana agama rasmi. Ciri utama pendekatan ini:

i) Tidak terikat dengan kitab suci tertentu

ii) Tidak memerlukan institusi agama

iii) Tidak memerlukan nabi atau wahyu

iv) Individu bebas membentuk kepercayaan sendiri

Menurut perspektif mereka, kebenaran spiritual dianggap universal dan boleh ditemui dalam semua tradisi. Antara slogan yang mereka akan gunakan ialah ‘There Is No Religion Higher Than Truth’ bermaksud tiada agama yang lebih tinggi daripada kebenaran. Kebenaran di sisi mereka ialah spiritual dan ‘wisdom’ yang merentasi agama-agama

spiritual awakening concept copy
Sumber imej: https://sites.gsu.edu/ dan editing

Antara dasar kepercayaan yang membentuk latar fikir kumpulan ajaran Gerakan New Age ialah kepercayaan konsep Tuhan yang tidak dilihat sebagai Tuhan peribadi seperti dalam agama Islam.

Sebaliknya konsep Tuhan yang difahami mereka ialah sebagai tenaga kosmik, kesedaran universal, dan ‘divine energy’ yang berada dalam alam semesta. Konsep ini sering dipengaruhi oleh falsafah Panteisme dan Monisme, iaitu kepercayaan bahawa segala sesuatu adalah hakikat dari yang satu (tenaga kosmik – roh) yang menjadi sumber kepada segala-gala hidupan di alam ini.

Hakikat sebenarnya mereka sekadar menggunakan nama ‘Tuhan’ (merujuk kepada tenaga kosmik) yang mana ia tidak merujuk kepada hakikat Tuhan yang sebenar. Sebab itu bagi sebahagian ateis yang mengamalkan spiritual (Spiritual Ateism), di sisi mereka ‘Tuhan Tenaga Kosmik’ itu bukanlah Tuhan, ia adalah tenaga. Oleh demikian, kepercayaan Gerakan New Age menjadi alternatif kepada golongan yang mahu percayakan Tuhan, agnostik atau ateis dengan penafsiran tersendiri.

Yang lebih berbahaya lagi, ajaran Gerakan New Age sering menekankan idea bahawa manusia mempunyai percikan ketuhanan dalam diri merujuk roh atau tenaga kosmik dalam diri. Antaranya mereka menyebut dengan istilah ‘God within’, ‘divine self’ atau manusia adalah manifestasi tenaga kosmik.

Screenshot 2026 07 23 at 14.56.26
Sumber imej: https://www.magnific.com/

Melalui kepercayaan ini bermaksud manusia boleh mencapai kesedaran Ilahi melalui latihan spiritual tertentu. Untuk menemui ‘ketuhanan dalam diri’ mereka memerlukan latihan melalui pengalaman spiritual individu. Kaedah yang sering digunakan seperti meditasi, yoga, teknik pernafasan, kesedaran diri, dan terapi tenaga. Matlamatnya ialah mencapai kesedaran yang lebih tinggi atau ‘higher consciousness’.

Hakikatnya Gerakan New Age menjadi tempat untuk menggabungkan pelbagai unsur daripada agama dan tradisi yang berbeza. Antara pengaruh utama Hinduisme, Buddhisme, Hermetisisme, ilmu kebatinan dan perdukunan di seluruh dunia.

Dalam Gerakan New Age, semua tradisi spiritual di atas dianggap mengandungi ‘kebenaran yang sama’ walaupun nama ajaran berbeza-beza.

Lebih berbahaya lagi apabila terdapat usaha sebahagian pihak tidak bertanggungjawab cuba mengislamisasikan ajaran spiritual yang dibawa oleh Gerakan New Age ke dalam program self help, motivasi dan Business Guru. Hal ini menjadi lebih parah apabila ajaran ini cuba diberi nama islamik sedangkan hakikatnya ia mengandungi ajaran spiritual tanpa agama.

newage3
Sumber imej: https://www.utusan.com.my/berita/2025/07/yoga-3-pagi-ulang-lafaz-nak-kaya-amalan-new-age-movement

Hal ini jelas bercanggah dengan prinsip asas Islam, kerana dalam Islam spiritualiti (tasawwuf, iman, ibadah) mesti berpandukan wahyu, syariat dan risalah para nabi. Dalam Islam, jalan spiritual mesti melalui agama yang diturunkan Allah SWT, bukan ciptaan manusia.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ

Maksudnya : “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.” 
(Al-Imran :19)

Firman Allah Ta’ala:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَـٰمِ دِينًۭا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ

Maksudnya : “Barang siapa mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan di akhirat dia termasuk orang yang rugi.”
 (al-Imran : 85)

Ini menunjukkan bahawa spiritualiti tanpa agama wahyu tidak diterima dalam Islam.

Firman Allah SWT:

ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَـٰمَ دِينًۭا ۚ فَمَنِ

Maksudnya : “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku redha Islam sebagai agama kamu.” 
(Al-Ma’idah : 3)
preparation ramadan tradition
Sumber imej: https://www.magnific.com/

Sebagai seorang Muslim, kita perlu mengenal pasti sumber amalan berbentuk spiritual yang dilihat asing daripada kebiasaan sama ada ia diperkenalkan oleh penceramah motivasi atau individu yang menggelarkan dirinya sebagai ustaz atau ustazah. Mungkin amalan spiritual itu berbentuk seperti terapi warna aura, terapi gelombang bunyi, meditasi, yoga dan sebagainya.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman agar kita tidak mengikuti sesuatu yang kita tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

Firman Allah SWT :

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ

“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.”
(Al-Isra : 36)

Semoga kita terhindari dari fitnah ajaran Gerakan New Age. Sekiranya anda mendapati terdapat amalan pelik seperti ini diajar dan disebarkan dalam kelas-kelas tertentu, sila laporkan kepada Hotline JAIS di talian 1800-88-2424 atau pihak Jabatan Agama Islam Negeri untuk pemantauan dan diambil tindakan.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search