The Ahmadi Religion of Peace and Light adalah gerakan ajaran yang berasal dari Iraq dan berasal dari ajaran Syiah Imam Dua Belas. Ajaran ini diasaskan pada tahun 1999 oleh Ahmed Al-Hassan yang dianggap sebagai Al-Yamani (tanda kemunculan Imam Mahdi dan dikatakan akan muncul sebagai pendahulu kepada Imam Mahdi serta akan membantu dalam menyiapkan umat manusia untuk menerima Imam Mahdi).
Gerakan ajaran ini kini dipimpin oleh Abdullah Hashem Aba Al-Sadiq yang dipercayai sebagai Qaim/ Riser (Pembawa) dari keluarga nabi Muhammad SAW. Bagi pengikut Al-Hassan, mereka percaya bahawa Imam Mahdi akan datang dari Mesir dan akan mendedahkan diri pada usia 32 tahun dan akan muncul selepas kematian seorang Raja Hijaz (iaitu Arab Saudi) yang dikenali sebagai Abdullah dan dikenal pasti dengan tanda-tanda tertentu. Abdullah Hashem berusia 32 tahun pada 2015 dan bapanya warga Mesir ketika kematian Raja Abdullah dari Arab Saudi (1924–2015).
Markas utama ajaran ini berada di United Kingdom, England dan dikenali sebagai Black Banners yang diketuai oleh Abdullah Hashem untuk membezakannya dari pesaing utamanya yang dikenali sebagai White Banners Najaf, Iraq.
Ajaran ini menyeru pengikutnya untuk mengikuti Imam Mahdi dan pemimpin-pemimpin Imam Mahdi yang diyakini telah muncul saat ini. Mereka mempunyai kepercayaan tersendiri bahawa Abdullah Hashem memenuhi kriteria sebagai utusan yang dilantik oleh Allah. Kumpulan ini juga mengaitkan antara agama Mesir purba dan monoteisme Islam serta menyatakan bahawa Imam Mahdi mempunyai kaitan dengan Mesir.
Penyelewengan Pemikiran Abdullah Hashem Aba Al-Sadiq
Abdullah Hashem menyatakan pada asasnya ajaran ini adalah agama baru. Dia mendakwa dirinya adalah Qaim (Riser) “Pembangun Keluarga Muhammad” yang muncul di akhir zaman untuk membawa keamanan dan keadilan kepada dunia dan mendakwa telah memperolehi “kemaksuman” terutamanya yang berkaitan dengan bimbingan manusia lain terhadap Allah SWT. Abdullah Hashem juga menghargai idea agama Kristian Katolik yang mendakwa bahawa Tuhan beroperasi melalui sebuah wakil yang “tidak mempunyai kesalahan” seperti Simon Petrus ketika dia dilantik oleh Jesus. Abdullah Hashem menyatakan sama seperti Syiah dalam Islam, Roman Katolik “disusup” dan “dilantik khalifah yang tidak maksum dan bukan dari Tuhan”. Abdullah Hashem mendakwa oleh kerana Qaim (Riser) berasal Allah SWT maka dia adalah maksum.
Abdullah Hashem melaporkan bahagian Al-Quran itu manuskrip secara tidak sengaja dimakan oleh kambing dan hilang selama-lamanya.
Abdullah Hashem mendakwa larangan Allah SWT tidak disebut dalam mana-mana sumber sah. Penggunaan kalendar lunar, solat Jumaat, pengharaman arak dan hijab wajib bagi wanita tidak pernah menjadi perintah Allah SWT dalam mana-mana Perjanjian Tuhan. Dia percaya ia adalah sebagai ajaran yang telah diselewengkan. Semuanya akan diperbetulkan dalam perjanjian ketujuh antaranya ialah Ramadan akan disambut pada bulan Disember menurut wahyu Al-Hassan. Selain itu, dia menyatakan bahawa suatu hari nanti Masjidil Haram, Mekah yang menempatkan Kaabah palsu akan dihancurkan kerana Kaabah yang asli berada di Petra, Jordan.
Abdullah Hashem mengalu-alukan golongan LGBT dan meminta agar mereka dilayan dengan hormat.
Ajaran Berasaskan Fahaman Sesat Syiah.
Syiah Itsna Asyariah (Imam Dua Belas) berpegang bahawa kedudukan mereka (para imam Syiah) begitu tinggi sehingga melebihi kedudukan para rasul dan malaikat. Mereka juga dianggap tidak melakukan dosa (maksum). Kata-kata imam mereka dan pendapatnya dianggap betul dan benar belaka serta tidak pernah salah dan tidak pernah lupa dan lalai. Makhluk seluruhnya tunduk dan patuh kepada mereka. Mereka adalah cahaya (nur) yang duduk mengelilingi ‘Arasy Allah’ sebelum alam ini dicipta.
Buku Ajaran
Buku pertama bertajuk The Goal of the Wise: The Gospel of the Riser of the Family of Muhammad cenderung berfokus pada ajaran-ajaran spiritual dan etika berdasarkan pandangan Ahmed al-Hassan. Ia merangkumi interpretasi Al-Quran, Hadis dan literasi agama-agama lain dalam konteks kebangkitan Imam Mahdi serta tujuan dan misi rohani dari pengikutnya. Ia juga membawa salah faham terhadap agama Islam dan penyelewengan sejarah. Buku ini menjelaskan bagaimana Satu Tuhan telah menciptakan begitu banyak agama yang berbeza serta membahas isu-isu teologi dan falsafah fahaman Syiah serta memberikan panduan moral dan spiritual kepada pembaca.
Buku ini juga menyatakan bahawa Tuhan memasuki enam perjanjian dengan manusia, berpusat kepada Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad. Al-Hassan sebagai Al-Yamani merasmikan perjanjian ketujuh yang membawa kepada kebangkitan Riser (Qaim). Dengan sentuhan dispensationalism (sebuah sistem teologi Kristen evangelikal yang berpegang pada penafsiran Alkitab secara literal atau harfiah. Ia membawa fahaman bahawa Allah berinteraksi dengan manusia dalam beberapa tahap atau dispensasi yang berbeza sepanjang sejarah), buku ini menerangkan bahawa setiap perjanjian telah dilanggar oleh manusia sehingga menyebabkan hukuman oleh Tuhan dan akhirnya memerlukan perjanjian baharu.
Buku ini mendakwa bahawa teks Al-Quran telah mengalami penyimpangan atau perubahan dari bentuk asal yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW, ada bahagian-bahagian dari Al-Quran yang telah diubah, ditambah atau dihapus oleh pihak-pihak tertentu setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW. Mereka menyatakan bahawa ada ayat-ayat asal yang hilang atau teks yang sekarang tidak sepenuhnya mencerminkan wahyu yang asli.
Buku kedua bertajuk Saying of Imam Ahmed al-Hassan mengandungi ucapan-ucapan, fatwa dan ajaran-ajaran dari Ahmed al-Hassan. Isi kandungan buku ini meliputi nasihat-nasihat rohani, penjelasan teologis serta wawasan tentang perjalanan spiritual dan keagamaan.
Ajaran Ini Bercanggah Dengan Ajaran Agama Islam dan Menyeleweng Dari Prinsip Akidah Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah
Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) berpegang (iktikad) bahawa tidak ada manusia yang lebih tinggi pangkat dan tarafnya mengatasi taraf para Nabi dan Rasul. Tidak ada ajaran yang lebih tinggi daripada ajaran Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW yang merupakan sumber utama hukum syarak, manakala sumber-sumber lain pula seperti qiyas dan sebagainya diambil daripada Al-Quran dan Hadis yang kemudiannya dijadikan sumber ketiga, keempat dan seterusnya. Tanggapan ajaran ini yang mengatakan bahawa kata-kata imam sama dengan Al-Quran dan lebih tinggi daripada Hadis merupakan pendapat yang melampau dan tidak boleh diterima. Secara jelasnya, ia dianggap sebagai iktikad yang sesat dan menyeleweng daripada asas ajaran Islam.
Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 23 Oktober 2024 memutuskan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light adalah sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak. Mana-mana individu atau kumpulan orang yang mengamalkan dan menyebarkan fahaman, ajaran dan pegangan seumpama ini adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.









