AHLUL BAIT MENURUT AL-QURAN DAN AL-SUNNAH: DEFINISI, KEDUDUKAN DAN BATAS BERADAB MENURUT AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)
Pendahuluan
Perbahasan tentang Ahlul Bait bukan sekadar soal keturunan Rasulullah SAW semata-mata, bahkan ianya berkait langsung dengan adab umat Islam terhadap Nabi Muhammad SAW mereka sendiri. Mencintai Ahlul Bait adalah sebahagian daripada mencintai Rasulullah SAW, kerana mereka ialah keluarga Baginda SAW yang dimuliakan oleh Allah SWT dan disebut dalam nas-nas syarak.
Namun kecintaan ini tidak boleh dibiarkan berjalan atas sentimen, taksub, atau ghuluw (melampau). Ia mesti dipandu oleh al-Quran dan al-Sunnah. Sebab itu, apabila Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) membahaskan siapakah Ahlul Bait, mereka tidak mengambil satu dalil lalu menolak dalil lain. Sebaliknya, semua nas dihimpunkan, difahami mengikut konteks, kemudian diletakkan pada tempatnya. Itulah kaedah yang digunapakai oleh para ilmuan Islam.
Dari sudut bahasa, Ahlul Bait bermaksud ahli rumah, ahli keluarga atau kaum kerabat. Dalam konteks Rasulullah SAW, istilah ini merujuk kepada keluarga Baginda SAW yang mendapat kemuliaan khusus dalam agama. Antara dalil utama dalam perbahasan ini ialah firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa daripada kamu, wahai Ahlul Bait, dan mensucikan kamu sesuci-sucinya.”
(Surah al-Ahzab : 33)
Ayat ini menjadi asas penting tentang kemuliaan Ahlul Bait di sisi Allah SWT. Dalam masa yang sama, ayat ini datang dalam rangkaian ayat yang sedang berbicara kepada isteri-isteri Nabi Muhammad SAW. Maka dari sudut konteks al-Quran, isteri-isteri Nabi Muhammad SAW termasuk dalam lingkungan Ahlul Bait menurut kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Namun, ini tidak bermakna Ahlul Bait hanya terbatas kepada isteri-isteri Nabi Muhammad SAW. Hadis-hadis sahih yang lain juga menunjukkan bahawa Saidina Ali bin Abi Talib RA, Fatimah al-Zahra’ RA, Hassan dan Hussain RA termasuk secara khusus dalam kalangan Ahlul Bait.
Dalam hadis al-Kisa’, Rasulullah SAW menghimpunkan Saidina Ali RA, Fatimah RA, Hassan dan Hussain RA di bawah satu kain, lalu Baginda SAW membaca ayat Tathir (mensucikan Ahlul Bait) :
إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa daripada kamu, wahai Ahlul Bait, dan mensucikan kamu sesuci-sucinya.” (Surah Al-Ahzab: 33)
Dalam riwayat lain, Nabi Muhammad SAW berdoa:
اللَّهُمَّ هَؤُلَاءِ أَهْلُ بَيْتِي
Maksudnya: “Ya Allah, mereka inilah ahli baitku.” [HR : Muslim]
Hadis ini menunjukkan kedudukan istimewa Ahlu al-Kisa’, iaitu Saidina Ali RA, Fatimah RA, Hassan dan Hussain RA, dalam keluarga Rasulullah SAW
Maka, pendekatan yang benar ialah tidak menyempitkan makna Ahlul Bait sehingga menafikan isteri-isteri Nabi Muhammad SAW dan tidak juga meluaskannya tanpa panduan nas. Semua dalil perlu dihimpunkan dan difahami mengikut konteks masing-masing.
Hal ini lebih jelas melalui hadis Zaid bin Arqam RA. Dalam hadis tersebut, beliau menjelaskan:
نِسَاؤُهُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ
Maksudnya: “Isteri-isterinya termasuk daripada Ahlul Baitnya.” [HR : Muslim]
Namun dalam konteks larangan menerima sedekah, Zaid RA menjelaskan bahawa Ahlul Bait juga merujuk kepada keluarga Nabi Muhammad SAW yang diharamkan menerima sedekah. Beliau menyebut;
هُمْ آلُ عَلِيٍّ وَآلُ عَقِيلٍ وَآلُ جَعْفَرٍ وَآلُ عَبَّاسٍ
Maksudnya: “Mereka ialah keluarga Ali, keluarga Aqil, keluarga Ja‘far dan keluarga Abbas.” [HR : Muslim]
Ini menunjukkan bahawa istilah Ahlul Bait mempunyai keluasan makna mengikut konteks. Dalam satu konteks, ia merangkumi isteri-isteri Nabi Muhammad SAW. Dalam konteks hukum sedekah dan zakat, ia merujuk kepada keluarga Nabi Muhammad SAW daripada jalur Bani Hasyim yang diharamkan menerima sedekah.
Larangan ini dikuatkan lagi oleh hadis Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِنَّ الصَّدَقَةَ لَا تَنْبَغِي لِآلِ مُحَمَّدٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah tidak patut diberikan kepada keluarga Muhammad.” [HR : Muslim]
Dalam riwayat lain disebut:
لَا تَحِلُّ لِمُحَمَّدٍ وَلَا آلِ مُحَمَّدٍ
Maksudnya: “Ia tidak halal bagi Muhammad dan tidak juga bagi keluarga Muhammad.” [HR : Muslim]
Adapun Bani al-Muttalib, mereka turut dikaitkan dengan Bani Hasyim dalam beberapa hukum tertentu, khususnya bab khumus. Ini berdasarkan hadis Jubayr bin Mut‘im RA dalam hadis Nabi Muhammad SAW :
إِنَّمَا بَنُو الْمُطَّلِبِ وَبَنُو هَاشِمٍ شَيْءٌ وَاحِدٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani al-Muttalib dan Bani Hasyim itu satu.”
[HR : Bukhari]
Hadis ini menjadi asas perbincangan ulama bahawa Bani al-Muttalib mempunyai kaitan hukum tertentu dengan Bani Hasyim, khususnya dalam pembahagian khumus. Dalam isu zakat pula, sebahagian ulama seperti Syafi‘iyyah memasukkan Bani al-Muttalib bersama Bani Hasyim berdasarkan hubungan nas ini.
Selain itu, hadis-hadis selawat juga menunjukkan keluasan makna keluarga Nabi Muhammad SAW. Sabda Rasulullah SAW:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ
Maksudnya: “Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas Muhammad, isteri-isterinya dan zuriatnya.” [HR : Bukhari]
Ini menunjukkan bahawa mendoakan keluarga Nabi Muhammad SAW bukan perkara kecil. Ia sebahagian daripada ibadah yang diajar sendiri oleh Rasulullah SAW. Mencintai Ahlul Bait, menghormati mereka, dan menyebut mereka dengan adab ialah tuntutan agama.
Namun dalam masa yang sama, pendekatan Ahli Sunnah Wal Jamaah berbeza dengan tafsiran Syiah Imamiah terhadap Ahlul Bait. Dalam kerangka Imamiah, Ahlul Bait dalam makna khusus tidak merangkumi seluruh keluarga Nabi Muhammad SAW secara umum. Ia tertumpu kepada Nabi Muhammad SAW, Sayyidatina Fatimah RA, Ali RA, Hassan dan Hussain RA, kemudian diteruskan kepada sembilan imam daripada keturunan Hussain RA.
Dalam rujukan Syiah, kelompok ini dihuraikan sebagai tokoh pilihan Ilahi yang menjadi pusat autoriti agama selepas kewafatan Rasulullah SAW. Mereka juga dihimpunkan dalam konsep ‘Empat Belas Maksum’. Maka, Ahlul Bait menurut tafsiran Imamiah bukan sekadar keluarga yang dimuliakan, tetapi juga pewaris kepimpinan rohani dan agama yang dianggap dilantik secara nas Ilahi.
Dari sudut Ahli Sunnah Wal Jamaah, tafsiran seperti ini tidak selari dengan keseluruhan dalil al-Quran dan al-Sunnah. Ini kerana Surah al-Ahzab ayat 33, datang dalam rangkaian ayat yang ditujukan kepada isteri-isteri Nabi Muhammad SAW. Tafsir Ibn Kathir juga menegaskan bahawa mereka termasuk dalam Ahlul Bait.
Hadis al-Kisa’ pula menunjukkan kemuliaan khusus Saidina Ali, Fatimah RA, Hassan dan Hussain RA, tetapi ia tidak menafikan kemasukan isteri-isteri Nabi Muhammad SAW. Malah hadis Zaid bin Arqam RA dalam Sahih Muslim menyebut dengan jelas bahawa isteri-isteri Nabi Muhammad SAW termasuk dalam Ahlul Bait. Hadis selawat dalam Sahih al-Bukhari pula menyebut ‘isteri-isteri dan zuriat’ Baginda SAW.
Oleh itu, pengkhususan makna Ahlul Bait secara eksklusif sehingga menolak pihak yang telah disebut oleh nas merupakan pentafsiran yang tidak menghimpunkan seluruh dalil secara seimbang.
Kritikan Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap Syiah Imamiah bukan berhenti pada soal takrif Ahlul Bait sahaja. Ia juga melibatkan apa yang dibina di atas takrif tersebut. Sumber-sumber Syiah sendiri menyatakan bahawa para imam adalah maksum, bahkan ada yang memperluaskan sifat itu kepada Fatimah RA juga.
Dalam beberapa huraian Imamiah, para imam juga dikaitkan dengan wilayah takwiniyyah, iaitu kekuasaan pada alam penciptaan dengan izin Allah SWT, serta wilayah tashri‘iyyah, iaitu autoriti yang mewajibkan ketaatan dalam urusan agama dan masyarakat.
Dari sudut Ahli Sunnah Wal Jamaah, di sinilah muncul unsur ghuluw, iaitu melampaui batas dalam mengangkat Ahlul Bait melebihi kedudukan yang sabit dengan nas. Ahli Sunnah Wal Jamaah memuliakan Ahlul Bait, mencintai mereka dan mengakui kelebihan mereka. Tetapi Ahli Sunnah tidak menisbahkan kepada mereka sifat maksum selepas para nabi, tidak menetapkan bagi mereka kuasa kosmik sebagai doktrin agama dan tidak meletakkan mereka sebagai sumber autoriti syariat yang berdiri sendiri selepas Rasulullah SAW.
Hak menetapkan agama adalah milik Allah SWT semata-mata. Rasulullah SAW sendiri telah memberi amaran agar umat tidak melampau dalam memuji Baginda SAW. Baginda SAW bersabda:
لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا: عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
“Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau dalam memuji putera Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah hamba-Nya. Maka katakanlah: Hamba Allah dan Rasul-Nya.” [HR : Bukhari]
Jika terhadap Rasulullah SAW sendiri pun umat dilarang bersikap ghuluw, maka lebih-lebih lagi terhadap selain Baginda SAW. Cinta yang benar bukan cinta yang melampaui batas. Cinta yang benar ialah cinta yang tunduk kepada wahyu.
Kesimpulannya, Ahlul Bait menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah keluarga Nabi Muhammad SAW yang dimuliakan oleh Allah SWT dan RasulNya berdasarkan dalil-dalil sahih. Isteri-isteri Nabi Muhammad SAW termasuk dalam Ahlul Bait berdasarkan konteks al-Quran dan hadis. Saidina Ali RA, Fatimah RA, Hassan dan Hussain RA pula memiliki kedudukan khusus sebagai Ahlu al-Kisa’. Keluarga Saidina Ali RA, Aqil, Ja‘far dan Abbas RA termasuk dalam Ahlul Bait dalam konteks hukum larangan menerima sedekah. Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib pula dikaitkan dalam beberapa hukum tertentu seperti khumus (satu perlima).
Maka sikap yang benar ialah mencintai Ahlul Bait tanpa menafikan sesiapa yang telah dimasukkan oleh nas dan tanpa mengangkat mereka melebihi batas yang ditetapkan syarak. Inilah jalan pertengahan Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu cinta tanpa ghuluw, hormat tanpa taksub dan berpegang kepada dalil tanpa memilih-milih nas mengikut hawa nafsu.
Sekiranya anda mendapati perkara, ajaran atau amalan pelik yang meragukan, diajar atau disebarkan dalam kelas-kelas tertentu atau tempat atau permis tertentu, sila laporkan kepada Hotline JAIS di talian 1800-88-2424 atau pihak Jabatan Agama Islam Negeri untuk pemantauan dan diambil tindakan.









