Baginda Menjunjung Kewajipan Khilafah, Pertegas Tadbir Urus yang Baik
Sempena Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor
Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan bahawa khilafah ditegakkan bagi menggantikan peranan kenabian dalam dua perkara: menjaga agama dan mentadbir urusan dunia dengan agama. Kewajipan inilah yang diwarisi Raja-Raja Melayu sebagai ulil amri. Di Selangor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor (“UUTKNS”) meletakkan Duli Yang Maha Mulia (“DYMM”) Sultan sebagai Ketua Agama Islam, manakala Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, berperanan membantu dan menasihati DYMM dalam semua hal perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam Negeri Selangor kecuali perkara Hukum Syarak dan berhubungan dengan pentadbiran keadilan.
Dalam jurnal The Conceptual Framework for Building the World Class Good Governance Ethics (Journal of Governance and Integrity, 2020), ditegaskan bahawa tadbir urus tanpa etika ibarat jasad tanpa roh. Kerangka itu dibina daripada teladan Rasulullah SAW sebagai khalifah terunggul, dengan lima ciri khalifah yang melahirkan lima nilai etika: (1) pemegang amanah Allah melahirkan sifat amanah; (2) menyuruh makruf dan mencegah mungkar melahirkan integriti; (3) menghindari kerosakan melahirkan kepimpinan disruptif (disruptive leadership); (4) bertanggungjawab melahirkan akauntabiliti; dan (5) beriman memelihara keimanan. Kelima-lima tiang ini dipasakkan dengan amalan syura dan diarahkan kepada matlamat akhir, iaitu keadilan.
Kerangka ini selari dengan maqasid al-syariah — pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta — serta kaedah fiqh bahawa tindakan pemerintah terhadap rakyat terikat dengan maslahah (tasarruf al-imam ‘ala al-ra‘iyyah manut bi al-maslahah). Sempena 25 tahun pemerintahan baginda, wajar kita menilai titah dan tindakan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dengan neraca lima tiang ini.
Amanah juga merangkumi warisan bangsa — satu cabang yang memelihara keturunan dan maruah (hifz al-nasl wa al-‘ird). Baginda mengingatkan bahawa Kampong Bharu dibuka pada 1899 sebagai kurniaan Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah untuk penempatan orang Melayu; justeru, sebarang keputusan pembangunan mesti mengambil kira kepentingan orang Melayu pada hari ini dan generasi akan datang.
Tiang Kedua: Amar Makruf Nahi Mungkar — Integriti
Integriti ialah keberanian menegakkan yang benar dan mencegah yang salah tanpa memihak. Dari aspek memelihara agama (hifz al-din), Baginda menitahkan agar masjid dan surau bebas sepenuhnya daripada pengaruh politik kepartian, kerana masjid bukan gelanggang kepartian, apatah lagi tempat menyemai kebencian. Selaku Ketua Agama dan Raja Pemerintah, Baginda mengingatkan semua ahli politik agar tidak mempolemikkan setiap isu agama Islam sehingga menjadi modal persengketaan yang tiada berkesudahan.
Tiang Ketiga: Menghindari Kerosakan — Kepimpinan Disruptif
Kepimpinan disruptif berani memecah kebiasaan dan status quo yang membawa kerosakan, lalu menolak mudarat sebelum ia merebak. Selaras dengan pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs), ia tidak membiarkan masalah berulang karena alasan prosedural atau keselesaan pangkat. Baginda menitahkan JAIS untuk menambah baik sistem keselamatan sekolah tahfiz, termasuk peralatan pencegahan kebakaran yang diluluskan oleh pihak bomba. Pada Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri, Baginda menuntut tindakan segera jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani banjir, serta mahu Sungai Klang dibersihkan bagi memastikan bekalan air bersih untuk rakyat. Baginda juga menyarankan agar kepakaran luar negara, khususnya dari Belanda, dirujuk — satu desakan supaya kerajaan keluar daripada pendekatan lazim yang terbukti gagal.
Sifat disruptif paling jelas terzahir dalam titah baginda yang tidak memperkenankan penternakan babi di mana-mana daerah di Selangor, walaupun ia bermakna mengubah perancangan sedia ada kerajaan negeri. Asasnya ialah pencemaran udara serta risiko pencemaran kawasan tadahan air dan sungai yang membekalkan air bersih kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Keperluan masyarakat bukan Islam tetap diraikan melalui cadangan import. Inilah prinsip dar’ al-mafasid muqaddam ‘ala jalb al-masalih — menolak kerosakan diutamakan, tanpa menafikan hak pihak lain.
Tiang Keempat: Bertanggungjawab — Akauntabiliti
Akauntabiliti bermaksud setiap pemegang kuasa wajib menjelaskan dan bertanggungjawab atas tindakannya. Dari aspek memelihara harta (hifz al-mal), Baginda menegur bahawa peruntukan banjir disediakan setiap tahun namun tiada hasil berkesan yang dapat dilihat, malah nasihat baginda agar pakar Belanda dirujuk diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi. Baginda menitahkan agar semua akaun masjid dan surau diurus mengikut peraturan JAIS dan MAIS tanpa sebarang tolak ansur terhadap penyelewengan, serta mengingatkan penjawat awam di pejabat daerah dan PBT supaya menjauhi rasuah.
Teladan berhemah ditunjukkan oleh Baginda sendiri apabila menitahkan agar sambutan Jubli Perak diadakan secara sederhana dan tanpa pembaziran. Institusi zakat di bawah naungan Baginda pula terus berkembang; pada 7 Oktober lalu, Baginda menerima zakat perniagaan berjumlah RM41.72 juta daripada lima syarikat untuk Lembaga Zakat Selangor.
Tiang Kelima: Beriman — Keimanan
Keimanan ialah tunjang yang menghidupkan keempat-empat tiang lain. Tanpa iman, amanah menjadi formaliti, integriti menjadi slogan dan akauntabiliti menjadi prosedur. Nama pemerintahan baginda, Sharafuddin — kemuliaan agama — terzahir dalam kegusaran Baginda apabila kesucian Islam dicemari oleh kisah penyelewengan yang melibatkan orang Melayu Islam. Bagi Baginda, kemuliaan Islam bukan sekadar dipertahankan dengan kata-kata, tetapi juga dibuktikan melalui akhlak para penganutnya.
Syura dan Keadilan: Amalan dan Matlamat
Surah Ali ‘Imran (3:159) memerintahkan Rasulullah SAW bermesyuarat dalam urusan penting. Dalam amalan syura terzahir hubungan Raja dan Menteri Besar serta pelbagai badan eksekutif. Dewan Diraja Selangor menegaskan bahawa Baginda tidak mahu sekadar menjadi “cop getah”, dan Menteri Besar wajib merujuk kepada Baginda dalam urusan yang menyentuh kebajikan rakyat. Nasihat Raja bukan perhiasan; syura hanya bermakna apabila nasihat itu didengar dan dilaksanakan.
Keadilan pula ialah matlamat akhir kerangka ini, dan keadilan Islam turut terpakai kepada bukan Islam. Dalam isu kuil yang dibina tanpa kebenaran, Baginda menegaskan bahawa setiap rumah ibadat mesti mendapat kelulusan sah, dan setiap permohonan hendaklah diproses secara telus, adil dan tersusun. Satu undang-undang kawalan perlu, tanpa prejudis — itulah wajah sebenar siyasah syar‘iyyah.
Penutup
Allah SWT berfirman dalam Surah Yunus (10:14) bahawa manusia dijadikan khalifah di bumi untuk dilihat bagaimana mereka beramal. Suku abad pemerintahan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memperlihatkan bahawa lima tiang khalifah — amanah, integriti, kepimpinan disruptif, akauntabiliti dan keimanan — bukan sekadar teori di atas kertas, tetapi amalan yang dizahirkan melalui titah dan tindakan seorang Raja yang menjadikan takhta sebagai amanah, bukan medan kemegahan.
Semoga Allah SWT melanjutkan usia DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor, dalam kesihatan dan keberkatan, serta terus memelihara Selangor sebagai negeri yang aman, makmur dan diredai.









