PENGERUSI MAIS TERUS MENYANTUNI JEMAAH DAN AHLI KARIAH DI MASJID SEKITAR SUBANG JAYA
PENGERUSI MAIS TERUS MENYANTUNI JEMAAH DAN AHLI KARIAH DI MASJID SEKITAR SUBANG JAYA
SUBANG, 10 September 2026-Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus mendekati masyarakat melalui Program Road Tour di dua masjid sekitar Subang pada 9 September lepas. Program temu mesra Pengerusi MAIS, YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin ini dibawakan khas bagi mengeratkan silaturahim dengan penduduk setempat, sejajar dengan moto MAIS iaitu “MAIS Santuni Anda”.
Beliau telah meluangkan masa menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Al-Irsyad USJ dan Masjid Al-Falah USJ 9 di mana kedatangan beliau disambut mesra oleh Nazir serta Jawatankuasa Masjid tersebut.
Dalam perkongsiannya, Pengerusi MAIS mengingatkan bahawa masjid bukan sekadar tempat solat sahaja, bahkan Nazir masjid ini juga merupakan “duta kecil” untuk menyebarkan sebaran maklumat sahih tentang dasar-dasar MAIS dan JAIS serta ejen penyatuan ummah. Beliau turut menyarankan agar pihak masjid lebih kreatif dalam menganjurkan aktiviti menarik supaya lebih ramai remaja rajin ke masjid.
Turut serta dalam lawatan ini ialah barisan kepimpinan MAIS terdiri daripada YAD. Tan Sri Dato’ Setia Zawawi bin Saleh, Anggota MAIS; YBrs. Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS dan Encik Abdul Ghaffar bin Ab Ghani, Pegawai Khas Pengerusi MAIS.














