ANCAMAN AJARAN NEW AGE KE DALAM PROGRAM MOTIVASI

new age movement 3
Sumber imej: https://ecentral.my/

Sebelum ini kita digemparkan dengan pelbagai kenyataan kontroversi melibatkan akidah dan kepercayaan yang dilontarkan oleh sebahagian guru motivasi. Dulu negara kita pernah digemparkan beberapa kes melibatkan kenyataan seperti:

a) Kes seorang pengasas produk mengeluarkan kenyataan seperti ‘Allah adalah makhluk halus’, 

b) Kes modul motivasi mendakwa wujudnya ‘God Spot’ mendiami dalam setiap diri manusia, 

c) Kes kenyataan dalam program self-help mengajar ‘Feeling Are Prayer’,

d) Kes guru motivasi mengajar konsep aura menjadi warna pakaian seperti tangkal atau azimat, dan banyak lagi.

Selain itu, terdapat juga amalan-amalan pelik yang diperkenalkan oleh sebahagian guru motivasi ini seperti menilik nasib menggunakan Al-Quran atau Garpu Tala, amalan memaafkan diri sendiri apabila bangun setiap pagi, amalan bertapa pada waktu-waktu tertentu dan pelbagai lagi. Semua ini berlaku di atas platform program motivasi. 

Di dunia moden yang padat dengan pembangunan, manusia hidup dengan penuh tekanan dan cabaran dalam kesempitan. Sama ada ia melibatkan soal wang, soal hubungan dengan pasangan, soal kesihatan dan sebagainya. Masalah-masalah ini telah mencipta peluang kepada golongan tertentu untuk membantu menyokong emosi dan memotivasikan mangsa-mangsa yang sedang berada dalam masalah tersebut. Dari situ munculnya konsep kelas dan modul motivasi. 

Picture1
Sumber imej: https://ecentral.my

Apa itu program motivasi?

Program motivasi merupakan program bersifat mendorong keinginan yang keras atau semangat yang kuat pada diri seseorang supaya berusaha atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mencapai kejayaan. 

Pelbagai bentuk pendekatan motivasi seperti self-help dan self-improvement yang berbentuk aktiviti yang menyediakan apa yang diperlukan untuk membantu menyelesaikan masalah, menamatkan sesuatu tabiat, dan mempelajari kemahiran.

Selain itu, elemen program motivasi juga terdapat dalam kelas Guru Perniagaan atau Business Guru yang merupakan program pembimbing yang dijadikan petunjuk dalam dunia perniagaan. Kesemua ini merupakan sesuatu yang fenomena berlaku di dunia Barat. Pelbagai latar sejarah dan peranan daripada pelbagai tokoh dalam bidang masing-masing seperti psikologi, kaunseling, sosiologi, dan psikiatri bermain peranan membentuk teori dan idea untuk membantu menyelesaikan masalah tekanan manusia. 

Picture2
Sumber imej: https://www.scoop.my/

Pada masa yang sama, muncul juga alternatif lain yang membantu menyelesaikan masalah ini dengan menggunakan elemen spiritual, keagamaan, ritual, dan falsafah bagi membentuk minda seseorang agar merasa lebih reda dengan tekanan dan cabaran hidup. Dari sini, bermulanya pengaruh percampuran pelbagai ajaran keagamaan, falsafah dan spiritual diadunkan ke dalam Gerakan New Age yang muncul sekitar 1960-an. 

Pengaruh New Age dan Penjenamaan Semula Amalan Syirik

Gerakan New Age merupakan kumpulan spiritualis yang telah mencipta fenomena segala amalan spiritual di dunia ini dijenamakan semula dengan istilah moden dan dipraktikkan dengan bentuk yang lebih santai. Perkara ini juga turut diadunkan ke dalam self-help dan seminar motivasi. Antara ajarannya: 

i)  Teknik Gelombang Tenaga Batin: Mereka beriman bahawa roh manusia merupakan serpihan dari Zat Yang Satu yang telah melimpah ke seluruh alam. Serpihan roh itu dikenali sebagai Atman, Spirit, Soul, Sukma, Vital dan banyak lagi. Dari konsep roh itu terbentuknya fahaman tenaga batin yang dinamakan sebagai Chakra, Aura, Qi, Kuasa Tenaga Ilahi yang boleh berinteraksi dengan gelombang tenaga meliputi alam ini. Sebahagian mereka menjenamakan sebagai aliran elektromagnetik atau jaluran tenaga yang wujud di persekitaran makhluk hidup. Rentetan daripada konsep tenaga batin ini juga membentuk beberapa teknik rawatan seperti Kromoterapi, Reiki, Terapi Kristal, dan Tensor Ring.

ii) Teknik Gelombang Perasaan, Fikiran dan Kata-Kata Boleh Menarik Sesuatu Yang Dihajati: Gerakan New Age percaya minda, perasaan, dan fikiran seseorang boleh menghasilkan gelombang yang boleh berinteraksi dengan alam semesta (Universe: yang merupakan hasil limpahan dari Zat Yang Satu) dan alam semesta akan membalas semula apa yang dihajati oleh seseorang sesuai apa yang terdapat pada minda, fikiran dan perasaan. Kepercayaan ini antaranya terdapat pada kepercayaan masyarakat Cina kepada sebutan sesuatu yang boleh mendatangkan tuah dan bala. Seperti  nombor lapan mendatangkan tuah dan empat mendatangkan bala. Kepercayaan ini akhirnya diberi nafas moden oleh Gerakan New Age sehingga membentuk konsep Law of Attraction, Law of Projection, Affirmation, Magnet Rezeki, Feeling Are Prayers dan seangkatan dengannya.

iii) Teknik Kuasa minda: Ialah sesuatu yang dikaitkan dengan empat gelombang otak, iaitu Beta, Alpha, Theta dan Delta. Menurut teori ini, setiap gelombang memiliki frekuensi yang berbeza dan mempunyai kelebihan serta fungsi tertentu. Di dalam Hindu tahap-tahap minda ini dikenali sebagai Vaisvanara, Taijasa, Prajna, dan Turiya.

 

iv) Teknik Menilik Karakter Melalui Bintang dan Buruj: Salah satu bentuk tilik nasib yang distrukturkan oleh ajaran Hermetisisme iaitu menilik sesuatu yang akan berlaku di dunia dengan menilik ke langit terutama bintang dan planet. Dalam bahasa Arab ia dikenali sebagai Nujum dan di dalam Gerakan New Age kepercayaan dan amalan ini dikenali sebagai ilmu Astrologi, Horoskop dan Zodiak.

 

v) Teknik Menilik Karakter Melalui Tarikh Lahir dan Kiraan Angka Pada Nama: Salah satu bentuk tilik nasib juga telah dibentukkan dengan kaedah membuat kiraan matematik kepada angka (menggunakan kiraan Hisab al-Jumal) disebalik nama dan tarikh lahir seseorang. Golongan Gerakan New Age menjenamakan semula teknik ini dengan istilah Numerologi, Nombor Metafizik, Psiko Numerologi, Psiko Matrixologi dan Matrix code.

 

vi) Teknik Menilik Nasib Menggunakan Al-Quran: Salah satu teknik menilik nasib adalah menggunakan helaian pada buku. Oleh kerana golongan Gerakan New Age percaya perasaan dan fikiran boleh berinteraksi dengan alam (Law of Attraction) lalu, mereka turut menggunakan buku atau kitab untuk mendapat jawapan dari masalahnya. Teknik ini dijenamakan dengan beberapa nama seperti Bibliomancy, Garpu Tala, & Istikharah al-Quran.

 

vii) Teknik Menilik Nasib Menggunakan Cap Jari & Jenis Darah: Salah satu bentuk tilik nasib yang terkenal adalah menilik nasib seseorang melalui garis-garis dan cap jari seseorang. Teknik tradisi dikenali sebagai Palmistry, manakala terdapat teknik terbaru yang dikenali Stifin turut memiliki konsep yang sama iaitu menilai potensi diri melalui cap jari dan jenis darah.

 

 viii) Teknik Pertapaan Untuk Menguatkan Spiritual: Salah satu bentuk latihan memberi tumpuan kepada satu titik untuk mengosongkan minda. Selain itu turut terdapat latihan pernafasan yang membantu untuk mencapai kekosongan minda. Sama ada ia hadir dalam bentuk Meditasi, Yoga, Qigong, Breathwork dan pelbagai nama lain.

 

ix) Teknik Memukau: Terdapat dua kaedah pemukauan yang dilakukan iaitu pertama pukau berbentuk sihir. Kedua adalah teknik pemukauan melalui pemanipulasian minda sedar manusia dengan pelbagai cara untuk meletihkan minda sedar seseorang. Asas kepada fahaman ini banyak terbentuk daripada ajaran Franz Mesmer (mesmerisme, magnetizer dan animal magnetism) yang percaya bahawa alam ini memiliki aliran tenaga yang boleh bertindak melalui minda. Konsep ini mula diolah dengan pelbagai nama-nama lain yang diberi seperti Hipnosis, Hipnoterapi, Autosuggestion dan Neuro Linguistic Programming (NLP).

 

x) Teknik Kembara Roh: Teknik yang digabungkan antara meditasi dan hipnosis atau amalan membisik sarana-sarana ke dalam minda separa sedar yang membawa kepada mimpi dan khayalan yang boleh dikawal. Seseorang akan mendapat mimpi atau khayalan yang diatur untuk pergi ke mana-mana sahaja yang dia imaginasikan. Amalan ini dikenali dengan pelbagai nama seperti Astral Projection, Astral Travel, Soul Travel dan Meraga Sukma.

 

Fatwa & Garis Panduan Ke Atas Program Motivasi Berunsur Amalan Gerakan New Age

img 1405 03
Sumber imej: https://www.inspiredwalk.com/

Semua teknik dan kepercayaan yang disenaraikan ini telah bertapak di dalam negara kita. Sudah terdapat fatwa-fatwa khusus ke atas sebahagian amalan Gerakan New Age seperti fatwa senaman Yoga dikalangan umat Islam, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor 2008 telah memutuskan seperti berikut:

  1. Senaman yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak sebelum masihi lagi menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah umat Islam.
  1. Apa jua jenis bentuk senaman yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syarat Islam.

Begitu juga dengan amalan memanggil roh atau menurun yang biasanya difahami dalam tiga bentuk; tahdir al-arwah (menghadirkan roh-roh) ataupun tanasukh al-arwah (persalinan roh/reinkarnasi) dan istinzal al-arwah. Ini juga merupakan amalan spiritual Gerakan New Age dalam berinteraksi dengan jin. Mesyuarat Panel Kajian Akidah ke-25/2003 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil keputusan bahawa pengamalan tahdhir arwah adalah haram.

Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga telah mengeluarkan Buku Garis Panduan Program Motivasi Berunsur Islam pada tahun 2013. Dinyatakan senarai antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian melibatkan program motivasi adalah seperti yang berikut :

  • Tidak menggunakan apa jua bentuk atau kaedah yang mempunyai unsur-unsur meramal nasib atau masa hadapan seperti kaedah numerologi, rahsia tarikh lahir, matrix code, rahsia abjad, rahsia tahi lalat, rahsia tulisan tangan, ilmu astrologi dan seumpama dengannya;
  • Tidak membekalkan para peserta dengan tangkal, azimat, jampi serapah yang mengandungi unsur syirik dan seumpama dengannya;
  • Tidak menggunakan kaedah hipnotisme yang mempunyai unsur-unsur sihir untuk memanipulasikan minda bawah sedar atau memikat hati, dan memperdayakan para peserta.
  • Tidak mencampuradukkan antara tasawuf Islam dengan unsur-unsur spiritualiti Barat;
  • Tidak mempromosi, mengiktiraf atau mengakui sebarang bentuk unsur-unsur kepercayaan dan peribadatan dalam agama lain;
  • Tidak menyamakan konsep-konsep tertentu dalam agama Islam dengan konsep-konsep dalam agama lain seperti menyamakan solat dengan yoga dan seumpamanya.

Senarai di atas ini merupakan pengaplikasian kepercayaan, amalan dan teknik yang dibawa oleh golongan spiritual, pakar motivasi dan self-help golongan Gerakan New Age kepada umat Islam. Yang menjadi cabaran adalah, terdapat segelintir diantara mereka cuba menjenamakan semula amalan ini dengan menukar istilah-istilah Barat kepada istilah Islamik. Sedangkan masalah utama bagi setiap amalan Gerakan New Age ini adalah berasal daripada akarnya yang melibatkan kepercayaan bercanggah dengan Islam.

img 1405 08
Sumber imej: https://www.muslimediabooks.com/

Hal ini membawa cabaran akidah yang besar kepada ummah. Berlaku penyaluran akidah dan amalan syirik kepada umat Islam melalui program-program motivasi yang tidak bertanggungjawab. Lagi parah apabila perkara itu dijenamakan dengan istilah-istilah islamik sehingga mengaburi mata ramai pihak.

Oleh itu, umat Islam hendaklah perlu berhati-hati menghadiri kelas program motivasi yang telah mencampurkan elemen-elemen Gerakan New Age yang telah disenaraikan di atas. Hal ini bertentangan dengan ajaran Islam. Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran: 

وَلَا تَلْبِسُوا۟ ٱلْحَقَّ بِٱلْبَٰطِلِ وَتَكْتُمُوا۟ ٱلْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.”

(Al-Baqarah :42)

Amalan-amalan Gerakan New Age merupakan ajaran dan amalan kaum musyrik yang perlu dihindari oleh umat Islam. Sabda Nabi Muhammad SAW:


مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” [HR : Abu Daud]

           Sebagai umat Islam, kita hendaklah berpegang teguh kepada ajaran Islam mengikut manhaj Ahlu Sunnah Wal Jamaah, bukan mengikut jalan ajaran sesat. Firman Allah SWT dalam Al-Quran:

 

وَلَا تَتَّبِعُوٓا۟ أَهْوَآءَ قَوْمٍۢ قَدْ ضَلُّوا۟ مِن قَبْلُ وَأَضَلُّوا۟ كَثِيرًۭا وَضَلُّوا۟ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ

Maksudnya: “Janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”

(Al-Maaidah :77)

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search