PROGRAM MUSLIMAH SUPER PERKASA SAHSIAH REMAJA SELANGOR
PROGRAM MUSLIMAH SUPER PERKASA SAHSIAH REMAJA SELANGOR
ULU YAM, 24 Julai 2026 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Bahagian Pemulihan Ar-Riqab (BPAR), Sektor Pembangunan Sosial telah berjaya menganjurkan Program Muslimah Super Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Julai 2026 di Baitul Hikmah, Ulu Yam, Selangor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).
Program yang menghimpunkan seramai 80 orang pelajar perempuan sekolah menengah dari seluruh negeri Selangor merupakan satu inisiatif pemulihan dan intervensi bagi membantu remaja yang berdepan dengan pelbagai masalah sosial melalui pendekatan pembangunan sahsiah, pengukuhan kerohanian, bimbingan psikologi, kaunseling serta aktiviti motivasi secara holistik.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti antaranya ceramah motivasi, pengisian kerohanian, mengurus emosi dan membentuk jati serta memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan peserta. Selain itu, pengisian kaunseling kelompok yang dikendalikan oleh Tuan Haji Hushim bin Haji Salleh bagi memberi ruang kepada peserta mengenal pasti cabaran diri, berkongsi pengalaman serta menerima bimbingan dan intervensi secara lebih dekat bagi membantu mereka membina perubahan tingkah laku yang positif.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh YBrs. Ustaz Suhaimi Bin Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial, MAIS yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta sebagai simbol penghargaan atas komitmen sepanjang mengikuti program.
Secara keseluruhannya, guru-guru pengiring memberikan maklum balas yang amat positif terhadap penganjuran Program Muslimah Super Tahun 2026. Mereka turut berharap agar kerjasama strategik antara MAIS dan JPNS dapat diteruskan bagi memperluaskan manfaat program ini kepada lebih ramai pelajar di seluruh negeri Selangor.















