KUNJUNG HORMAT KPJ KE MAIS BUKA RUANG KOLABORASI STRATEGIK
KUNJUNG HORMAT KPJ KE MAIS BUKA RUANG KOLABORASI STRATEGIK
SHAH ALAM, 14 SEPTEMBER 2026 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerima kunjung hormat daripada KPJ Healthcare (KPJ) pada 11 September lepas bagi berkongsi pandangan, bertukar idea serta meneroka potensi kolaborasi strategik yang dapat memberikan manfaat kepada ummah.
Delegasi KPJ telah disambut oleh Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS yang turut mempengerusikan sesi perbincangan.
Dalam sesi berkenaan, MAIS turut berkesempatan memberikan penerangan berkaitan aset dan tanah-tanah milik MAIS yang berpotensi untuk dibangunkan serta mempromosikan produk serta perkhidmatan MAIS, antaranya wasiat, hibah dan instrumen perancangan harta Islam yang lain.
Kunjung hormat ini mencerminkan kesediaan kedua-dua pihak untuk meneroka peluang kerjasama yang lebih strategik dengan menggabungkan kepakaran, pengalaman dan sumber yang dimiliki bagi menghasilkan inisiatif yang berimpak tinggi.
MAIS komited untuk terus memperkukuh jaringan strategik bersama sektor korporat dalam usaha mengoptimumkan aset, memperluas manfaat perkhidmatan serta memperkasa agenda kebajikan dan kesejahteraan ummah di Selangor.
Delegasi KPJ Healthcare (Ibu Pejabat) diketuai oleh Dr. Nik Fawaz bin Nik Abdul Aziz, Ketua Pegawai Operasi, Operasi Kesihatan Bersekutu dan Peruncitan Kumpulan, Y.Bhg. Dato’ Mohamad Farid bin Salim, Ketua Pegawai Operasi, Operasi Hospital dan En. Muhammad Ridhwan bin Abdul Razak, Pengurus Operasi Kesihatan Bersekutu dan Peruncitan Kumpulan.
Turut hadir juga daripada KPJ Selangor ialah YBhg. Dato’ Md Aini bin Taib, Ahli Lembaga Pengarah KPJ Selangor, Pn. Azan Mukminah Saffin, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Selangor, serta Pn. Syazwani binti Turiman, Pengurus Pentadbiran dan Pn. Nur Liyana binti Mohd Rasid, Pengurus Kewangan. Hadir sama mewakili MAIS ialah Dr. Norraini binti Nordin, Pengarah Kanan Ekonomi dan Pembangunan Sosial.












