PENGERUSI MAIS TURUN PADANG MERIAHKAN PROGRAM FUN RUN DAN MERASMIKAN KARNIVAL UNDANG – UNDANG SYARIAH DI ARA DAMANSARA

PENGERUSI MAIS TURUN PADANG MERIAHKAN PROGRAM FUN RUN DAN MERASMIKAN KARNIVAL UNDANG – UNDANG SYARIAH DI ARA DAMANSARA

755034223 1790131462302741 4234889330362719011 n
SUBANG, 25 Julai – Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin hari ini hadir menyertai warga tempatan dalam Program Fun Run dan seterusnya merasmikan Karnival Undang-Undang Syariah Negeri Selangor di Masjid Ara Damansara.
 
Program bermula seawal jam 7.00 pagi dengan acara larian mesra kariah sejauh 4.5 kilometer yang bertujuan mengeratkan hubungan ukhuwah antara ahli kariah dan masyarakat setempat. Ketibaan beliau disambut oleh EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, YB Tuan Dr. Mohammad Fahmi bin Ngah, serta Ahli Lembaga Tadbir Masjid Ara Damansara, YBhg. Dato’ Seri Abdul Satar Khan bin Amirullah Khan. Program tersebut turut diserikan dengan penyertaan selebriti popular, Saudara Alif Satar.
 
Meneruskan atur cara, YAD Pengerusi MAIS menyempurnakan majlis perasmian Karnival Undang-Undang Syariah Negeri Selangor. Karnival ini merupakan anjuran Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) di bawah Kluster Amar Maaruf Nahi Mungkar MAIS dan ianya dianjurkan khas bagi meningkatkan kesedaran dan memberi kefahaman yang lebih berkesan kepada awam mengenai perundangan syariah di negeri ini.
 
Bagi mengimarahkan karnival tersebut, pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk pameran interaktif daripada agensi kerajaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS), dan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Selain pameran, karnival ini turut membuka peluang ekonomi menerusi gerai jualan produk komuniti tempatan, di samping aktiviti santai seperti sukan rakyat dan cabutan bertuah bagi memeriahkan suasana harian pengunjung.
 
Turut hadir mengiringi Pengerusi MAIS sepanjang lawatan tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAIS, Ustaz Hashim bin Mohamad; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIS, Ustaz Hidayat bin Abd Rani; serta Pegawai Khas Pengerusi MAIS, Encik Abdul Ghaffar bin Ab Ghani.
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search