DYMM SULTAN SELANGOR BERKENAN LANCAR BUKU KOLEKSI TERPILIH TITAH UCAPAN BERKAITAN HAL EHWAL ISLAM SEMPENA SAMBUTAN JUBLI PERAK

DYMM SULTAN SELANGOR BERKENAN LANCAR BUKU KOLEKSI TERPILIH TITAH UCAPAN BERKAITAN HAL EHWAL ISLAM SEMPENA SAMBUTAN JUBLI PERAK

861705989 1510601360985058 8193249168862942787 n

SHAH ALAM, 22 Oktober – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan pelancaran Buku Koleksi Terpilih Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor Berkaitan Hal Ehwal Islam Selangor bersempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda.

Buku koleksi tersebut menghimpunkan titah-titah ucapan terpilih DYMM Sultan Selangor bagi tempoh tahun 2001 hingga 2026 sempena genap 25 tahun Baginda. Penerbitan ini merupakan inisiatif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam mendokumentasikan titah-titah Baginda berkaitan hal ehwal Islam sepanjang tempoh pemerintahan Baginda, sekali gus menjadi khazanah ilmu dan sumber rujukan yang bernilai untuk tatapan serta panduan generasi masa kini dan akan datang.

Penerbitan buku koleksi ini dijangka akan dapat memperluas pengetahuan dan meningkatkan penghayatan masyarakat terhadap perhatian serta keprihatinan Baginda dalam memelihara kesucian agama Islam dan memperkukuh kedudukan Islam di Negeri Selangor. Usaha ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor dalam memelihara kesucian akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, memperkasa institusi masjid, memartabatkan pendidikan Islam serta memperkukuh pengurusan zakat dan wakaf, di samping memupuk perpaduan dan kesejahteraan ummah.

Koleksi titah ucapan ini diharap dapat menjadi sumber rujukan yang bernilai kepada institusi pendidikan, penyelidik, ahli akademik dan masyarakat umum dalam memahami perkembangan pentadbiran hal ehwal Islam di Negeri Selangor sekali gus memastikan amanat dan panduan Baginda terus dihayati serta dimanfaatkan oleh generasi kini dan akan datang. Orang ramai boleh memuat turun buku koleksi terpilih ini melalui laman web rasmi MAIS di www.mais.gov.my.

Pelancaran tersebut disempurnakan semasa Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk ‘Raja Berdaulat Memayungi Umat’ anjuran MAIS dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Turut hadir ialah YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin, Pengerusi MAIS dan Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS.

Forum bertajuk ‘Raja Berdaulat Memayungi Umat’ menampilkan dua ahli panel, iaitu YAD Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir, Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor dan Prof. Madya Dato’ Dr. Muhammad Ayman Al-Akiti, Anggota Jawatankuasa Fatwa dan Khutbah Negeri Selangor. Sesi forum tersebut dikendalikan oleh Ustaz Rizal Ramli, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor.

MAIS turut berharap agar penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam dan penerbitan Buku Koleksi Terpilih Titah Ucapan Berkaitan Hal Ehwal Islam dapat memperkukuh kefahaman serta penghayatan masyarakat terhadap kedudukan dan peranan institusi diraja, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara kedaulatannya dalam memartabatkan agama Islam serta menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat di Negeri Selangor.

#MAISsantuniAnda #MAIS #MenjunjungAmanah

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search