MAIS AGIH RM4 JUTA FIDYAH WANG SAKU PELAJAR, BANTU 8,000 PELAJAR SEKOLAH
MAIS AGIH RM4 JUTA FIDYAH WANG SAKU PELAJAR, BANTU 8,000 PELAJAR SEKOLAH
SHAH ALAM, 13 Ogos – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sebanyak RM4 juta melalui agihan fidyah wang saku pelajar kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) bagi membantu 8,000 pelajar sekolah yang kurang berkemampuan di seluruh negeri Selangor.
Simbolik penyerahan agihan fidyah wang saku pelajar MAIS disempurnakan oleh Pengarah Kanan Sektor Ekonomi dan Pembangunan Sosial MAIS, YBhg. Dr Hajah Norraini Nordin, dalam Majlis Pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar Tahun 2026 di Sekolah Rendah Agama Seksyen 3, di sini, hari ini.
Daripada keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM1,151,500 diperuntukkan kepada Unit Pendidikan Islam (UPI) Daerah Petaling, diikuti UPI Daerah Klang sebanyak RM841,000, UPI Daerah Kuala Selangor (RM697,500), UPI Daerah Hulu Selangor (RM443,500), UPI Daerah Sabak Bernam (RM440,000) dan UPI Daerah Kuala Langat (RM386,500).
Selain itu, sebanyak RM145,000 diperuntukkan kepada UPI Daerah Gombak, RM16,500 kepada UPI Daerah Sepang dan RM5,000 kepada UPI Daerah Hulu Langat.
Peruntukan tersebut memberi manfaat kepada 8,000 pelajar yang layak, melibatkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, Sekolah Rendah Agama (SRA) serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh Selangor yang memenuhi syarat sebagai penerima agihan fidyah wang saku pelajar.
Program Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar merupakan antara inisiatif MAIS dalam membantu meringankan beban pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan, khususnya bagi memenuhi keperluan makanan dan minuman sepanjang tempoh persekolahan.
Setiap pelajar yang layak menerima kupon wang saku pelajar bernilai RM500 secara sekali sahaja. Kupon tersebut boleh digunakan di kantin sekolah yang ditetapkan bagi pembelian makanan dan minuman, dengan nilai RM5 sehari.
Pada tahun 2025, MAIS telah mengagihkan sebanyak RM4.68 juta melalui fidyah wang saku pelajar kepada 15,613 pelajar di seluruh Selangor yang memenuhi syarat sebagai penerima agihan.
Turut hadir dalam majlis ialah Puan Rabihah Ibrahim, Timbalan Pengarah (Operasi) JAIS; Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS; Ustaz Abdul Halim Saljadi, Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan JAIS dan Puan Norlidah Hashim, Guru Besar SRA Seksyen 3.














